Kisah Isra' & Mi'raj di Dataran Horsham

Perjalanan masih lagi jauh, saya mengintai melihat jam di ‘dashboard’ Toyota Corolla yang disewa.

10 malam. Jika di Malaysia, ia mungkin masih awal, tetapi di Australia ketika musim sejuk, malam telah bermula sejak jam 5 petang. Bermakna telah hampir 5 jam kami memandu tanpa sinaran cahaya matahari.

Titik kecil pada peta digital Google dari ZTE Mytab menunjukkan lokasi terkini adalah di daerah Horsham, masih lagi ada 1/3 perjalanan harus ditempuhi sebelum sampai ke destinasi di Clayton, Victoria.

Destinasi kami malam itu adalah rumah sahabat yang baru dikenali iaitu Dr. Ihsanudin Abas. Keesokan harinya saya dan isteri dijemput untuk menjadi panelis forum Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung anjuran ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) Cawangan Victoria di Pelham Musolla. Hari seterusnya kami dijemput pula sebagai penceramah dalam program kuliah bulanan masyarakat melayu di Clayton untuk memberikan pengisian tentang pendidikan anak-anak.

Jemputan sebegini yang jarang-jarang sekali hadir, saya dan isteri penuhi dengan perasaan gembira walaupun jarak perjalanan yang harus ditempuhi lebih dari 760 km sehala. Kesempatan untuk memberi dan berukhuwwah adalah satu peluang yang tidak harus ditolak.

Sengaja saya memilih jalan darat untuk melihat pemandangan bumi Australia secara dekat. Ternyata, ia cukup indah dan memukau, hingga banyak kali tanpa sedar lidah mengucapkan kalimah puji-pujian tanda kagum dengan kebesaran ciptaan tuhan yang penuh warna-warni.

“Ayah tak mengantuk ke?” Humaira’ menegur dari belakang. Saya melihat melalui cermin pandang belakang, samar-samar kelihatan Humaira’ yang terkebil-kebil menahan matanya dari tidur. Khadijah telah lama tidur seperti biasa sementara isteri saya juga telah terlena sejak tadi.

“Mengantuklah juga. Humaira’ tak tidur lagi?” Saya menjawab.

“Tak, nak teman ayah, kasihan ayah mengantuk. Tidurlah dulu ayah, nanti bahaya.” Pesan Humaira’ prihatin. Semakin besar, kalimah-kalimah yang keluar dari lisannya kedengaran semakin dewasa.

“Boleh lagi, lagipun kat sini mana ada tempat yang elok untuk berhenti. Ayah boleh tahan lagi, sambil-sambil makan kacang dan tengok bintang yang cantik dan banyak, seronok je ayah memandu.”

Jika pada waktu siang, pemandangannya adalah dataran luas dan ribuan binatang ternak yang memukau pandangan, malamnya pula langit yang cerah dihiasi bintang-bintang yang cukup jelas dan kelihatan lebih hampir. Tambahan di kawasan dataran dan pendalaman seperti di daerah Horsham, kerlipan dan gugusan bintang kelihatan begitu menakjubkan.

Melihat bintang di langit yang terang, saya teringatkan kisah Isra’ Mi’raj baginda. Tambahan pula ketika berada di penghujung bulan Rejab yang cukup bersejarah ini. Timbul pula idea untuk sesi bercerita malam malam begini. Bagus juga untuk menghilangkan mengantuk.

“Humaira tahu tak kita sekarang berada dalam bulan apa?” Saya bertanya untuk memulakan kisah.

“Tak tahu, bulan apa?” jawab Humaira’.

“Bulan ini namanya bulan Rejab, dalam bulan Rejab, berlaku satu peristiwa yang cukup istimewa.” Jelas saya sambil berfikir tentang dimensi kisah Isra’ dan Mi’raj yang harus saya ceritakan kepadanya.

“Peristiwa itu namanya peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Humaira nak dengar cerita tak tentang Isra’ dan Mi’raj.” Saya menawarkan. Sejak berada disini, kami agak jarang bermusafir seperti di Malaysia. Maklumlah, jika di Malaysia, pulang ke kampung menjadi agenda dwi bulanan. Belum lagi dikira agenda kerja, seminar dan pelbagai lagi. Peluang berkereta bersama biasanya saya akan gunakan untuk sesi bercerita dan bermain bersama.

“Nak nak nak” pantas dia menjawab. Selagi mana dia ingin mendengarnya, maka selagi itulah saya akan terus bercerita. Semoga nanti cerita-cerita ini akan melekat di jiwanya.

“Baik begini. Kisah Isra’ Mi’raj ni adalah kisah bagaimana Rasulullah diterbangkan dari Makkah ke Palestin dan kemudian naik ke langit bertemu dengan Allah.” Saya memberikan sinopsis kisah.

“Terbang? Macamana Rasulullah terbang?” Tanya Humaira’ penuh hairan.

“Haaa, itulah yang hebatnya. Begini, pada satu malam, Malaikat Jibril datang kejut Rasulullah dari tidur dan kemudian beritahu pada Nabi bahawa malam itu mereka akan keluar berjalan-jalan”

“Lalu Rasulullah pun bangun dan ikut malaikat Jibril dan kemudian Jibril bawa Rasulullah untuk naik seekor binatang yang namanya Buraq. Rupanya seperti kuda agaknya, ayah pun tak pasti, tapi dia boleh bergerak laju, lebih laju dari kereta yang kita naik ini dan lebih laju lagi dari kapal terbang.”

“Kemudian, Rasulullah naik binatang yang namanya Buraq itu untuk pergi ke Masjid Aqsa yang letaknya di Palestin. Sekejap sahaja Rasulullah sampai. Tak macam kita yang tak sampai-sampai lagi ke Melbourne ni walaupun bertolak pagi tadi.” Jelas saya sambil mengaitkannya dengan situasi yang sedang kami hadapi.

