Gambar hiasan: Pesawat China Airlines |
Beberapa hari yang lepas, saya berkesempatan menonton rancangan Air
Crash Investigation di YouTube, antara rancangan kegemaran yang sering saya
cuba cari masa untuk menontonnya. Kali ini, episod yang saya tonton adalah
berkenaan kemalangan yang menimpa sebuah pesawat China Air yang sedang dalam
perjalanan dari Taiwan ke Hong Kong.
Pesawat malang berusia 22 tahun ini pecah di udara dan terhempas ke laut
hanya selepas 20 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan dan
mengorbankan kesemua 225 penumpang dan anak kapal. Pelbagai teori dibangkitkan oleh
media untuk mengenalpasti punca kapal terbang ini terputus dua dan relai di
udara, antaranya adalah serangan bom oleh penyerang berani mati dan tembakan
peluru berpandu oleh tentera Cina yang sedang menjalankan latihan di kawasan
berhampiran pada hari pesawat malang tersebut terhempas.
Namun data dari kotak hitam pesawat dan maklumat radar menolak teori
tembakan peluru berpandu, begitu juga pemeriksaan ke atas mayat-mayat yang
ditemui menolak teori pesawat ini dibom oleh penyerang berani mati. Lebih
memeningkan penyiasat, langsung tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan
kegagalan elektronik dalam sistem pesawat atau kesilapan juruterbang. Perbualan
dan bunyi dalam kokpit pesawat juga tidak dapat memberikan apa-apa petunjuk.
Jadi apa punca sebenar?