Malasnya nak balik!


Pantas sungguh masa berlalu.

Terasa seperti baru sahaja menjejakkan kaki di KLIA, menikmati cuaca panas dan makanan-makanan Malaysia yang cukup eksotik. Belum puas lagi berbual dengan teman-teman, mendengar laungan azan dari masjid berdekatan dan meneguk kasih sayang dari mereka yang tersayang.

Bila pulang ke tanahair, diri terasa lepas, bebas dan tenang. Walaupun banyak kekurangan jika dibandingkan dengan Australia, sebuah negara maju yang cukup terkedepan dari banyak segi, namun tetap dirasakan bahawa Malaysia adalah jauh lebih baik.

Amat benar kata pepatah orang tua-tua, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Hari ini saya memahaminya.

Wah! Malasnya nak kemas beg nak balik dan terbang semula ke lembah dingin itu. Harap dapat habiskan cepat-cepat pengajian di sini dengan jayanya. Mohon doa semua ye.

Idea, Masa dan 'Roh'


Kadang-kadang kita ada banyak idea untuk menulis, tapi tidak ada masa. Bila kita ada sedikit masa, duduk di hadapan skrin, idea langsung tidak kunjung tiba. Bila ada masa dan idea, terkadang ‘roh’ penulisan itu pula hilang. Mereka yang biasa menulis, akan tahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘roh’ penulisan.

Bukan mudah sebenarnya untuk menulis, walaupun hanya satu entri di blog. Idea, masa dan ‘roh’, perlu berjalan berpimpin tangan.

................ 

Moga Allah memberikan kita semua (penulis) kekuatan.

MENUJU POLITIK BARU: APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN

“Tak praktikal! Cadangan hang memang bunyinya ideal, tapi hakikatnya tak praktikal!” Balas seorang teman ketika saya mengutarakan idea kesepakatan antara kumpulan-kumpulan Muslim di Malaysia dalam membina lanskap politik yang lebih baik pada masa akan datang.

“Mengapa pula tak praktikal?” Tanya saya kembali. Seronok juga sekali sekala berbincang begini. Berbeza pendapat adalah satu kemanisan andai ia dilakukan dengan penuh adab dan hikmah.

“Yelah, satu sekular, satu lagi ingin mendokong ISLAM, satu penuh dengan kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa, satu lagi ingin menegakkan ISLAM dan keadilan. Mana mungkin kedua kumpulan ini bersepakat. Dasar pun jelas berbeza. ISMA dengan IKRAM pun tak boleh nak sepakat, inikan pula UMNO dan PAS.” Jelasnya dengan nada tegas, ditambah dengan sedikit sindiran.

Saya hanya tersenyum. Jika datangnya dari orang lain, saya mungkin malas hendak menyambung perbincangan, tapi dengan teman yang seorang ini, saya cukup memahami.

“Habis, apa cadangan hang untuk membina politik baru yang lebih damai?” Tanya saya lagi, cuba mengorek cadangan penyelesaian. Ingin membawa perbincangan ke arah yang lebih praktikal.

KAHWIN SEMASA, ATAU SELEPAS BELAJAR?


“Apa pendapat Abang Sham tentang kahwin masa belajar?” Tanya seorang anak muda kepada saya baru-baru ini.

“Pendapat? Pendapat macamana?” Seperti biasa, saya akan bertanya semula untuk mencari kepastian bagi memberi jawapan yang terbaik.

“Yelah, ada yang kata kahwin masa belajar ni baik, boleh menundukkan pandangan, mengurangkan budaya ‘couple’ dan lebih memberi ketenangan pada hati. Nak lah dengar pendapat Abang Sham pula.” Jelasnya.

“Hmmmmm …” saya berfikir panjang sebelum memberikan jawapan, cuba mengolah sedikit pengalaman menjadi sebuah jawapan.

“Sebenarnya, dalam membincangkan persoalan kahwin sebelum atau selepas belajar, ia tidaklah semudah yang disangka, kerana perkahwinan itu sendiri bukanlah satu benda yang mudah. Tidak ada jawapan mudah dan mutlak yang boleh diberikan. Tidak ada satu solusi yang pasti akan berkesan oleh setiap orang. ‘There’s no one size fits all’, kata orang.” Saya memulakan bicara.

APA YANG ALLAH TETAPKAN, PASTI AKAN TERJADI


Saya bukanlah orang yang sistematik, tidaklah terlalu berterabur, tapi tidak juga terlalu ‘organised’. Walaupun saya selalu lupa banyak perkara sejak kebelakangan ini kerana banyaknya tugas dan amanah berat, termasuk selalu lupa di mana letaknya kunci dan telefon bimbit, namun ada satu perkara yang saya amat ‘particular’ berkenaan penjagaannya, iaitu laptop dan dokumen-dokumen penting.

Sejak dulu lagi, saya amat menjaga perkara-perkara ini. Saya cukup menjaga laptop dari diceroboh oleh pihak luar secara maya atau secara fizikal. Isteri dan teman-teman rapat saya mengetahuinya. Saya cukup menjaga aktiviti di internet dan fail-fail yang dimasukkan ke dalam laptop. Saya juga tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan anak-anak bermain-main dengan laptop, dan mereka amat maklum dengan ‘pantang’ saya ini.

Setiap kali parkir kereta di mana-mana, jika saya membawa laptop bersama, saya tidak akan meninggalkannya di dalam kereta kerana khuatir ada orang yang akan memecah masuk ke dalam kereta dan mencurinya.

Cukuplah beberapa kes (pecah kereta untuk mencuri barang elektronik) yang saya dengar sebelum ini sebagai peringatan.

Beberapa hari yang lalu, seperti biasa, saya menyandang beg laptop ketika keluar makan di R n R Rawang bersama dengan keluarga, dengan banyak dokumen penting di dalam beg laptop tersebut, saya meningkatkan kadar kewaspadaan 2 kali ganda.

Namun entah bagaimana, kali ini saya cuai kerana meninggalkannya di bawah meja makan.