“Sebab itu Masjid Aqsa di Palestin ini sangat istimewa Humaira’. Sebab ketika malam Isra’ dan Mi’raj, Rasulullah solat bersama dengan semua Nabi-Nabi di situ. Tapi sekarang, orang-orang Israel yang jahat yang menjaga masjid ini. Kita sebagai orang Islam kena bebaskannya semula sebab ia milik kita semua.” Saya menjelaskan penuh semangat.

Humaira’ senyap tidak menjawab atau memberi respon seperti biasa. Entah apa yang difikirkan agaknya. Saya melihat ke belakang dan dalam samar malam saya lihat matanya masih lagi terbuka, cuma bantal hijaunya telah digenggam erat sambil menguap.

Ketika ini, kami telah melintasi Bandar Horsham menuju ke Balarat dan sedang melalui satu kawasan yang namanya Gerang Gerung!

“Dari Masjid Aqsa, Rasulullah kemudian dibawa oleh Jibril untuk naik ke langit untuk berjumpa terus dengan Allah.” Saya menyambung cerita dengan mata yang masih khusyuk memandu kereta. Otak saya masih ligat berfikir tentang pengajaran dan dimensi mana yang harus saya tekankan kerana peristiwa Isra’ Mi’raj mempunyai pelbagai perspektif untuk dikupas.

“Allah duduk di langit ke ayah?” Humaira’ mencelah dengan soalan mencabar membuatkan kelancaran cerita terhenti seketika. Berpeluh juga hendak menjawab soalan sebegini. Hendak mengupas persoalan di mana duduknya Allah bukannya satu persoalan yang mudah.

“Sebenarnya, ayah sendiri tidak tahu Allah itu ada di mana, tapi apa yang ayah tahu walau dimana sahaja Allah berada, dia sentiasa memerhatikan kita. Samada di langit atau dimana sahaja, Allah tetap memerhatikan dan menjaga kita.” Saya cuba mengelak dari menjawab soalan tersebut secara langsung untuk mengelakkan kekeliruan, tapi saya membawa penerangan kepada khasiat dari pemahaman di mana duduknya Allah, iaitu rasa takut kepada tuhan walau di mana sahaja.

Melihat dia tidak memberi sebarang respon, saya menyambung. “Kemudian, Rasulullah sampai ke satu tempat yang cukup cantik, lalu di tempat tersebut Allah telah berjumpa dengan Rasulullah dan menyuruh orang-orang Islam semuanya untuk solat 5 waktu.” Kali ini saya mengelak dari menggunakan istilah langit buat sementara waktu kerana poin penting yang ingin saya utarakan adalah bagaimana suruhan solat boleh bermula dan betapa pentingnya untuk tidak meninggalkan solat walau dalam apa jua keadaan.

“Sebab itulah, kita tidak boleh meninggalkan solat. Sebab solat ini satu perkara yang sangat istimewa yang mana Allah menyuruh kita melakukannya pada satu malam yang hebat, di tempat yang hebat dan ketika mana Rasulullah sedang berjumpa dengan Allah.”

“Penting sangat untuk kita sentiasa solat, walau macamana susah pun kita. Tidak kira masjid ada atau tiada, masa kita sakit atau sejuk, solat mesti dilaksana. Faham tak Humaira’?”

“Itulah kisah Isra’ dan Mi’raj, pada malam tu juga Rasulullah nampak syurga dan neraka dan macam-macam balasan yang akan diterima oleh orang-orang yang berbuat jahat.” Saya mengakhiri kisah.

“Humaira’ faham tak? Tak nak tanya apa-apa ke?” Saya bertanya lagi, namun sepi tanpa jawapan.

“Laa, dah tidur rupanya.” Saya berkata sendiri setelah menoleh ke belakang dan melihatnya telah lena dibuai mimpi. Kemudian saya memerhatikan gemerlapan bintang-bintang di dada langit yang cemerlang.

Bumi ini jika dibandingkan dengan keluasan galaksi dan saiz bintang-bintang, hanyalah ibarat pasir kecil yang tidak kelihatan. Sungguh agung kekuasaan dan kerajaan Allah di langit yang telah di saksikan oleh baginda Nabi pada malam yang mulia itu.

Sungguh, pada penciptaan langit dan bumi serta pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu ada pelajaran bagi hati yang ingin memahami.

Muhasabah Dari Mr. Johnson

Terima kasih Mr. Johnson atas sedikit muhasabah tentang pendidikan anak-anak hari ini.


“Abang, ada panggilan dari sekolah, dari Mr. Johnson” panggilan isteri dari ruang tamu mengejutkan saya yang sedang termenung dihadapan laptop mencari ilham menulis kertas cadangan untuk PhD.

“Mr. Johnson? Kenapa pula dia telefon petang-petang begini. Apakah Humaira’ ada masalah yang besar di sekolah” Saya bermonolog sendiri ketika hendak mencapai telefon. Sejak Humaira’ bersekolah di East Torrens, tidak pernah kami mendapat apa-apa panggilan dari pihak sekolah kecuali satu sms dari pejabat yang meminta kami menjelaskan mengapa Humaira’ hadir lambat ke sekolah pada satu hari.


“Hello, how are you doing” Mr. Johnson memulakan sapaan dalam telefon dengan gaya biasa orang Australia memulakan bicara dan dengan slanga Australia yang mudah difahami.

“Good, and how are you doing Mr. Johnson? Is there any problem with Humaira’ at school?” saya terus bertanya penuh sangsi.

(perbualan seterusnya sudah tentu dalam Bahasa Inggeris, namun saya terjemahkan dan olah sedikit untuk memudahkan penulisan dan pemahaman.)

