KEGEMBIRAAN SEBENAR




"Malam ni Abang Sham bagi tazkirah selepas solat Isya' boleh?" Tanya Akbar, penggerak ikhwah ISMA Sydney ketika saya memerhatikan dia dan Safwan memasak.

Kebetulan saya transit seketika di Sydney dan menumpang tidur semalaman di rumah Akbar dan rakan-rakannya sebelum meneruskan perjalanan ke Canberra keesokan harinya untuk urusan passport Insyirah.

"Oh, boleh," jawab saya spontan, tidak mahu melepaskan peluang mendapat pahala dan mendidik adik-adik junior baru yang akan berkunjung ke rumah mereka malam itu untuk makan-makan. Saya memang sentiasa menyediakan bank tazkirah ringkas yang sentiasa di 'update' di dalam kepala andai diminta untuk bercakap di mana-mana.

Selesai solat Isya', kami bertaaruf serba ringkas dan selepas itu saya memulakan tazkirah.

Makna Kejayaan Sebuah Perjalanan Panjang



Semenjak saya mendaftar di University of Adelaide sebagai pelajar PhD dalam bidang Sistem Maklumat setahun setengah yang lalu, rasanya belum pernah saya menulis walau satu ‘entry’ secara spesifik berkenaan perjalanan pengajian yang dilalui.

Sayang juga kerana jika satu hari nanti saya ingin menoleh kembali untuk mengimbau kenangan lama, saya mengharapkan agar bukanlah artikel jurnal usang berconteng-conteng atau draf tesis 150 halaman yang menjadi penggamit memori, tapi biarlah catatan-catatan pengalaman unik yang akan berbicara dengan bahasa pengalaman yang amat kaya.

Kembara PhD adalah satu pengalaman unik yang mungkin kecil, tapi cukup signifikan dalam kehidupan seorang akademia (meminjam ayat hikmat Dr Kamil). Setiap yang melaluinya, akan menghadapi cabaran yang tersendiri. Setiap orang akan punya masalah dan pengalaman yang berbeza-beza.

Ada yang diuji dengan masalah keluarga. Mungkin dalam bentuk ayah dan ibu di kampung kurang sihat bahkan banyak juga yang saya dengar kehilangan orang yang tersayang ketika dalam pengajian.

Ada yang diuji dengan masalah kesihatan. Kulit mengelupas tika musim sejuk, tiba-tiba didiagnos dengan sakit kencing manis, darah tinggi dan ada juga yang mendapat kanser.

Amat banyak juga yang diuji dengan masalah penyelia. Penyelia tidak memahami, terlalu sibuk, ‘racist’, meletakkan harapan terlalu tinggi, ‘perfectionist’ tidak bertempat dan macam-macam lagi karenah.

Oleh kerana cabaran-cabaran yang dinyatakan di atas dan banyak lagi yang tidak terungkap pastinya, tidak ada satu sifir sempurna yang boleh diaplikasikan oleh setiap orang untuk menyelesaikan atau untuk memastikan pengajian dapat dihabiskan tepat pada masanya.

Bukan tidak bersungguh, bukan tidak merancang, bukan miskin usaha, tapi banyaknya ranjau luar kawal di sepanjang perjalanan yang membantutkan langkah. Tanyalah sendiri pada mereka yang telah melalui atau sedang melaluinya.

Namun, satu yang saya pasti, makna sebenar kejayaan bagi seorang pelajar PhD bukan sekadar pada cepat atau lambatnya menamatkan pengajian, bukan juga pada banyaknya tulisan-tulisan yang diterbitkan oleh jurnal-jurnal berkualiti, bukan juga pada tebalnya halaman tesis yang dihantar. Ia sebahagian daripadanya dan boleh dikatakan sebagai penanda aras kejayaan seseorang dalam pengajian, tapi ia bukan sekadar itu. BUKAN SEKADAR ITU.

Pada saya, makna sebenar kejayaan bagi seorang pelajar PhD adalah apabila dia dapat menjadi manusia yang lebih baik dari sebelumnya, bukan sekadar dari aspek kesarjanaan dalam bidang kajian yang dikajinya, tapi juga lebih baik dalam sisi lain kehidupannya.

Dia menjadi lebih tawadhuk dengan ilmu dan tahu menghormati perbezaan pendapat dan adab untuk berbeza pendapat dengan para sarjana.

Dia menjadi manusia yang lebih cemerlang dalam mengimbangi tanggungjawab dirinya sebagai ketua keluarga (juga pasangan) yang bertanggungjawab terhadap anak-anak (jika telah berkahwin), anak yang sentiasa taat dan berbakti kepada kedua orang tuanya dan bermanfaat kepada ahli masyarakatnya yang lain.

Dia menjadi manusia yang lebih amanah dengan masa, lebih tersusun urusan kehidupannya, tahu menyusun keutamaan diri terutamanya dalam aspek penjagaan kesihatan dan sentiasa sabar dalam memikul amanah.

