Siri 2 : Persediaan Hati Lebih Utama

Bila membicarakan tentang persediaan untuk ke tanah suci, rata-rata masyarakat banyak membicarakan tentang persediaan fizikal dan material. Bagi yang pernah ke sana, mereka menceritakan tentang apa yang perlu dibawa, kain baju berapa pasang, ubat-ubatan, selipar jenis apa, beg sebesar mana yang perlu dibawa, jumlah RM untuk belanja dan pelbagai lagi.

Tidak ketinggalan juga yang membicarakan tentang perlunya latihan-latihan fizikal untuk menghadapi suasana-suasana yang mencabar terutamanya ketika di Mekkah. Perjalanan pergi dan balik ke masjid, cabaran ketika Tawaf dan Saie dan ada juga yang menyarankan untuk membiasakan diri dengan kepanasan melampau di siang hari dan kesejukan yang menggigit di waktu malam.



Tetapi, ramai yang sering terlupa, bahawa persediaan hati itu lebih utama. Perlunya kita untuk benar-benar memohon kepada Allah agar diizinkan kita untuk bertamu dan beribadahnya di rumahnya yang teragung. Berdoa agar sentiasa diberikan kesihatan, kekuatan dan kesempatan masa untuk beribadah.

Jika boleh, berdoalah setiap detik yang teringat, basahkan hati dengan doa-doa agar diberikan kemudahan, kelapangan dan kesihatan ketika di sana. Di sana, segala-galanya luar biasa. Disana kita akan mengerti bahawa kekuatan itu hanyalah milik Allah.

Ada yang telah menyediakan segala-galanya, tetapi malang ketika di sana, jatuh sakit hingga tidak mampu untuk ke masjid. Ada juga yang hanya disibukkan dengan membeli belah hingga mengabaikan ibadah bahkan ada yang lebih malang tidak mampu untuk melihat Kaabah walau Baitullah berada di depan mata.



Sebelum bertamu ke rumahnya, selesaikanlah segala hutang piutang, pohonlah kemaafan dari saudara dan teman taulan dan yang paling utama, pohonlah keampunan kepada kedua ibu bapa agar kita dapat kesana membawa sekeping hati yang sejahtera.

Bagi kami, apa yang paling penting adalah kemaafan dan restu dari kedua orang tua, tanpa restu mereka, ibadah kita tidak akan kemana. Sebelum berangkat pergi, kami menyelesaikan segala-galanya dengan kedua orang tua kami, memohon maaf dengan sebenar-benar kemaafan agar tidak tersimpan walau seguris luka di dalam hati.



Begitu juga dengan teman sepejabat yang kadang-kadang secara sengaja atau tidak menjadi mangsa umpatan atau tingkah laku yang kurang menyenangkan. Saya hanya mampu menghantar E-Mail kepada semua untuk memohon maaf.



Dan untuk anak kesayangan kami yang akan ditinggalkan, sebulan sebelum keberangkatan, setiap hari kami jelaskan kemana kami akan pergi agar dia memahami dan mengerti. Alhamdulillah, Humaira' memahami dan tinggal tanpa sebarang masalah dengan "Mama" (Makcik) nya.

Bagi setiap yang ingin kesana, sediakanlah hati anda dengan sesuci-sucinya, bersihkanlah ia dari segala noda dan dosa, pohonlah keampunan dari Allah dan pohonlah juga kemaafan dari manusia. Sentiasalah berdoa agar diberi kekuatan, kesempatan dan kemudahan untuk bertamu ke rumahnya.

Kisah Perjalanan : Siri 1 : Mencari Jalan Kembali



Perjalanan ke Baitullah adalah suatu perjalanan yang pasti tidak akan dapat dilupakan oleh setiap yang melaluinya, samada Umrah atau Haji, kenangan-kenangan harum dari kota Madinah dan keagungan Kaabah pasti akan melekat di memori setiap individu yang pernah menziarahinya.

Kota ini adalah kota suci, tanahnya diberkati, penduduknya mulia, sesiapa yang menziarahnya pasti beroleh kemuliaan.

Bagi kami, perjalanan ini bermula dicelah-celah keserabutan fikiran dek kerana banyaknya tugas dan tanggungjawab yang menghimpit perasaan dan melemahkan jiwa. Keserabutan itu mendesak kami untuk mencari sebuah ketenangan.

Himpitan-himpitan tanggungjawab di tempat kerja, tugas dan tanggungjawab terhadap rumahtangga dan keluarga, masalah demi masalah datang menghimpit di kiri kanan atas dan bawah sehingga menyesakkan jiwa. Tidak pernah sepanjang kehidupan kami, kami merasa begitu sesak, hingga tidak tahu kemana lagi hendak dituju, ibarat berada di dalam terowong sempit yang tidak ketahuan dimana penghujungnya.

Saban malam kami berdoa agar Allah mengurniakan kami jalan keluar dari segala himpitan-himpitan yang merimaskan dan menjauhkan kami dari berhubung dengan pintu-pintu langit. Kami ingin mencari jalan kembali.

