Ahmed Deedat, pendakwah hebat yang tiada galang gantinya. Moga Allah memberikannya ganjaran terbaik. gambar:muslimheroes.wordpress.com |
“Ayah, ada orang datang,” Humaira’ mengejutkan saya dari tidur tengahari. Saya baru sahaja hendak melelapkan mata seketika setelah agak penat dengan pelbagai urusan sejak awal pagi bermula sebelum subuh hingga lewat tengahari. Walaupun hari ini hari cuti, tapi biasanya kesibukan pada hujung minggu dengan pelbagai program lebih memenatkan berbanding hari-hari biasa.
Dalam keadaan kepala yang masih berat, saya bingkas bangun menuju bilik air dan membasuh sedikit muka sebelum keluar semula untuk melihat siapakah tetamu yang tidak diundang tengahari itu. Saya menguak sedikit daun pintu dan kelihatan seorang lelaki inggeris dalam usia awal 30 an, berpakaian kemas, kelihatan agak segak dan tampan wajahnya. Melihat saya membuka pintu, lelaki itu tersenyum dan kemudian berkata (perbualan dalam Bahasa Inggeris).
“Apa khabar Tuan? Maaf menganggu, tapi bolehkah beri saya 5 minit untuk berbicara?” Lelaki itu memulakan bicaranya. Saya mulanya hendak menolak kerana menyangkakan lelaki itu adalah penjual barang atau mungkin juga ejen gores dan menang(ada ke kat Australia?). Tapi memandangkan ini pengalaman pertama, saya memikirkan ada baiknya juga saya mendengar seketika apa yang hendak dipromosikannya untuk belajar cara mengendalikannya, namun begitu saya akan memasang radar kewaspadaan dengan lebih cermat agar tidak termasuk dalam apa jua perangkap.
Saya kemudiannya membuka pintu besi tapi tidak mengajaknya masuk. Saya lebih senang untuk berbual di luar rumah sahaja untuk mengelakkan sesi promosinya berlarutan lebih lama.
“Baiklah, apa yang kamu ingin promosikan?” Saya bertanya kepada lelaki itu setelah melihat dia mengeluarkan satu risalah kecil dari fail yang kemudian dihulurkannya kepada saya.
“Sebenarnya, saya bukan penjual barang, tapi saya datang untuk kita berbicara tentang tuhan dan kasih sayang.” Lelaki itu memulakan ‘promosi barangannya’ yang membuatkan saya terkedu seketika. Saya tunduk melihat risalah kecil itu yang bertajuk “The Truth”, ternyata ia adalah promosi kitab Bible. Padanya terkandung jawapan kepada beberapa persoalan seperti,
“Adakah anda percaya kepada tuhan?”
“Apa yang akan berlaku kepada kita selepas kematian?”
“Bagaimanakah cara untuk berdoa dan didengari oleh tuhan?”
“Bagaimanakah caranya untuk mencapai kebahagiaan dalam kehidupan?”
Juga no hubungan gereja dan pusat-pusat Kristian yang boleh dihubungi jika ingin bertanya dengan lebih lanjut tentang agama Kristian.
“Tuan boleh baca dulu risalah tersebut, kemudian kita boleh berbincang dengan lebih lanjut. Tuan percaya kepada tuhan? Dan tidakkah tuan tertanya-tanya mengapa terus berlaku penderitaan dan peperangan dalam dunia ini dari dahulu hingga sekarang?” Dia menyambung setelah melihat saya diam seribu bahasa.
Saya menarik nafas panjang dan menghembusnya kembali dengan perlahan, saat-saat yang berlalu terasa begitu lama kerana saya langsung tiada pengalaman berdepan dengan situasi begini. Apa yang harus saya katakan? Untuk menolaknya mentah-mentah, saya akan kelihatan seperti lelaki yang tiada integriti dan bimbang Islam akan mendapat nama yang kurang enak atas tindakan saya ini. Menyesal juga kerana dahulu tidak membaca dan menonton dengan serius karya-karya Ahmad Deedat yang menonjolkan kepalsuan dan mitos yang berlaku dalam agama Kristian setelah diangkatnya Nabi Isa ke langit tertinggi.
Dalam hati saya berdoa agar dikurniakan ilham dan syukur beberapa lintasan hadir menguatkan perasaan.
“Saya seorang muslim” saya memulakan langkah pertama dengan penuh hati-hati. Lantas berhenti seketika, menarik nafas serta menyusun bait-bait kalimah dalam bahasa Inggeris. Penguasaan Bahasa Inggeris yang masih sederhana menyebabkan saya terpaksa mengambil sedikit masa sebelum menyatakan apa yang ingin dikata.
“Saya percaya kepada Tuhan, dan saya percaya hanya ada satu Tuhan.” Saya menyambung dengan membuat penegasan tentang perbezaan utama antara Islam dan Kristian.
“Saya juga percaya kepada Nabi Isa, tapi dalam Islam, kami percaya Nabi Isa itu bukanlah anak Tuhan, tapi sebaliknya ia adalah hamba Tuhan sama seperti Nabi Muhammad.” Lelaki itu masih diam, tapi dari gerak tubuhnya saya yakin yang dia sedang mendengar dengan penuh teliti.
