“Susahlah nak bangun Qiamullail,
sejuk sangat, nanti bila musim sejuk dah bertukar, Insya Allah aku akan cuba
bangkit sekurang-kurangnya dua kali seminggu.” Bisik Hadi kepada dirinya, penuh
keazaman sambil menggengam tangan.
“Entahlah, susah nak buang tabiat
tidur lepas Subuh ni. Di rumah saya semua ahli rumah tidur selepas solat Subuh,
tambahan pula, Subuh sekarang masuk terlalu awal, jadi tak praktikal rasanya
untuk berjaga selepas Solat. Nantilah, musim sejuk yang subuhnya agak lambat
saya cuba semula.” Balas Rahim kepada rakan baiknya Aznan yang menegurnya
tentang tabiat tidur selepas Subuh yang diamalkan bertahun-tahun.
“Basikal sukan dan kasut yang
sesuai tak beli lagi, lagipun sekarang saya terlalu sibuk dengan tugasan
penulisan tesis, tarbiah anak-anak, program usrah dan mesyuarat, mana ada masa
nak riadhah.” Ujar Zaman kepada isterinya, Haliza yang bimbang melihat berat
badan suaminya yang semakin meningkat.
Kisah di atas mungkin hanya
rekaan, tapi saya pasti, situasi lebih kurang sama biasa kita alami. Sama ada
kita yang memberi alasan kepada diri sendiri atau orang lain, atau orang lain yang
memberi alasan kepada kita.
Akhirnya, musim sejuk bertukar ke
musim bunga, musim panas pula bertukar ke musim luruh, berat badan pula
meningkat dan terus meningkat, perubahan diri yang diimpikan tetap tidak
tercapai hingga akhirnya sampai ke satu masa, saat sesal tidak berguna lagi.
Ramai yang menyesal kerana tidak
menjaga kesihatan ketika muda, bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat,
kerana akhirnya terbukti pada diri sendiri, bergulung sijil PhD, kereta mewah,
rumah besar dan wang yang banyak di dalam bank, tidak akan mampu untuk membeli
sebuah kesihatan yang terabai akibat kelalaian kita menjaga tubuh badan.
Ramai juga yang telah meninggal
dunia, namun menyesal kerana tidak sempat untuk melakukan lebih banyak amal
kebaikan. Ramai juga yang meninggalkan dunia, menyesal dan menangis kerana
tidak sempat bertaubat dari dosa-dosa dan berubah ke jalan yang lebih baik.
Alasan adalah musuh kepada
perubahan, membuatkan perubahan menjadi umpama hangat-hangat tahi ayam. Tidak
kekal, dan akhirnya diri kembali ke takuk lama.
Kita boleh memberi alasan dan
meletakkan pelbagai justifikasi atas kegagalan kita untuk berubah ke arah
kebaikan, namun satu perkara yang pasti adalah; selagi mana kita bergantung
kepada kecukupan diri, suasana dan orang lain untuk berubah, sampai bila pun
kita tidak akan berubah.
Pepatah melayu mengatakan. Tidak tahu
menari, dikatakan lantai tinggi rendah. Orang yang gemar menyalahkan pihak lain
atas kegagalannya, mahupun menunggu kesempurnaan diri dan kelengkapan hidup
untuk berubah, tidak akan ke mana-mana.
Jika ingin berubah, mulakan dari
dalam diri sendiri. Halangan pasti akan ada, tapi mereka yang berjaya adalah
meraka yang menukar halangan, masalah, dan ujian kepada peluang dan
menjadikannya sebagai batu loncatan ke arah kejayaan.
Berubahlah sekarang, jangan tunggu esok hari, kerana kita tidak akan tahu, bila kita akan dipanggil pergi.