Alhamdulillah, jalan keluar yang Allah tunjukkan adalah dengan mengurniakan kami ilham untuk bertamu ke rumahnya, punca segala ketenangan dan kebahagiaan, tempat turunnya wahyu dan tempat bersemadi manusia yang paling dicintai oleh Allah.

Kami merasa amat takjub dengan ilham ini, sebelum ini belum pernah terlintas di benak fikiran kami walaupun mempunyai segenap kemampuan dan kesempatan masa untuk menziarahi rumahnya.

Ilham ini adalah ibarat jemputan agung kepada kami, kami merasa amat berbesar hati dan terharu menerima jemputan dari pemilik segala keagungan di langit dan di bumi. Ramai yang mungkin mempunyai wang yang banyak, kesempatan masa dan timbunan harta tetapi belum diizinkan untuk bertamu ke sana.

Kami merasa bahawa bahawa kami adalah insan bertuah antara ramai manusia-manusia lain yang diberi keizinan dan kesempatan untuk bertamu ke rumahnya. Syukur ya Allah, atas segala nikmat yang telah kau kurniakan.

Ramai yang mencari bahagia, tetapi bahagia itu dicari pada banyaknya harta, pada hebatnya kereta, pada besarnya rumahtangga dan mungkin pada tempat-tempat percutian yang luarbiasa, tetapi akhirnya beroleh kecewa dan menambah keserabutan di jiwa.

Hakikatnya bahagia itu hanya ada pada punca segala bahagia, jalan mencari kebahagiaan hanyalah dengan kembali kepada tuhan. Jika anda merasa kecewa, duka, dan luka jiwa kembalilah kepadanya, kerana hanya dia yang mempunyai penawar untuk segalanya.

Berdoalah saban waktu kepadanya, nescaya akan ditunjukkan jalan keluar yang tidak disangka-sangka. Kesudahan yang baik hanyalah milik orang-orang yang bertaqwa.

Kami bersyukur kerana kami ditunjukkan jalan untuk kembali padanya. Jalan untuk pulang mencari punca kebahagiaan. Alhamdulillah.

Alhamdulillah...

Alhamdulillah

Saya telah selamat tiba dari Madinah-Mekkah-Karachi semalam 11.30 am waktu tempatan. Kesyukuran yang tidak terhingga atas segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada hambanya ini.

Sungguh dua kota ini adalah kota yang penuh keajaiban, saya pulang membawa seribu kenangan dan keinsafan bahawa Allah itu Maha Agung

Insyaallah selepas ini saya akan berkongsi kisah dan pengalaman menarik sepanjang perjalanan kami di 2 tanah haram ini.

Salam untuk semua

Haruman Raudah, Lambaian Kaabah Menggamit Kalbu

Assalamualaikum semua

Malam ini persiapan terakhir kami sebelum berangkat ke tanah suci keesokannya, walaupun hanya untuk menunaikan Umrah dan Ziarah, tetapi haruman Raudah dan lambaian Kaabah bagaikan melambai-lambai menggamit hati yang penuh noda dosa untuk kembali kepada fitrah.

Dengan penuh kerendahan hati, kami ingin memohon ampun dan maaf sepanjang perkenalan dan pergaulan di bumi Kedah yang penuh dengan cinta dan perasaan yang tidak dapat dinukilkan dengan perkataan.

Kami amat berharap, agar doa teman-teman seluruhnya mengiringi perjalanan kami ke Tanah Suci, moga segala urusan kami dipermudahkan, diberi kesempatan, kekuatan dan petunjuk untuk menunaikan ibadah di Bumi Makkah dan Madinah.

Salam penuh kerinduan untuk semua...Hingga bertemu lagi, Insyaallah

Sempurnakan Wudhu' mu



Suatu hari, kami pulang bersama Rasulullah s.a.w dari Mekah menuju ke Madinah. Di pertengahan jalan, apabila kami tiba di suatu tempat yang mempunyai air kami dapati sekelompok manusia dalam keadaan tergesa-gesa mengambil wuduk kerana waktu Asar hampir luput. Apabila kami menghampiri mereka, kami dapati tumit-tumit mereka kering tidak dibasahi air. Maka Rasulullah s.a.w telah bersabda: Celakalah tumit-tumit yang tidak basah itu dengan ancaman api Neraka. Sempurnakanlah wuduk kamu dengan baik
(Hadis riwayat Muslim)

Menyempurnakan wudhu adalah tuntutan agama, pra syarat penting dalam mendapatkan solat yang berkualiti. Wudhu yang diambil secara sambil lewa membayangkan kualiti solat yang juga bagai melepas batuk di tangga.

Dunia hari ini adalah dunia yang ingin pantas dan ringkas pada segala-galanya, dari makanan, pesanan ringkas hinggakan pada urusan wudhu' pun mahu diringkaskan.

Melihat kepantasan dan ketergesaan umat hari ini dalam soal wudhu amat membimbangkan. Ramai yang berwudhu dengan sambil lewa dan tergesa-gesa hinggakan terdapat anggota-anggota wudhu yang tidak disempurnakan dengan sempurna.

