Nasihat Buat Mereka yang Bermasam Muka


Sebagai manusia, hidup kita tidak akan pernah sunyi dari kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan terhadap Allah dan manusia lainnya. Tidak ada manusia yang bersih dari dosa dan bebas dari kesalahan melainkan Rasululllah s.a.w.

Orang yang beruntung bukanlah orang yang tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi orang yang beruntung ialah orang yang apabila melakukan kesilapan segera memohon keampunan kepada Allah.

Begitu juga mereka yang melakukan kesalahan kepada manusia lainnya, perkara terbaik yang kita harus lakukan saat kita sedar bahawa kita melakukan kesalahan kepada orang lain adalah memohon kemaafan dengan segera, dan sebaiknya bagi orang yang dipinta kemaafan itu, berilah kemaafan kerana itulah sikap yang mulia dan terbaik. Lihat ayat ini 3: 133 - 136

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,
(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.
Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.
Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan surga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.

Sejarah para sahabat dan orang-orang yang soleh juga dipenuhi dengan pelbagai warna yang menunjukkan bahawa mereka juga adalah manusia biasa yang tidak pernah lepas dari melakukan kesalahan sesama mereka. Pada kisah Abu Dzar yang ditegur oleh Rasulullah akibat penghinaannya terhadap Bilal ada teladan yang baik yang harus kita contohi.

Dalam sebuah hadis (Muslim) disebutkan bahawa Rasulullah pernah menegur Abu Dzar kerana memanggil Bilal dengan gelaran “Ibnus-Sauda’ (anak dari perempuan hitam)”. Maka tatkala Abu Dzar ditegur oleh Rasulullah dengan ungkapan “Engkau masih melekat dalam dirimu sifat Jahiliyah” lantas Abu Dzar terus mencari Bilal untuk memohon kemaafan.

Maka ketika mereka berdua telah berjumpa dan Abu Dzar mengakui kesalahannya, Saidina Bilal dengan lapang dada telah memaafkannya.

Walaupun telah dimaafkan, Abu Dzar tetap tidak berpuas hati dan menyuruh Bilal memijak mukanya yang diletakkan di atas tanah untuk mengeluarkan ego yang bersarang di dalam hatinya.

Masyaallah! Inilah sikap yang harus kita contohi, iaitu sikap pemaaf yang ditunjukkan oleh Bilal dan sifat tawadhu’ (merendahkan ego) Abu Dzar yang memohon maaf dengan penuh keikhlasan.

Ini hanyalah secebis kisah dari lautan kisah teladan yang ditunjukkan oleh generasi Al Quran yang unik. Jika ditelusuri Sirah Baginda dan kisah kehidupan para Sahabat, maka kita akan temui di sana pelajaran-pelajaran yang menakjubkan tentang sikap memberi maaf yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat baginda.

Jika tidak cukup kisah ini sebagai pelajaran buat kita, maka lihat pula kalam Allah dan nasihat dari Rasulullah kepada orang Mu’min yang bersaudara.

“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t supaya kamu beroleh rahmat.” (Al Hujuraat: 10)

“Jangan bersifat dendam, jangan dengki mendengki, jangan bermusuh-musuhan. Hendaklah kamu jadi Hamba Allah s.w.t yang bersaudara. Dan tidak dihalalkan bagi seorang Islam meninggalkan saudaranya (tidak menegurnya) lebih dari 3 hari.” (HR Muslim)

Tidak ada nasihat yang lebih baik untuk kita ambil sebagai pedoman selain dari nasihat dari Al Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. Rendahkanlah ego kepada kalam Allah dan Hadis Rasulullah, jangan biarkan ego kita lebih tinggi dari dua nasihat ini hingga kita terus bermasam muka, tidak bertegur sapa, enggan memohon maaf dan memberi maaf.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula orang-orang yang beriman, namun bukankah hubungan antara orang beriman itu adalah seperti air yang dicincang? Tidak akan putus walaupun dihunus oleh pedang samurai yang tajam.