“Baik-baik sahaja, tidak, tidak ada masalah yang besar. Sebenarnya, Humaira’ sangat cemerlang di sekolah,, cuma ada beberapa perkara tentang dirinya yang saya rasa saya perlu bincangkan.” Jelas Mr. Johnson. Seperti biasa, kebanyakan orang di Australia ini cukup ringan lidah untuk memuji, biarpun perkara itu jelas masih banyak cacat celanya. Satu budaya yang baik dan perlu diamalkan. Cuma selepas pujian barulah masalah-masalah akan diterangkan dengan cara yang begitu tertib.

“Oh! Apa kisahnya? Apakah dia tidak memberi kerjasama di dalam kelas?” Saya tertanya-tanya dan cuba meneka. Tipikal orang Malaysia yang sentiasa bermula dengan sangkaan yang kurang baik. Satu budaya yang perlu diubah.

“Tidak, tidak. Cuma sejak kebelakangan ini, saya lihat Humaira’ seperti kurang bersemangat di sekolah. Apakah ada apa-apa perkara yang menganggu fikirannya?” Tanya Mr. Johnson kepada saya melalui corong telefon iPhone hitam yang canggih.

“Hmmm...” saya mengeluh panjang.

Sebelum ini memang kerap kali Humaira’ mengadu kepada kami tentang kerinduannya kepada sekolah, kawan-kawan dan saudara maranya di Malaysia juga kegelisahannya ketidakpuasan hatinya dengan sistem pembelajaran di sini yang lebih banyak berunsur permainan berbanding di tadika lamanya di Malaysia yang belajar menerusi kaedah konvensional dan mempunyai peperiksaan.

Ditambah dengan cuaca musim sejuk yang tidak menentu, langsung tidak membantu.

Namun saya cuba memujuknya dan meminta dia bersabar kerana mungkin dia masih dalam tempoh adaptasi dengan persekitaran persekolahan baru. Tetapi tidak pula saya menyangka yang ia akan berpanjangan hingga menganggu fikirannya di dalam kelas.

Secara peribadi, saya lebih suka dengan kaedah pendidikan berunsurkan permainan dan interaksi yang diterapkan di sini berbanding di Malaysia yang terlalu menekankan kepada peperiksaan dan bilangan A yang dicapai.

Setiap minggu pada hari Selasa, Humaira’ akan diminta untuk bercerita di hadapan kelas tentang apa jua perkara. 
Pada masa yang lain juga, dia akan memasuki kelas drama untuk belajar seni persembahan, belajar mengetuk gendang beramai-ramai, menghasilkan projek-projek kelas seperti suasana di bawah laut dan di dalam hutan dan kemudian hasil-hasil ini akan dibentangkan semasa perhimpunan mingguan sekolah.

Menarik.

Latihan latihan sebegini akan lebih membina kreativiti dan keyakinan diri berbanding sistem yang terlalu memberi penekanan kepada peperiksaan yang akan banyak membunuh potensi anak-anak yang datang dengan pelbagai rupa dan warna.

“Saya rasa, mungkin Humaira’ masih lagi dalam proses mengadaptasikan diri dan masih lagi cuba membina keyakinan diri dengan persekitaran barunya. Memang dia ada menyatakan yang dia masih rindu pada sekolah dan kawan-kawannya di Malaysia, tapi saya yakin dengan berlalunya masa, Humaira’ akan dapat menyesuaikan diri.” Jelas saya kepada Mr. Johnson.

“Oh, baguslah kalau begitu. Seperkara lagi, saya perhatikan Humaira’ seperti takut untuk mencuba menjawab sebarang soalan dan dia kelihatannya seperti tidak berani untuk melakukan kesalahan.” laporan seterusnya dari Mr. Johnson membuatkan saya sedikit tersentak.

Lama saya terdiam memikirkan respon bagaimana yang harus saya berikan sebelum Mr. Johnson menambah lagi.

“Jika saya bertanya kepadanya tentang pelajaran atau buku yang dibacanya di rumah, dia akan senyap tidak menjawab jika dia tidak mempunyai jawapan yang pasti. Begitu juga ketika diminta untuk mengeluarkan pendapatnya tentang buku atau apa jua perkara, sukar untuk membuatkannya bercakap dan mengeluarkan pendapat.”

“Hmmm....” saya termenung panjang buat kali kedua.

Hendak dikatakan silap dalam mendidiknya, mungkin ada juga. Walaupun telah berusaha untuk cuba bersabar dan memberi banyak rangsangan positif, namun ada ketikanya kesabaran teruji dan kesilapan dan kelemahannya dibalas dengan hukuman yang mungkin menyebabkan dia menjadi orang yang takut untuk melakukan kesalahan.
Sebagai contoh, ketika dia cuba ‘membantu’ dalam urusan masakan di dapur ketika suasana yang penuh kekalutan dan ketika itu jika ada benda-benda yang ditumpahkannya ketika itu, kadang-kadang tanpa sedar, ungkapan kemarahan berlaku tanpa sempat butang ‘pause’ ditekan.

Walaupun mungkin tidak serius, tapi jiwa anak perempuan amat sensitif walaupun hanya dengan sepatah ungkapan kemarahan.

Syukurlah perkara ini dapat dikesan dan diperbetulkan dengan lebih awal kerana jika ia berlarutan, berkemungkinan Humaira’ akan hilang rasa percaya pada kami dan akan membesar menjadi orang yang lebih rela berbohong berbanding berkata benar dalam kepahitan. Mungkin itulah kesan tarbiah kemarahan pada anak-anak.

“Apa yang dapat kami lakukan Mr. Johnson?” Saya kehilangan idea dan meminta pandangannya.