Muka tidak disapu sepenuhnya, rambut hanya berpada pada 3 helai sahaja, rataan di tangan yang tidak dipanjangkan ke siku, melalukan sahaja air pada kaki tanpa menggosoknya hingga terabai tumit dan celah-celah jari adalah antara kesalahan utama dalam wudhu yang dibimbangi wudhu itu tidak sah. Tidak sah wudhu bermakna tidak sahlah solat.

Hukum mengambil wudhu dengan sempurna sebelum solat adalah wajib. Jika kekurangan ilmu tentang kesempurnaan wudhu menjadi alasan pada seseorang untuk mengabaikan wudhu yang sempurna, maka menuntut ilmu tentang wudhu adalah wajib baginya.

Jika dalam urusan keduniaan, kita bersungguh-sungguh menuntut ilmu hingga ke peringkat PhD, apakah dalam urusan wudhu dan solat kita hanya berpada setakat ilmu yang dipelajari di sekolah rendah sahaja?

Ayuh, kita sempurnakan wudhu kerana wudhu itu adalah perisai bagi mu'min dan akan menjadi cahaya bagi seseorang di akhirat nanti.

Berbuat baiklah, namun jangan sekali-kali kalian menghitung-hitungnya, ketahuilah bahwa sebaik-baik amalan kalian adalah solat, dan tiada yang dapat menjaga konsistensi dalam berwudhu kecuali orang yang beriman.” (HR.Ibnu Majah dan Al-Hakim).

Manifestasi Kekaguman Tanda Kebesaran

Tanda-tanda Kebesaran Allah bukan hanya pada kalimah Allah yang terbentuk pada sisik ikan, pada gumpalan awan pada pokok yang ruku' atau batu yang bersujud. Tetapi perhatikanlah kebesaran Allah pada ciptaan-ciptaannya yang mengkagumkan.

Semalam aku sempat snap beberapa gambar bukti kebesaran Allah terdapat dimana-mana,





Gambar-gambar ini bukanlah menakjubkan, pemandangan biasa sahaja, tetapi pada setiap ciptaan Allah itu ada tanda-tanda kebesarannya yang tersendiri.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering) -nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. (2:164)

Apa yang penting bukanlah rasa kekaguman atau ketakjuban terhadap sesuatu fenomena, tetapi manifestasi dari kekaguman itu harus membuahkan rasa takut kepada Allah dan siksa hari akhirat.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,(3:190)

(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (3:191)

Marilah kita menjadi orang berakal yang takut pada Allah, bukan orang berakal yang menderhakai Allah.

Anak : Satu Anugerah 1000 Keajaiban



"Nampak macam geng masak-masak je,kat bawah tu nampak kosong, tapi masih belum 100% pasti lagi, mungkin ada kemungkinan lain"

Dr. Murizah memberikan telahannya tentang jantina anak kedua kami yang baru berusia 4 bulan dalam kandungan.

Aku hanya tersenyum, hati terasa berbunga-bunga, walaupun ada juga mengharap agar jantina bayi kami yang ke dua ini lelaki. Namun aku tidak kesah, walauapapun jantinanya, tetap akan ku tatang bagai minyak yang penuh.

Mengimbau kenangan kehamilan isteriku yang kedua ini, jalannya penuh dengan tanda-tanda kebesaran dan meneguhkan lagi pendirianku bahawa manusia hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan segalanya.

Semenjak berhenti rehat setahun setelah kelahiran Humaira, kami telah mencuba pelbagai kaedah untuk mendapatkan zuriat kedua, pil kesuburan, suntikan, urutan, Biodex dan pelbagai lagi hinggakan isteriku hampir berputus asa setelah 3 tahun mencuba dan mendapat hasil yang kecewa.


Humaira sejurus selepas dilahirkan

Namun, Ramadhan tahun lepas benar-benar membuktikan kebesaran Allah. Aku masih lagi ingat, tidak putus doaku setiap solat, di atas motor, sebelum sahur, ketika iktikaf, bibirku basah dengan doa dan harapan agar Allah mengurniakan zuriat yang kedua. Antara doa yang selalu aku ulang-ulang adalah :

Di sanalah Zakaria mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa".
(3:38)

Bulan 11, sejurus sebelum isteriku melalui prosedur IUI, satu tahap dibawah IVF(persenyawaan beradas) yang rumit dan menyakitkan, tanpa sebarang ubat subur, suntikan dan sebarang bantuan ubat-ubatan, dengan kehendak Allah, isteriku hamil.

Kami mulanya seakan tidak percaya, sehingga berulang 2 ke 3 kali klinik untuk membuat pengesahan. Sehingga kandungan itu berusia 3 bulan barulah aku benar-benar yakin bahawa isteriku hamil.

Sesungguhnya Allah itu maha berkuasa melakukan apa yang dikehendakinya, walaupun melampaui batas logik akal manusia, ingatlah penciptaan Nabi Adam, pengurniaan zuriat kepada Nabi Zakaria dan kelahiran Nabi Isa Putera Maryam.

Allah itu berkuasa mengurniakan zuriat kepada sesiapa yang dikehendakinya, benarlah firman Allah :

"atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa." (42:50)

Anak adalah satu anugerah penuh keajaiban dari Allah yang berkuasa atas segala sesuatu.