Pohonlah kemaafan, berilah maaf dan bertaqwalah kepada Allah, Insyaallah, kita akan masuk kedalam golongan mereka yang berjaya. Insyaallah.

Dari Jenayah Kepada Ibadah


“Ada soalan lagi, mungkin soalan terakhir agaknya untuk malam ini?” Dr. Baiyah selaku moderator forum Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung yang di adakan di Pelham Musolla, berhampiran University of Melbourne masih lagi memberi peluang kepada hadirin untuk bertanya.

Seorang pelajar perempuan dari barisan belakang mengangkat tangan.

“Saya bertanya bagi pihak kawan saya.” Pelajar perempuan itu memulakan soalan. Saya dan 2 lagi ahli panel forum iaitu Dr. Ihsan dan isteri saya sendiri menumpukan perhatian.

“Begini, kawan saya bertanya, apa yang perlu kita buat jika sebelum ini, kita telah pun ada hubungan ‘cinta’ dengan seseorang. Bila kita kenal Islam sikit-sikit, dan kita ingin berubah dan bertaubat dari dosa-dosa, apakah ada ruang untuk hubungan itu diteruskan? Apakah ada cara untuk kita bercinta, tapi masih dalam ruang lingkup syara’? Pelajar perempuan itu menyudahkan soalan.

Saya, Dr. Ihsan dan isteri saling pandang memandang, ternyata mereka mengisyaratkan untuk saya menjawabnya kerana beberapa soalan dari peserta sebelum ini telahpun mereka jawab.

Saya menarik nafas panjang. Walaupun soalan ini nampak mudah, tetapi tidak mudah untuk menjawabnya. Susun bicara harus ditutur dengan teliti, kerana dalam forum terbuka seperti ini dan dengan soalan seperti itu, saya harus cuba mencari keseimbangan antara syadid (keras) dan realistik.

“Pertama sekali, asas penting yang kita harus fahami adalah walaupun rasa suka antara lelaki dan wanita itu adalah fitrah sepertimana yang saya terangkan pada awal forum, namun begitu, Islam meletakkan garis panduan yang amat ketat berkenaan hubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.” Saya memulakan penerangan.

“Dalam bahasa mudahnya, secara jelas saya boleh katakan bahawa tidak ada hubungan cinta antara lelaki dan perempuan sebelum berkahwin yang dibenarkan oleh syara’. Banyak dalil dari Al Quran dan hadis yang membincangkan tentang perkara ini, namun cukuplah saya memberikan satu ayat dari surah Al Israa’ ayat 32 yang bermaksud,”

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

“Dalam ayat ini, Allah menutup serapat-rapatnya pintu terhadap hubungan antara lelaki dan wanita yang berlaku diluar batas perkahwinan kerana ingin mencegah perbuatan keji di kalangan masyarakat manusia yang natijahnya dapat kita lihat berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini dengan amat banyak, iaitulah bayi-bayi yang dibuang tanpa rasa belas kasihan.”

“Jika tidak pun sampai ke peringkat membuang bayi, maka perbuatan-perbuatan kita seperti keluar menonton wayang bersama, saling bertukar sms dan panggilan setiap hari, berjalan-jalan di taman atau makan dan ‘shopping bersama’, setidak-tidaknya kita akan terlibat dengan zina mata, telinga dan hati yang dosanya mungkin tidaklah sebesar zina kemaluan, tetapi ia tetap adalah dosa yang akan menghitamkan jiwa dan akan menjauhkan kita dari Allah.”

“Bila kita sentiasa dalam keadaan berdosa, maka doa kita pastinya akan sukar dimakbulkan, ilmu juga akan susah untuk masuk ke dalam dada, dan amalan-amalan yang lain juga kita dikhuatiri bermasalah bila kita terjebak dalam dosa kecil secara berterusan tanpa ada usaha untuk kita keluar darinya.”