“Saya rasa begini, untuk permulaan, buku yang kami beri untuk dibaca di rumah, jangan sekadar baca dan betulkan sebutannya sahaja, tapi cuba berinteraksi dengan buku tersebut. Minta pendapatnya, tanya soalan dan banyakkan berbincang. Ketika bersoal jawab, apa yang penting adalah nyatakan padanya tidak apa untuk melakukan kesalahan dalam proses pembelajaran.”

“Kemudian, terangkan juga kepadanya tentang maksud di sebalik buku tersebut. Jika boleh minta dia ceritakan semula dengan ayatnya sendiri.”

“Kemahiran membaca, menyebut dan mungkin menghafal memang penting, tapi apa yang lebih penting adalah kefahaman yang diperolehi dari buku yang dibaca.” Jelas Mr. Johnson panjang lebar, mengingatkan kembali kepada saya akan prinsip-prinsip penting dalam menuntut ilmu, iaitu kefahaman dan aplikasi kepada kefahaman tersebut.

“Ok baik, saya akan cuba perbaiki. Terima kasih atas cadangan dan rasa ambil berat pada anak kesayangan kami.” Nyaris-nyaris sahaja saya mengucapkan Insyaallah. Namun kalimah itu hanya saya ungkapkan dalam hati sahaja.

“No worries, jika ada apa-apa yang ingin dibincangkan, boleh sahaja kita berbincang disekolah pada waktu pagi atau selepas waktu sekolah. Kalau nak telefon pun tak mengapa. Apa yang penting, cuba banyak beri galakan pada Humaira’ dan saya juga akan jalankan peranan saya di sekolah.” Mr. Johnson mengakhiri perbualan.

“Baik-baik, terima kasih sekali lagi, nanti saya akan datang untuk berbincang jika ada apa-apa perkara.” Saya mengucapkan terima kasih dengan helaan nafas yang agak panjang.

“Ok, nanti kita jumpa lagi ye, bye” Mr. Johnson meletakkan telefon.

“Ada apa ayah? Mr. Johnson ke yang telefon tadi?” Humaira’ yang memerhati dari meja makan sejak tadi bertanya penuh musykil.

Saya memandang wajahnya lama dan kemudian tersenyum kemudian saya alihkan pandangan ke wajah isteri yang penuh tandatanya lalu tersenyum juga padanya.

“Jauh lagi perjalanan kita. Nantilah kita bincang panjang tentang perkara ni ibu.” Saya menjelaskan penuh ibarat kepada keduanya sambil melihat ke luar tingkap, menambah persoalan yang bermain di benak mereka.

Perjalanan ini masih lagi panjang dan berliku, Mendidik anak-anak, terutamanya anak perempuan bukanlah satu tugas yang mudah. Terima kasih Mr. Johnson atas sedikit muhasabah tentang pendidikan anak-anak yang diberi hari ini.

Ya Allah, berilah aku kekuatan dan anugerahilah aku hikmah Luqman dalam mendidik anak-anak kami untuk menjadi insan yang bertaqwa.


Mendidik Anak Mengenal Ihsan

“Humaira’, sudah-sudahlah main iPhone tu, jom kita main benda lain pula.” Saya memecah kebuntuan malam yang masih panjang dengan cadangan permainan lain setelah melihat dia agak leka bermain dengan iPhone ibunya sejak tadi.

“Main apa ayah?” Dijawabnya acuh tidak acuh, tumpuannya masih pada permainan ‘Bubble Bust’ yang amat mengasyikkan. Bimbang juga melihatnya, khuatir jika ketagih pula nanti. Untuk mengalihkan tumpuannya, alternatif harus diberi. Saya berfikir seketika dan terfikir satu permainan mudah tapi penuh pengajaran.

Dari berdiri, saya duduk disebelahnya dan mengangkatnya ke atas riba. Seketika itu juga saya mengambil iPhone dari tangannya. Wajahnya bertukar masam. Jika tidak dibuat drastik begitu, sukar hendak berhenti.

“Jom kita main sorok-sorok belon,” saya memberi cadangan. Permainan sorok-sorok adalah antara permainan yang paling digemarinya, namun kali ini formatnya bertukar sedikit. Bukan diri yang disorokkan, tapi belon yang menjadi ganti.

“Haa, macamana main dia tu ayah?” Wajahnya ceria sedikit mendengar permainan sorok-sorok yang akan dimainkan.

“Humaira’ ambil belon ni dan sorokkan belon ini di tempat yang tiada siapa boleh nampak.” Saya menjelaskan format permainan yang amat mudah.

“Ok, Humaira’ sorok dalam bilik boleh?” Dia mengambil belon tersebut, berdiri di hadapan pintu bilik dan memberi cadangan yang amat naif.

“Aiseh, tak payah la beritahu ayah, tak jadi la permainan kita nanti.” Saya menjawab sambil tertawa kecil.

“Ok, kalau macam tu ayah tutup mata dulu dan kira hingga 10,” Humaira’ memberikan syarat.

“1,2,3,4, 5, Sudah ke?” Saya bertanya sambil menekupkan tangan dan muka ke dinding.

“Belum!”  Jawab Humaira’, jelas kedengaran suaranya dari dalam bilik.

“6,7,8,9,10 sudah ke?” saya bertanya lagi.

“Ok, sudah! Ayah boleh cari sekarang.” Seketika itu juga saya masuk ke bilik dan mencari belon yang disorokkan.

Sekali imbas sahaja saya sudah nampak belon yang disorokkan di bawah katil, tapi sengaja saya melambat-lambatkan tempo permainan dengan mencari di tempat-tempat lain bagi menambah keseronokannya kerana belon yang disorokkan tidak dapat saya jumpa.

“Alamak, ayah tak jumpa la, hebatnya Humaira’ sorokkan.” Saya ‘mengalah’.

