MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN TENTANG JAMA'AH (Bahagian 3 - Mengapa saya memilih ISMA?)


Soalan 3:

Mengapa pilih ISMA? Mengapa tidak jemaah- jemaah lain?

Jawapan:

Pertama sekali, tenaga kita sebagai manusia amat terbatas. Kita ada banyak komitmen-komitmen lain yang tidak kurang berat pada keluarga, pengajian dan kerjaya juga. Jadinya, adalah amat tidak relevan andai kita cuba untuk menyertai banyak jema’ah secara serentak kerana akhirnya kita akan hilang fokus.

Andai kita ingin belajar ilmu perakaunan hingga mendapat ijazah sarjana muda, bolehkah kita menyertai dua tiga universiti dengan alasan untuk menimba ilmu? Sekali kita hadir kelas di Uni Adelaide, sekali di UNISA, minggu depan pula di Flinders. Akhirnya kita akan penat dan ijazah entah ke mana.

Itu untuk dunia, samalah juga dengan amal islami. Tarbiah perlu ada komitmen, displin dan manhaj yang tersusun.

Pilih satu Jema’ah, dan beramallah dengan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar sebagai ahli pasif yang hanya pergi dan balik usrah, tetapi ahli aktif yang dapat menyumbang tenaga, masa dan buah fikiran untuk menyampaikan dakwah.


Penyertaan kita dalam mana-mana jema’ah, bukan sekadar untuk menjadikan diri kita baik, tapi supaya kita dapat membaikkan orang lain juga. Tarbiah dan dakwah bukan sekadar hadir usrah, hadir daurah, katibah, qiam dan mukhayyam, tapi ia tentang bagaimana kita menyebarkan aura kebaikan yang dipelajari dengan pelbagai teknik. Biasa dengar ‘Islah Nafsaka Wad’u Ghairuka’ (perbaiki dirimu dan ajaklah orang lain)? Inilah istilah ulung yang sepatutnya difahami dan dilaksanakan di dalam diri sebelum kita pergi lebih jauh.

Contoh aktiviti anjuran ISMA

Saya tidak tahu dengan terperinci tentang jema’ah-jema’ah lain, tetapi apa yang membuatkan saya tertarik dengan ISMA adalah kesyumulan agenda tarbiah dan dakwah, perlaksanaan manhaj yang bersungguh-sungguh dan kesungguhan untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat dengan pelbagai medium dan kepada pelbagai lapisan.

Penyusunan agenda tarbiah untuk ahli ISMA adalah amat sistematik, Ada displin hafazan Quran dan hadis, tazkirah, pembelajaran tentang akhlaq, aqidah dan iman melalui bahan-bahan yang disusun dan disaring khas oleh Biro Tarbiah yang dianggotai oleh ramai tenaga-tenaga yang berkelulusan syariah dari Mesir, Jordan, Yaman dan Madinah. Hadis-hadis dan bahan perbincangan dicedok dari kitab-kitab terkemuka seperti Tafsir Fi Zilal Quran, Talbisul Iblis, Riadhus Shalihin, Hadis 40 dan bermacam-macam lagi.

Selain itu ada juga displin amal-amal lain seperti Qiamullail dan riadhah yang akan sentiasa dimuhasabah melalui pelbagai wasilah (pendekatan) bagi memastikan tahap keimanan dan kecergasan ahli sentiasa kekal baik.

Untuk ahli yang masih pelajar, kecemerlangan akademik juga sering ditekankan dan dijadikan agenda penting. Tarbiah dan dakwah semestinya no 1, tapi ijazah bukan no 2. Ia berjalan seiring.

Untuk masyarakat, ISMA menyebarkan dakwah melalui pelbagai agensi untuk setiap peringkat umur. Ada kelab anak-anak hebat yang menyediakan program tarbiah anak-anak melalui aktiviti seperti Kem Solat, Hafazan Quran, Latihan Nasyid, Kem Suci dan macam-macam lagi. Bagi remaja di alam persekolahan, ISMA mempunyai Kelab Remaja ISMA (KRIM) yang cukup terkenal dengan jambori tahunan, ceramah motivasi, usrah umum dan pelbagai lagi program untuk mendidik remaja di sekolah.

antara agensi ISMA, iMedic dan Majlis Ulama Isma
Bagi belia di universiti secara khusus, ISMA mempunyai hubungan yang amat rapat dengan PEMBINA (Persatuan Belia Islam Nasional) yang berfungsi sebagai persatuan mahasiswa Islam alternatif di kampus-kampus. Di sini, latihan ketrampilan seperti debat, bahas dan kepimpinan ditonjolkan sebagai aktiviti utama, selain sukan, budaya, program pra nikah dan pelbagai lagi aktiviti yang sesuai dengan jiwa muda.