“Jangan kita lihat saiz dosa yang kita lakukan, tapi lihatlah kepada siapa dosa itu kita pamerkan.”

“Ibarat kita menampar nyamuk, pasti berbeza jika kita menamparnya di muka kawan atau kita menamparnya di wajah Sultan.”

“Jangan sesekali meremehkan dosa kecil, kerana antara sifat orang beriman adalah memandang setiap dosa seperti gunung yang akan datang untuk menghempap.”

“Apatah lagi bila mengingatkan bahawa ajal itu datang tidak diundang, bimbang kalau-kalau Allah tarik nyawa dalam keadaan su’ul khatimah (penghujung yang buruk), ditarik nyawa ketika dalam bermaksiat kepadanya, na’uzubillahiminzalik.

“Cumanya....” saya berhenti seketika. Melihat respon hadirin. Semuanya menumpukan perhatian. Sejak dari tadi, tidak ada hadirin yang tidur, fokus sungguh anak-anak muda bila berbincang tentang topik begini.

“Dalam kes yang saudari tadi bertanya, tidak ada satu jawapan pasti yang boleh saya beri, cuma apa yang boleh saya katakan kepadanya adalah tanya pada diri, tanya pada hati, sejauh mana kita jujur dengan Allah dalam hubungan tersebut.”

“Tanya juga pada diri, atas asas apa perhubungan tersebut  ingin diteruskan dan jika ingin diteruskan sehingga ke gerbang perkahwinan, apakah benar-benar diyakini kebaikan agamanya jika dia masih belum berubah dan apakah benar-benar dapat  dipastikan bahawa dia adalah calon terbaik untuk menjadi teman hidup dan pendidik kepada cahaya mata yang kita lahirkan sepanjang melayari kehidupan sehingga penghujung usia.”

“Fikir-fikirkan, banyakkan istikharah dan istisyarah (perbincangan) sehingga keputusan yang bulat dapat dicapai dan agar tidak akan menyesal di kemudian hari nanti.”

“Jika pertimbangan nafsu telah diketepikan dan semua jawapan kepada soalan-soalan di atas adalah ye, ye dan ye dan hati juga telah terasa tenang hasil istikharah dan istisyarah, maka usahakanlah untuk ‘upgrade’ hubungan tersebut kepada perkahwinan sesegera yang boleh, dari jenayah kepada Allah, kepada ibadah yang akan membibitkan mawaddah dan rahmah.”

“Faham ya?” Saya bertanya kepada hadirin untuk mendapatkan respon. Ada yang kelihatan mengangguk-angguk dan tidak kurang juga yang tertunduk dan merah wajahnya. Kemudian saya menyambung.

“Kepada lelaki, saya berpesan, jika kita tidak suka adik perempuan atau anak kita suatu hari nanti diusung ke sana dan ke mari oleh lelaki yang tidak ada hubungan mahram dengannya, maka janganlah melakukan perkara yang kita sendiri tidak menyukainya.”

“Khuatir nanti Allah balas ‘cash’ atas muka dunia dengan menghantar seorang lelaki yang akan mengusung anak kita ke sana dan ke mari seperti mana kita mengusung anak orang lain pada hari ini.”

“Begitu juga kepada wanita, jika sayangkan ayah anda, dan tidak ingin ayah anda termasuk dalam golongan orang yang dikatakan dayus oleh Rasulullah, maka janganlah lacurkan kehormatan anda dengan membiarkan diri larut dalam nafsu atas nama kasih sayang dan pengorbanan.”

“Kesimpulannya, cinta yang dibolehkan antara lelaki dan wanita dalam Islam hanyalah selepas perkahwinan.”