“Mestilah! Yeye! Ayah dah kalah!” Dia berkata penuh bangga sambil mengeluarkan belon dari bawah katil.

“Eh, ayah tak kalah lagi sebab ayah kata syaratnya kena sorok di tempat yang tiada siapa boleh nampak.” Saya membantah.

“Kenapa pula, dah ayah tak jumpa cari, tentulah ayah kalah.”

“Haa, ayah mungkin tak jumpa cari, tapi Allah tahu Humaira’ sorok di mana tadi.”

“Macamana hebat Humaira’ sorok sekalipun, Allah tetap akan nampak di mana Humaira’ sorokkan belon tersebut, jadinya yang paling hebat tentulah Allah.”

“Allah dia tahu setiap pergerakan kita, apa sahaja yang kita buat, kecil atau besar, dalam gelap atau semasa cerah, semuanya Allah nampak.” Saya memberikan pengajaran ringkas, tapi bermakna.

“Ok, sekarang giliran ayah pula untuk sorokkan belon.” Saya mengambil belon itu dari tangannya dan meminta dia menekupkan wajah ke dinding. Belon itu kemudiannya saya masukkan ke dalam baju.

“Ok, dah!” laung saya dari dalam bilik, memberi isyarat pencarian boleh mula dilakukan.

Humaira’ masuk ke bilik dan kemudiannya terus ternampak belon yang disorokkan, “alamak, senangnya, dah nampak belon dalam baju ayah lah!”

“Eh, apa buktinya? Humaira’ nampak ke belon tu?” Saya mempertikai.

“Nampak, ada dalam baju ayah tu!”

“Tapi macamana Humaira’ boleh tahu ada belon dalam baju ayah sedangkan Humaira’ tak nampak pun belon?”

“Dah baju ayah jadi besar macam belon dan Humaira’ boleh rasa belon ni.” Jelasnya sambil mencucuk-cucuk belon yang ada di dalam baju.

“Ok, baiklah, Humaira’ menang.” Saya mengalah, sambil mengeluarkan belon dari dalam baju dan saya serahkan kepadanya.

“Yeeah!” Humaira' melompat gembira.

“Sekarang barulah Humaira’ nampak belon kan? Sebelum ini tak nampak, Cuma nampak tanda belon itu ada sahaja kan?” saya menghabiskan permainan tadi dengan sedikit pengajaran.

“Haa!, macam itu jugalah dengan Allah, walaupun kita tak nampak dia, tapi tanda-tanda dia ada tetap ada. Contohnya macam udara, air, pokok, bukit bahkan kita sendiri. Mustahil benda-benda yang ayah sebut tu dan Humaira’ boleh ada dengan sendiri tanpa ada siapa yang cipta.” Jelas saya lagi.

“Itulah tanda bahawa Allah itu ada dan sentiasa memerhatikan kita.” Saya menyudahkan pengajaran dan kemudian mengajaknya menyambung permainan.

“Ok, sekarang jom kita main permainan lain pula!”

Tips Pendidikan Anak-Anak

Mengajarkan iman kepada anak-anak, tidak semestinya dalam keadaan yang membosankan, tapi ia boleh dilakukan dengan penuh kegembiraan, dalam setiap permainan, pasti ada pengajaran tentang iman dan tuhan yang boleh kita selitkan.

Elakkan anak dari terlalu asyik dengan teknologi seperti permainan video, Internet dan sebagainya. Sebagai alternatif, bawalah mereka bermain bersama di taman permainan, memerhatikan alam, malah di rumah pun, pelbagai permainan mudah boleh direka untuk mengalih tumpuan mereka dari terlalu leka dan seronok dengan teknologi. Jangan biarkan anak menjadi hamba teknologi, tapi ajar mereka untuk menghambakan teknologi!




Menanam Empati Dalam Diri Anak-Anak

“Ya Allah, berak lagi ke adik ni?”

Saya berkata sendiri ketika tercium bau busuk semasa mendukungnya. Hari ini masuk hari ke empat Khadijah mengalami cirit birit dan hari ini sahaja telah beberapa kali lampinnya bocor kerana terlalu banyak najis cair yang keluar setiap kali dia cirit menyebabkan lampin pakai buang Pet Pet yang dibawa dari Malaysia tidak mampu untuk membendungnya.

Setiap kali lampinnya bocor, pasti akan terkena pada seluar dan jika kami tidak berhati-hati dan tidak cepat menyedarinya, besar kemungkinan akan terpalit pada tempat lain pula. Lebih memedihkan, punggungnya juga telah kemerahan menyebabkan dia menangis setiap kali cirit dan paling mencabar bagi kami dan juga dia adalah hendak membersihkan najis pada punggung dan pada seluarnya dalam suasana yang sangat sejuk. Walaupun menggunakan alat pemanas air, namun kesejukan yang begitu mencengkam cepat sahaja akan menghilangkan kepanasan dari alat pemanas.

Musim sejuk begini di Australia kanak-kanak memang mudah terdedah kepada jangkitan virus yang akan menyebabkan sakit yang pelbagai seperti demam, selsema, sakit kepala dan cirit birit. Minggu lepas Humaira’ mengalaminya dan kini giliran Khadijah pula menjadi mangsa.

“Ayah, bila kita nak pergi Zoo ni? Bukankah ayah dah janji?” Humaira’ datang menagih janji dengan wajah yang tidak ingin memahami kesulitan yang sedang dihadapi saat saya sedang menukar lampin Khadijah yang sedang menggigil kesejukan.

Masa yang sungguh tidak kena untuk bertanya, walaupun minggu lepas saya telah berjanji padanya untuk membawanya ke Taman Haiwan Liar Goerge untuk melihat Kanggaroo, Koala dan Wombat.