Dia menjadi manusia yang lebih baik dalam mengurus masalah, tahu cara untuk bangkit selepas rebah dan tentunya lebih sabar dalam mengurus konflik perasaan dan tekanan yang sentiasa hadir akibat banyaknya masalah yang timbul.

Banyak lagi aspek-aspek kualiti diri yang bagi saya adalah makna sebenar kejayaan bagi seorang pelajar PhD. Jika selepas 4 tahun atau 5 tahun perjalanan, ditaqdirkan Allah ijazah itu bukan miliknya walaupun selepas berusaha bersungguh-sungguh, namun jika kualiti-kualiti ini telah terbina, sebenarnya kejayaan itu telah pun berjaya dimiliki.

Kerana kejayaan itu adalah perjalanan, bukan tujuan.

Salam perjuangan kepada semua sahabat-sahabat sepengajian!

Pemilik Cintaku Selepas Allah, Rasul dan Ibu Bapa ku,


Cinta itu adalah sesuatu yang misteri, indah, tapi tetap misteri. Ia tidak ada sifat, tidak ada bentuk, tidak ada rupa, tidak ada saiz, tapi ia mengisi ruang hati kita dan memberi makna dalam kehidupan banyak manusia. Ia adalah antara anugerah Allah yang paling istimewa kepada manusia. 

Dengan rasa ini, manusia bisa menyusun kata-kata yang indah, berkorban untuk insan yang tidak pernah dikenalinya, bahkan mengorbankan diri mencari sesuatu yang tidak pernah kelihatan di hadapan matanya.

Cinta kita yang pertama wajib kita letakkan hanya kepada Allah, tuhan yang mencipta dan memberi kita segala-galanya. 

Kita beriman kepadanya, kepada segala ciptaan-ciptaannya, kepada segala suruhan dan larangannya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi hamba yang cinta kepadanya dengan rela atau terpaksa, kerana akhirnya nasib kita yang abadi di akhirat nanti bergantung kepada rahmat dan kasih sayangnya.

Cinta kita yang kedua, wajib kita letakkan kepada hamba Allah yang paling mulia, insan yang paling sempurna di atas muka bumi, utusan yang mendapat perkhabaran langit yang cinta kepada seluruh umatnya walaupun jauh di pandangan mata. Selawat dan Salam ke atas mu duhai Rasulullah s.a.w.

Saya bertuah kerana sejak lahir, dijaga dan dibesarkan oleh 2 insan yang cukup mulia, cinta mereka adalah cinta tanpa syarat, tidak ada cinta selain cinta saya kepada Allah dan Rasul yang mampu menandingi cinta terhadap mereka. 

Kasih dan pengorbanan mereka telah terbukti, hingga saya membesar seperti hari ini. Semoga Allah menjadikan saya anak yang berbakti dan mampu terus berbudi, walau jasad mereka telah tiada lagi.

Selepas Allah, Rasul dan ibu bapa memiliki ruang hati ini, masih adakah lagi ruang yang berbaki untuk cinta ini dimiliki? Saya pada asalnya adalah manusia yang sangsi, namun 8 tahun yang lalu, misteri ini terungkai sendiri.

Istimewa buat permaisuri hati sempena ulangtahun ke 8 perkahwinan kita (walaupun hang selalu lupa tarikh ni), ketahuilah bahawa engkau adalah pemilik cintaku selepas Allah, Rasul dan Ibu bapa ku. Cinta ini bukan palsu, bukan juga menipu, tapi ia adalah satu anugerah istimewa untuk kita berpimpin tangan menuju jannah yang satu.

Semoga Allah memberkati cinta ini selamanya dan menjadikan rumahtangga yang kita bina mekar dengan bunga-bunga iman, wangi dengan haruman mahabbah, dan berbuah dengan amal dan perjuangan.

Happy 8th Anniversary, may our love stay strong forever till jannah!                                                                                              

Kepada Siapa Kita Bergantung?


Sejarah mencatatkan bahawa dalam perang Badar, ketika mana tentera Islam dalam keadaan tidak bersedia, kurang kelengkapan dan kurang dari segi angka jika dibandingkan dengan tentera Musyrikin Mekkah, namun kebergantungan mereka yang bulat kepada Allah telah menatijahkan kemenangan yang pada asalnya mustahil di mata manusia.

Bagaimana mungkin 313 tentera yang tidak bersedia, dengan hanya 2 ekor kuda dan banyak yang hanya membawa pelepah tamar, boleh mengalahkan 1000 tentera yang lengkap bersenjata dan hadir bersedia.

Jika mengikut sifir manusia, maka pastilah ketumbukan 313 itu akan dihenyak rapat hingga tidak ada yang tinggal tersisa, namun kita semua tahu bahawa keputusannya bukan begitu.

Allah telah menceritakan peristiwa Perang Badar ini dengan panjang lebar di dalam surah Al Anfal, dan antara ayat yang cukup menarik untuk kita tekuni adalah ayat 17 dari surah tersebut,

“Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah-lah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar. (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”