“Ketika itu, bercintalah dengan bersungguh-sungguh, kerana pada setiap kuntuman ros yang kita hadiahkan, pada senyuman dan tatapan pada wajah isteri, pada ayat-ayat manis yang kita ungkapkan pada pasangan yang halal, bahkan pada saat kita berdua-duaan dan ‘bersama’ dengannya, setiap satunya akan dikira sebagai ganjaran pahala yang akan memberatkan timbangan amal di akhirat nanti.” 

"Harap terjawab soalan ye, wallahua'lam." Saya menyudahkan penerangan dan kemudian menyerahkan kembali mikrofon kepada moderator.

Semoga jawapan yang saya berikan ini akan memberikan sedikit panduan kepada anak muda dalam menghadapi alam percintaan. Kita boleh memilih untuk berkahwin dengan orang yang kita cintai, tapi pastikan juga bahawa kita mencintai orang yang kita kahwini, sehingga mati, Insyaallah.


Rahsia Kemanisan Rumahtangga.

“Risaulah Abang Sham?” Luah Kamal sambil memandang ke luar tingkap kereta sambil menghela nafas panjang.

“Apa yang risaunya?” Saya bertanya sambil mata masih memandang ke hadapan. Memberi tumpuan kepada perjalanan dari Melbourne ke Adelaide yang masih lagi jauh. Namun saya dapat mengagak yang kerisauannya adalah di sekitar urusan perkahwinannnya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Mujur ada teman yang menemani dan berganti-ganti untuk memandu, tidaklah sunyi perjalanan sejauh 800 kilometer. Hendak mengharapkan isteri, baru 40 minit memandu dia sudah mengadu pening kepala dan mengantuk. Sekarang sedang terlena di belakang bersama anak-anak.

“Risaulah tentang persediaan menghadapi alam rumahtangga. Masih banyak yang belum diketahui dan dipelajari.” Luah Kamal, ikhlas dari hati.  

“Risau juga tentang penerimaan dia terhadap saya, penerimaan kedua belah keluarga, tentang komunikasi antara kami berdua nanti, apa yang akan jadi jika timbul masalah antara kami, bagaimana kami akan menyelesaikan konflik jika ianya berlaku.”

“Tentang masa depan, di mana kami akan ‘settle down’...” sambung Kamal lagi. Banyak sungguh kerisauannya.

Saya mendengar dengan teliti. Hilang rasa mengantuk seketika mendengar luahan hatinya. Sebelum berkahwin dan sehingga kini, tidak pernah saya terfikir akan perkara-perkara sedemikian.

Mungkin Kamal ini jenis orang yang amat teliti dan sentiasa berfikir ke hadapan, berbeza dengan saya yang mungkin agak ringkas dan tidak suka untuk berfikir tentang perkara-perkara yang belum berlaku.

Bukan tidak ada masalah yang pernah berlaku dalam rumahtangga kami, bukan tidak pernah ada konflik yang timbul antara saya, isteri dan ibu bapa. Memang pedih, tapi bila usaha dan masa merawatnya, kepedihan itu akan bertukar menjadi sebuah kemanisan yang luarbiasa.


Saya tersenyum dan melihat wajahnya sebelum memulakan bicara.

“Baguslah Kamal risau, itu tandanya Kamal amat ‘concern’ tentang rumahtangga yang bakal dibina. Ramai di luar sana yang tidak pernah peduli pun untuk merancang agenda rumahtangganya.” Saya memuji keprihatinannya.

“Cuma Kamal, perkahwinan adalah medan untuk kita belajar dan bersabar. Ada perkara-perkara yang kita rancang dan harapkan, mungkin tidak akan berlaku. Tarbiah rumahtangga adalah tarbiah unik yang ujiannya adalah berbeza-beza untuk setiap orang.”

“Kalau kita lihat dalam sirah, rumahtangga Rasulullah juga banyak cabarannya. Ada kisah Saidatina Aisyah difitnah hingga Rasulullah sendiri terpaksa menunggu wahyu untuk menyelesaikannya. Ada juga kisah pinggan melayang dan kisah cemburu Saidatina Aisyah dan Hafsah.” Saya berhenti seketika menghela nafas apabila melihat Kanggaru melintas di hadapan.