Asalnya kami bercadang untuk ke taman tersebut hari ini sempena cuti hari lahir Ratu British, namun, disebabkan oleh adik Khadijah yang masih belum pulih dari cirit, saya dan isteri memutuskan untuk menangguhkan dulu perancangan dan janji tersebut. Bimbang jika adik Khadijah tercirit ketika perjalanan yang tentunya akan menyebabkan keadaan menjadi sukar. Ada juga kebimbangan ciritnya nanti akan bertambah teruk dek kerana jangkitan dari virus-virus yang ada di taman haiwan liar tersebut.

“Iye, memanglah ayah dah janji, tapi lihatlah keadaan adik Khadijah, macamana kita hendak ke Zoo dalam keadaan adik sedang cirit begini?” saya menjelaskan sambil meletakkan bedak dan memakaikan Khadijah lampin.

“Alaa, bawalah seluar lebih, kalau bocor nanti tukar sahajalah.” Humaira’ memberikan cadangan. Masih tidak mahu mengalah dan masih tidak cuba untuk memahami.

“Senangnye Humaira’ cakap ye, kalau adik tercirit, bukannya Humaira’ yang akan basuh nanti. Lagipun dekat sana kita tak tahu tandasnya macamana, entah ada atau tidak, dan kalau adapun mungkin tiada air panas.” Saya membidas cadangannya kerana yang susah nanti bukannya dia, tapi kami yang akan pening kepala.

“Kalau adik dah sihat, nanti kita pergilah ye. Insyaallah.” Saya memberikan jaminan. Keizinan Allah sebagai tebusan.

“Ala, kalau begitu, kita sahajalah pergi minggu ini, adik tak payahlah ikut, duduk dengan ibu je kat rumah, boleh tak?” Humaira’ memberikan cadangan lagi, kali ini membuatkan telinga saya sedikit panas tika mendengarnya.

“Mana boleh begitu.” Saya membalas dengan suara yang agak tegas dan kemudian memandangnya tajam.
Humaira’ menundukkan kepala, mungkin tahu cadangannya tadi agak sedikit keterlaluan.

“Cuba Humaira’ bayangkan, kalau yang tercirit ini adalah Humaira’. Seronok tak kalau waktu Humaira’ tercirit, ayah pergi Zoo dengan adik dan tinggalkan Humaira’ di rumah dengan ibu.” Saya menjelaskan lagi. Meletakkan dirinya pada kedudukan adik Khadijah agar dia lebih memahami. Juga agar dia lebih empati.

“Seronok tak?”

Saya bertanya lagi, melihat dia menundukkan wajah sambil membatukan diri membuatkan saya jadi kasihan. Namun, sifat buruk sebegini harus segera dibersihkan. Pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesusahan orang lain adalah sifat yang amat tidak disukai oleh tuhan dan juga manusia.

Kepalanya digelengkan perlahan.

“Apa yang kita tak suka pada diri kita, jangan buat pada orang lain Humaira’. Kalau Humaira’ sendiri tak suka kena tinggal, jangan sesekali fikir untuk buat pada adik. Faham tak?” Saya menjelaskan dengan nada sedikit membebel. Dia menundukkan wajah mendengar sedikit leteran saya pagi itu. 

Empati itu adalah pada memahami jiwa manusia serta merasai keperitannya. Pada cirit adik Khadijah, ada tarbiah tentang empati untuk kakaknya.

“Sudahlah Humaira’, Insyaallah kalau minggu depan adik dan sihat, kita akan pergi. Lepas ini jom kita sama-sama main belon tampar nak?” Saya merendahkan sedikit suara, mengajaknya untuk bermain bagi melupakan sedikit kesedihan.

Ketika menyudahkan urusan Khadijah, saya terfikir sendiri. 


Empatikah saya pada perjuangan Rasul dan para sahabat untuk menegakkan agama. 


Empatikah saya pada ibu bapa saya yang selama ini berusaha keras untuk memastikan kejayaan anak-anaknya. 


Empatikah saya ketika melihat isteri membasuh pinggan dalam suasana yang sejuk, empatikah saya ketika melihat isteri membasuh lauk untuk dimasak tanpa gagal setiap hari.

Mendidik anak tentang teori empati mungkin satu perkara yang mudah, tapi untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan sendiri memerlukan mujahadah.

“Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan”



Pengajaran: 

Mendidik anak memahami sifat empati adalah antara perkara penting yang perlu diterapkan dalam minda kanak-kanak yang sedang membesar dan baru hendak belajar bersosial bersama dengan rakan-rakannya. Terutama yang berusia 5-8 tahun.


Kegagalan memahami empati akan menyebabkan anak itu membesar menjadi seorang yang pentingkan diri sendiri dan tidak akan pernah faham akan kesusahan yang sedang dialami orang lain.

Memahami empati juga, adalah perkara paling asas dalam menjadikan seorang manusia itu sebagai pendakwah yang baik kerana pendakwah yang sentiasa peka akan kesusahan dan keperitan yang dialami oleh orang lain akan sentiasa cuba bersungguh-sungguh untuk menjadi penyelesai kepada masalah yang sedang dihadapi oleh umat.

Lelaki Tampan yang Kurang Asam dan Pemandu Bas yang Budiman

Menaiki bas hampir setiap hari di Adelaide (setakat ini) untuk berulang alik ke Universiti, cukup banyak perkara-perkara menarik yang saya saksikan setiap hari. Apatah lagi ketika menunggu bas di hadapan Royal Adelaide Hospital melihat pelbagai ragam manusia. Banyak yang ingin saya coretkan di blog ini, tetapi sayang, ilham dan mood datang dan pergi silih berganti, dan banyak dari kenangan itu tersemat kemas dalam memori menanti masa untuk diterjemahkan kepada kata-kata.