“Dalam Islam, kami juga diajar untuk banyak melakukan kebaikan. Quran mengajar kami bagaimana untuk hidup bahagia semasa kami hidup dan lebih penting lagi pada kehidupan selepas kematian.” Saya menjawab beberapa persoalan dalam risalah kecilnya dan menyatakan bahawa dalam Islam, kebahagiaan setelah kematian adalah jauh lebih utama berbanding kebahagiaan ketika hidup di dunia.
Lelaki itu mengangguk-angguk, kemudian berkata, “Tuan tidak ingin membaca dahulu risalah itu, kemudian mungkin jika tuan ada masa kita boleh berbincang di dalam.” Lelaki itu memberikan cadangan setelah melihat saya tidak menumpukan perhatian pada isi kandungan risalah kecil yang diberikannya kepada saya. Rupanya dia juga tidak memberi perhatian atau pura-pura tidak memberi perhatian akan apa yang saya katakan tadi.
Saya membaca seketika risalah itu, di dalamnya ada petikan-petikan dari Bible yang menyatakan jawapan kepada persoalan besar yang di tulis di awal risalah. Setelah membacanya sekali lalu, saya menyatakan lagi kepadanya.
“Terima kasih tuan, saya telah membacanya seketika tadi dan bagi saya, cukuplah Islam sebagai agama saya kerana saya bahagia dengannya. Islam adalah segala-galanya bagi saya dan satu yang ingin saya katakan kepada anda bahawa Islam bukanlah agama yang mempromosikan keganasan, bahkan ia adalah agama kedamaian dan kasih sayang.” Terus saya menyambung lagi dengan mesej bahawa Islam bukanlah agama yang ganas seperti mana yang difahami oleh kebanyakan orang di barat, tapi juga adalah agama damai dan kasih sayang.
“Saya faham, tuan pasti tuan tidak ingin bertanya apa-apa tentang kandungan risalah ini?” Dia masih tegar dengan risalahnya. Mungkin juga dia telah dilatih begitu, untuk berbicara hanya sekitar bahan risalahnya sahaja. Seolah-olah apa yang saya katakana hanya mencurah air ke daun keladi. Namun saya pasti, input yang saya berikan tengahari itu kepadanya tetap akan masuk ke dalam mindanya sedikit sebanyak. Dia boleh untuk tidak mempedulikannya, tapi sekurang-kurangnya saya telah melunaskan tanggungjawab untuk menceritakan sedikit sebanyak tentang Islam kepadanya.
“Kalau begitu, tidak mengapa tuan, saya mohon diri dulu, semoga kita berjumpa lagi.” Melihat saya tidak berapa berminat dengan risalahnya, dia memohon diri, tapi masih dengan kesantunan yang tinggi.
Saya bersalaman dengannya dan melihat dia berlalu pergi ke rumah lain pula. Jauh di sudut hati, saya amat kagum dan cemburu dengan kesungguhan lelaki seperti ini. Dia sanggup menghabiskan waktu cuti di tengah panas mentari yang terik untuk mengajak manusia kepada agamanya tanpa ada rasa malu dan gundah akan kata-kata yang bakal diterima dari ‘mad’u’nya.
Dalam terik mentari tengahari itu, saya teringat kepada kisah Mus’ab bin Umair yang dihantar oleh Rasulullah untuk berdakwah ke penduduk Madinah setelah berlakunya perjanjian Aqabah. Tidak ada satu pintu rumah pun di Madinah yang tidak diketuknya untuk menyampaikan dakwah. Ada yang menerima tapi tidak kurang juga yang mencerca, namun akhirnya, berkat usaha yang gigih dan sinaran hidayah yang cemerlang, Islam berkembang dengan cukup baik di kota yang penuh keberkatan itu hingga memungkinkan ia menjadi kota kenabian yang penuh bercahaya hingga hari ini.
Membaca sejarah, kita akan akan lihat bagaimana pendakwah-pendakwah dari semenanjung Arab yang datang ke wilayah nusantara dengan akhlak da’ie, mengajak manusia kembali kepada fitrah hingga akhirnya hampir seluruh wilayah nusantara mendapat hidayah.
Jatidiri kebanyakan dari umat terdahulu adalah jati diri pendakwah, kehidupan mereka seluruhnya diwaqafkan untuk ummah. Jika tidak, mana mungkin 1/3 dunia mendapat sinaran kebaikan Islam berkat usaha umat-umat terdahulu yang merupakan pendakwah yang gigih. Pendakwah adalah profesion mereka yang utama.
“Siapa tadi tu ayah?” Humaira’ yang sejak tadi menunggu di tepi pintu memunculkan diri.
“Tiada apa-apa, cuma ada hal sedikit sahaja,” saya menyembunyikan perbualan sebenar, malas pula rasanya hendak berbicara panjang dengan Humaira’ tentang perkara ini, kerana akan menimbulkan persoalan yang lebih kompleks dan panjang. Namun satu masa nanti, bila dia telah cukup matang akan saya terangkan kepadanya juga akan hakikat Islam dengan lebih terperinci agar dia lebih yakin dan teguh pendirian dengan Islam hingga ke akhir hayatnya.
Perbualan ringkas petang itu telah melonjakkan sedikit semangat saya untuk menjadi insan yang lebih baik agar saya mampu berbakti untuk agama yang saya cintai ini. Moga sedikit semangat dari jati diri pendakwah umat-umat terdahulu akan meresap masuk ke dalam aliran darah membuatkan saya mampu untuk memberi sedikit sumbangan kepada dakwah selama mana Allah meminjamkan saya hayat yang sementara ini.
“Wahai tuhan, berilah aku kekuatan.”