“Sebelum berkahwin, kita mungkin telah istikharah, istisyarah (berbincang) dan berfikir semasak-masaknya sebelum membuat pilihan. Namun, tidak semestinya perkahwinan yang kita rancang dengan baik akan terus kekal baik tanpa ujian yang datang melanda.” Sambung saya.

Kereta Toyota Aurion terus bergerak pantas melalui pekan Keith yang cukup damai. Matahari yang baru menampakkan diri menambah seri pemandangan indah bumi Wallabies ini.

“Sebab itu, bila masuk dalam medan rumahtangga, kita orang lelaki kena tambah dos kesabaran, tingkatkan rasional dan kena perbanyakkan sifat redha.” Saya menambah.

“Apa maksud Abang Sham?” Celah Kamal di tengah-tengah bicara.

“Begini, kita boleh merancang tapi kita tidak akan tahu ujian bagaimana yang akan Allah hadirkan dalam rumahtangga kita. Sebab itu, kena perbanyakkan sabar, rasional dan redha, supaya setiap masalah yang mendatang dan akan datang, kita akan hadapinya dengan bekal-bekal tersebut.” Jelas saya, memberikan konsep asas. Setiap orang dan setiap rumahtangga, akan punya ujiannya yang tersendiri sesuai dengan kemampuan kita.

“Seperkara lagi, ilmu perkahwinan mesti dituntut. Usah berpada dengan kursus sehari dua sahaja. Beli buku-buku yang baik seperti Mutiara Perkahwinan, Aku Terima Nikahnya, La Tahzan, Fiqh Wanita, Women are from Mars, Men are from Venus dan macam-macam lagi.”

“Rajinkanlah juga diri untuk mendengar kuliah-kuliah, hadir ke seminar-seminar rumahtangga yang membincangkan tentang pendidikan anak-anak dan sebagainya.”

“Juga jangan lupa untuk mengutip pengalaman dari orang-orang berpengalaman yang telah berjaya dalam rumahtangga. Redha ibu bapa juga mesti sentiasa dipinta, kerana doa mereka amaaaat penting dalam memastikan rumahtangga kita kekal bahagia.”

“Akhir sekali, banyakkanlah berdoa dan memohon agar Allah mempermudahkan segala urusan. 
Insyaallah, jika kita ikhlas untuk membina rumahtangga bagi mencari redhanya, maka Allah akan menunjukkan jalan-jalannya.” Saya menyudahkan nasihat, menunggu pertanyaan seterusnya sambil melihat mentari pagi yang cukup indah.

Melihatnya diam, saya menambah lagi. “Tak perlu risau sangatlah Kamal, Insyaallah, seronok berkahwin ni, bila ada cabaran dan ujian, rumahtangga akan jadi lebih matang dan manis.”

"Apa yang penting, lafazkan dulu Aku Terima Nikahnya dengan tenang dan bergaya. Insyaallah akan ada keberkatan dari langit yang akan membuatkan urusan hidup kita bertambah indah.”

Mentari yang tadinya naik perlahan telah mula meninggi, sesekali saya melihat ke belakang melihat wajah isteri dan anak-anak yang sedang nyenyak tidur. Bukan sedikit cabaran yang dilalui dalam menjadikan mereka penyejuk mata dan penawar hati. Tapi itulah rahsia kemanisannya! 

Mendidik Anak Menutup Aurat


“Macamana kelas renang tadi, Humaira’ dah boleh berenang ke?” saya bertanya di hadapan muka pintu tika Humaira’ pulang dari kelas renang di sekolah hari ini. Minggu ini adalah minggu pelajaran kelas renang di sekolahnya.