Semasa menunggu bas petang tadi dalam kedinginan petang yang mencengkam, saya melihat sepasang ‘couple’ sedang bergaduh sesama sendiri. Lelaki itu tampan, wanita itu juga cantik, berketurunan asia dan wajah ala-ala pelakon Korea yang digilai ramai pemuda-pemudi Malaysia masa kini.

Lelaki itu kelihatan berkasar sedikit dan seperti sedang menghamburkan kata-kata penuh amarah dengan wajah yang cukup menakutkan, wanita itu juga tidak mahu kalah, membalas tolakan lelaki tampan itu juga dengan tolakan yang agak kasar. Saya hanya melihat dan kemudian mengalihkan pandangan ke arah lain, begitu juga dengan khalayak yang lain, tidak ingin masuk campur dengan urusan ‘rumahtangga’ mereka, kecualilah berlaku perkara yang diluar dugaan. Tapi apa yang hendak dirisaukan, hospital dan beberapa kereta polis hanya di belakang.

Ketika bas H31 tiba, saya melihat wanita dan lelaki itu keduanya sedang menghisap rokok dengan wajah yang tegang. Tanpa sedar saya menggeleng kepala sendiri, kesal melihat cara layanan lelaki itu kepada wanita tersebut walaupun wanita tersebut juga kelihatan kasar. Jika sebelum berkahwin pun telah begitu tegang, bagaimanakah rupanya ketika telah berkahwin nanti? Tidak guna berwajah tampan jika akhlak buruk dan busuk seperti tong sampah.

Ketika semua telah menaiki bas, saya yang berdiri di bahagian hadapan dan beberapa penumpang lain tertanya-tanya mengapa bas masih belum berjalan. Puas meninjau, rupanya pemandu itu sedang menunggu seorang wanita tua yang berjalan perlahan.

Keseorangan dan mungkin dalam usia lewat 70 an, wanita itu berjalan terbongkok-bongkok dengan wajah yang suram. Kedutan di wajahnya mungkin menyimpan jutaan pengalaman berharga yang telah dilalui sepanjang hidupnya.

Wanita tua itu masuk dengan begitu ‘slow motion’, saya cukup kagum dengan kesabaran pemandu bas itu yang tetap menyambutnya dengan senyuman yang manis dan mempersilakannya duduk di kerusi khas walaupun wanita tua itu memberitahunya bahawa dia tiada wang untuk membeli tiket bas.

Setelah wanita itu duduk, pemandu itu bertanya lagi tentang tempat destinasinya dan ketika destinasi wanita itu telah tiba sekali lagi dia bertanya dan kemudian pemandu itu memberhentikan basnya di luar dari kawasan yang sepatutnya dia berhenti hanya kerana ingin memudahkan wanita tua itu untuk pulang ke rumahnya.

Pemandu itu wajahnya tidak tampan, rambutnya juga agak nipis di tengah, berkaca mata seperti seorang pensyarah yang mengajar bidang sejarah dengan gaya yang membosankan namun akhlaknya saya tabik. 

Lelaki budiman sebegini amat sukar dicari dalam zaman materialistik sekarang ini. Moga satu hari nanti Allah akan mengurniakan hidayah kepadanya untuk menuju ke jalan yang lurus.

Akhlak yang cemerlang walaupun dengan wajah yang kurang tampan akan menjadikan seseorang itu cukup mulia dan akan dikenang sepanjang masa.

Saya mungkin akan melupakan lelaki tampan yang berkasar dengan teman wanitanya tadi, tapi saya akan mengingati pemandu bas itu untuk satu jangka masa yang lama.





Ibarat Daun yang Berguguran

Gambar ini diambil di Pekan Hahndorf yang cantik ketika musim Autumn baru bermula,.

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).” (6:59)

“Cantiknya pokok-pokok ini, Subhanallah!” saya bermonolog sendiri ketika memandu dari rumah untuk menghantar Humaira’ ke sekolah. Biasanya dia akan menaiki van untuk ke sekolah, tapi sekali sekala saya akan menghantarnya juga sambil membawa Khadijah menyedut angin pagi yang nyaman.

Cuaca yang semakin sejuk, serta daun-daun  yang bertukar warna akibat kekeringan dan semakin banyak berguguran di jalanan menandakan perubahan musim dari musim luruh ke musim sejuk akan mula berlaku tidak lama lagi. Ketika ini, suasana di Adelaide penuh warna-warni. Suasana yang sebelumnya hijau, bertukar ceria dengan dedaunan pokok yang pelbagai warna.

Ada yang masih hijau, namun tidak banyak, ada yang merah, kuning, kuning kemerah-merahan, coklat malah ada juga yang berwarna merah jambu. Warna-warna ini ada yang terhimpun dalam satu pokok hinggakan pokok itu kelihatan seperti baru dicat oleh seseorang dengan pelbagai warna yang ceria.

Taman-taman di tepi jalan juga dipenuhi dengan daun-daun kering yang berguguran dari pokok-pokok yang sebelum ini rendang menghijau, hingga kehijauan rumput tenggelam dilitupi oleh ribuan dedaun kering.

Bukan kali pertama saya melihatnya kerana telah hampir 2 bulan saya berada dalam musim luruh, namun setiap kali melihatnya hati tidak akan pernah gagal untuk merasa takjub. “Subhanallah! Maha Suci Allah yang telah menjadikan bumi ini pelbagai warna dan rupa dengan keindahan dan keunikannya yang tersendiri.”

“Apa yang cantik ayah?” Humaira’ yang duduk di tempat duduk belakang kenderaan kehairanan melihat saya bercakap sendirian lantas bertanya.