Aktiviti-aktiviti NAZIM
Untuk ibu bapa, ada program pengukuhan rumahtangga dan pendidikan tentang tarbiah anak-anak yang disusun oleh biro wanita. ISMA juga mempunyai biro dakwah di hampir setiap cawangan untuk mengendalikan aktiviti dakwah umum kepada masyarakat. Terlalu banyak aktiviti yang telah dan akan dijalankan untuk saya senaraikan di sini.

ISMA juga mempunyai studio khusus untuk menyebarkan dakwah melalui media dengan efektif. Banyak bahan-bahan tarbiah dan kuliah boleh di dapati dalam laman ISMA TV. ISMA juga aktif di alam maya melalui laman web dan laman media sosial.

Selain dari apa yang saya ceritakan di atas, ISMA turut aktif dalam membina keperibadian pelajar di luar negara melalui cawangan-cawangannya di luar negara seperti di Australia, United Kingdom, United States, Kanada dan Korea. Para asatizah dari Malaysia ataupun aktivis dakwah ISMA di Mesir dalam bidang syariah akan turun sesekali ataupun berhubung secara online untuk memberi pengisian rohani kepada para pelajar di luar negara.

Dalam politik pula, ISMA ada penyelesaiannya yang tersendiri, iaitu untuk mengajak agar parti-parti politik yang mewakili bangsa Melayu Muslim dapat sepakat untuk memastikan kepentingan Islam sentiasa terjaga melalui slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat (akan dihuraikan dalam artikel seterusnya) dan keterlibatan dalam gabungan NGO-NGO lain seperti PEMBELA dalam membincangkan nasib umat Islam di Malaysia.

Melihat kesungguhan dan keseriusan ISMA dalam mempromosikan agenda dakwah dan tarbiah untuk setiap peringkat lapisan, saya merasa cukup tenang dan tidak ada keperluan untuk saya mencari Jemaah lain buat masa ini kerana merasakan inilah medan terbaik untuk saya memperbaiki diri dan berdakwah. 

Bahkan pada masa akan datang, saya melihat ISMA mempunyai sasaran untuk pergi lebih jauh. Dalam satu muktamar yang pernah kami hadiri, fokus dakwah kepada bangsa-bangsa lain juga adalah antara agenda yang akan dilaksanakan pada masa-masa akan datang bila masanya telah tiba.

Mengenali ahli-ahlinya juga, saya cukup tertarik dengan akhlaq yang dipamerkan, kesungguhan menjaga ibadah dan akhlaq, terutama lisan membuatkan saya sentiasa merasa seronok bila bersama dengan mereka.

Selagi mana ISMA berpegang dengan manhaj ISLAM yang sahih dan tidak menyeleweng dari jalan ISLAM yang lurus, saya akan terus bersama dengan kafilah ini.

Inilah mengapa saya memilih untuk bersama dengan ISMA, anda bagaimana?

Aktiviti-aktiviti ISMA Sarawak

7 comments:

  1. Saya pon pilih untuk bersama ISMA. Anda bagaimana?

    ReplyDelete
  2. Huraian yang mantap. Saya juga memilih untuk bersama ISMA.

    ReplyDelete
  3. Doakan saya juga Istiqamah dengan ISMA..jom la join ISMA... Saya dah buat pilihan saya...anda bagimana...

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum wbt.

    dah tak ada sambungan yg "ISMA ni nampak macam asobiah dan pro UMNO, ada pandangan?

    ISMA dengan IKRAM pun tak boleh nak sepakat, macamana nak ajak melayu sepakat ni?" ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam,

      Maaf, tak sempat lagi nak tulis. Insyaallah akan ada sambungannya.

      Delete
  5. Why Melayu Sepakat. During prophet's time, he does not fight with the gist of racism. Why not muslim? Or in malaysia, just malay is muslim. Unfair for the statement. If we are still remain in this status quo, jawablah dengan Allah nanti. Kalau2 dgn statement ni saudara islam kita yg lain, yg bangsa yang xsama dgn kita akan terasa dan merasakn islam xuniversal. Bukankah antara ciri2 jemaah yg baik bercirikan alamiyyah? Universal?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Brother,

      You can read my previous article on this matter:

      http://hisham79.blogspot.com.au/2011/10/mengapa-melayu-islam-itu-kan-universal.html

      If you got further questions, please do not hesitate to discuss this with me :)

      Kind regards

      Delete