“Aaaa, dah boleh lah ayah, cuma masih ‘slow’ lagi.” Jawabnya dengan sedikit slanga Australia yang telah mula terlekat di lidahnya. Kadang-kadang lucu juga saya mendengarnya.

“Oh! Bagusnya, Humaira’ berenang pakai apa tadi?” Tanya saya lagi.

“Pakai baju T-Shirt la, kalau yang ada ‘swimming suit’, boleh pakai ‘swimming suit’. Tapi kalau tak ada, boleh pakai baju,” dia menjawab sambil membuka kasut.

“Humaira’ berenang tadi pakai tudung ke?” Saya menambah soalan.

“Mestilah pakai Ayah, cuma selepas berenang Humaira’ terpaksa pakai tudung basah sebab ibu terlupa letak tudung dalam beg Humaira’. Sejuk kepala Humaira’.” Jelasnya dengan sedikit nada kesal.

“Oh ye ke, kasihannya, tapi tak mengapa, pengorbanan yang Humaira’ buat hari ini, Insyaallah akan diberi pahala. Setiap kesusahan yang kita lalui kerana Allah, pasti akan ada pahala yang banyak.” Saya menyelitkan sedikit tazkirah sebagai motivasi.

“Ok, terus masuk ke bilik solat Zuhur, tukar baju dan terus ke meja makan.” Saya memberi arahan rutin.

Dalam hati, saya amat bersyukur kerana usaha kami mendidiknya untuk memakai pakaian yang menutup aurat sejak kecil, mula menampakkan sedikit hasil.

Sejak usianya 4 tahun, pelbagai pendekatan yang kami gunakan untuk membiasakan dirinya dengan pakaian muslimah yang sempurna. Keras, lembut, bercerita, hadiah dan pesanan sebelum tidur, telah kami laksanakan dan Alhamdulillah, pada usia 6 tahun, baju berlengan panjang dan tudung telah mula sebati dengan jiwanya dan harapnya ia akan terus sebati hingga ke akhir usianya walau di mana dia berada.

Namun begitu, walaupun telah dilatih sejak kecil dan telah diingatkan berulang kali tentang kepentingan bertudung bagi muslimah, namun ada juga ketikanya Humaira’ terlupa atau ‘sengaja lupa’ untuk menyarung tudung di kepala (ketika keluar rumah), dan setiap kali itulah, saya dan isteri akan segera mengingatkannya untuk memakainya kembali.

Bukan tidak pernah dia meminta untuk membuka tudung ketika cuaca panas, walaupun kasihan, namun kami terpaksa berteguh hati demi masa depannya.

Dalam mendidik anak perempuan, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa adalah pemakaiannya. Naluri untuk berpakaian cantik sudah semestinya ada, namun ia harus dipastikan agar sentiasa patuh syariat.

Mendidik anak-anak perempuan untuk memakai pakaian yang menutup aurat, harus dimulakan sejak mereka kecil, untuk membiasakan mereka dengan tudung dan baju labuh walaupun dalam keadaan yang tidak menyelesakan. Jika tidak diasuh sejak kecil, khuatir nanti bila tiba saat dia wajib mengenakan pakaian yang menutup aurat, rasa tidak selesa dan tidak biasa akan menghalang dirinya dari melaksanakan perintah Allah.

Harus diingat, bahawa anak-anak perempuan (yang telah baligh) yang keluar tanpa menutup aurat akan mendatangkan dosa buat ayahnya. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bersabda:

Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)- di petik dari zaharuddin.net

Semoga anak-anak perempuan kita tidak akan menjadikan kita seorang ayah yang dayus. Ayuh kita didik anak-anak dan isteri kita untuk menutup aurat walau di mana jua mereka berada.

Wahai muslimah, jika sayangkan ayahmu, tutuplah aurat dengan sempurna. Apakah kita redha ayah kita menjadi bahan bakar api neraka kerana keengganan kita untuk menutup aurat dengan sempurna.

Semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang dayus dan mendayuskan.