“Oh, tak ada apa-apa, ayah cuma tengok pokok-pokok yang di tepi jalan ini sahaja. Cantik kan dengan pelbagai warnanya?” saya menjawab sambil bertanya kembali kepadanya.

“Cantik-cantik, tapi kenapa daun-daun dah tak jadi warna hijau dan banyak yang jatuh ayah?” jawapannya diringi pula dengan soalan mudah yang biasa timbul dari akal kanak-kanak yang penuh sifat ingin tahu. Namun, soalannya, walaupun mudah tapi cukup menarik dan sebenarnya amat sukar untuk dijawab dalam bahasa yang boleh difahami oleh kanak-kanak.

Ketika musim luruh dan menghampiri ke musim sejuk, waktu siang akan semakin pendek bermakna jumlah cahaya matahari yang diterima oleh pokok juga akan semakin berkurangan. Hal ini menyebabkan penghasilan klorofil untuk fotosintesis yang menghasilkan warna hijau pada daun akan mula dikurangkan untuk mengimbangi jumlah cahaya matahari yang semakin kurang.

Kehilangan warna hijau tadi akan menyebabkan pigmen warna kuning dan merah yang sememangnya ada pada daun kelihatan lebih menyerlah, menyebabkan daun itu bertukar warna.

Daun-daun yang berguguran pula, bukanlah disebabkan oleh angin yang bertiup, tapi ia adalah satu mekanisme untuk pokok ‘berehat’ apabila cahaya matahari untuk proses fotosintesis semakin kurang didapati. Pokok-pokok ini akan menyingkirkan kebanyakan dari daun-daunnya untuk menyimpan ‘tenaga’ bagi menghadapi musim sejuk yang akan datang. Seterusnya memberi ruang untuk pucuk-pucuk daun baru yang lebih segar untuk tumbuh ketika bermula musim bunga.

Mengingati kembali pelajaran Sains di sekolah menengah tidaklah sesukar mana, namun untuk menerangkannya kembali dalam bahasa yang kurang kompleks, memang mencabar.

“Sebenarnya Humaira’, pokok-pokok ini pun makhluk Allah macam kita juga. Pokok, juga perlu pada makanan seperti mana kita juga perlu pada makanan.”

“Cuma, makanan pokok bukannya nasi atau roti, tapi dia ‘makan’ cahaya matahari, air dan udara (karbon dioksida). Bila musim sejuk, pokok ini akan kurang dapat makanan sebab siang dia pendek.”

“Humaira’ ingat lagi kan yang ayah terangkan pada Humaira’ tentang kenapa waktu sekarang Maghrib semakin awal (sekitar jam 5.15 petang).” Saya mengingatkannya kepada penerangan saya tentang siang yang semakin pendek berbanding di Malaysia kerana ia punya kaitan dalam sesi tarbiah pagi ini. Tanpa menunggu jawapannya saya terus menyambung lagi kerana kami makin hampir tiba ke destinasi.

“Jadi bila siang semakin pendek, pokok akan dapat kurang makanan iaitu cahaya matahari tadi.” Saya mengingatkannya kembali.

“Bila pokok kurang dapat makanan, pokok akan kurang tenaga jadi pokok kena banyak ‘rehat’. Untuk ‘berehat’, pokok kena jatuhkan daun-daunnya sebab lagi bila banyak daun yang ada di pokok, banyak tenaga yang pokok kena guna.”

“Sebab itulah, daun-daunnya jatuh. Hah! Faham tak?” Saya menyoal kembali, kami semakin hampir untuk tiba di destinasi iaitu East Torrens Primary School.

“Hmmmm...faham kot.” Humaira’ menjawab tidak dengan sepenuh keyakinan, mungkin ada persoalan yang masih belum benar-benar dihadamkan. Tentang bagaimana pokok makan agaknya. Saya tidak ingin memanjangkan lagi persoalan saintifik di sebalik daun yang berguguran kerana ada pengajaran yang lebih penting yang ingin saya katakan.

“Daun-daun itu samalah macam manusia Humaira’, sampai masanya semuanya akan gugur. Seperti juga manusia, sampai masanya semua manusia akan mati.” Saya memberikan pengajaran pertama.

Humaira’ mendengar sambil matanya meliar melihat pemandangan di luar. Saya tahu dia sedang mendengar. Jika tidak masuk 100% pun tidak mengapa, asalkan ada sedikit kefahaman yang dapat masuk ke lubuk hatinya.

“Cuma beza kita dengan daun, bila daun jatuh, ia habis disitu sahaja, maknanya, daun itu tak akan hidup balik untuk ditanya tentang amal perbuatannya, tapi manusia, selepas semuanya mati, semua manusia akan dihidupkan balik di akhirat untuk Allah tanya tentang apa yang kita buat atas dunia.”
Saya menjelaskan lagi ketika kami telah berhenti. Ulangan pembelajaran keimanan cuma dalam warna dan latar yang berlainan.

“Akhir sekali Humaira’, setiap daun yang gugur, semuanya yang kita tengok atas jalan mahupun yang di dalam longkang. Semuanya Allah tahu di mana dan bila dia gugur dan jatuh.”

“Sama juga macam kita manusia, apa sahaja yang kita perbuat di atas dunia ini, kecil atau besar, sembunyi atau tidak, semuanya Allah tahu. Tidak ada tempat yang kita boleh bersembunyi dari Allah.” Saya mengakhiri tazkirah pagi seraya mematikan enjin kereta. Pintu belakang saya buka untuk mengambil adik Khadijah yang sedang enak menikmati buah epal yang manis dan sama-sama kami berpimpinan tangan berjalan menuju ke kelas M4.

Menarik perbincangan kami pagi ini. Dari daun yang berguguran, ada banyak pengajaran untuk kita semua meningkatkan taqwa kepadanya.

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).” (6:59)