“Mat, aku rasa baik jangan lagi
mencuri, sebab mencuri itu berdosa.” Tegur Amran kepada sahabat baiknya.
“Hang jangan melampau Amran, hang
tengok kawan kita si Zaim tu, lagi teruk dia mencuri, pernah aku dengar dia rompak bank lagi, kenapa hang tak pernah
tegur dia? Sedangkan aku hanya curi makan di kedai sahaja. Hang memang tidak adil!!!” Sergah Mat kepada sahabat baiknya tadi.
Amran terpinga-pinga.
….
Dalam satu lagi situasi.
“Siapa suka makan pisang di sini?”
Tanya Cikgu Amir kepada anak-anak murid kelasnya.
“Saya cikgu, saya” beberapa orang
pelajar mengangkat tangan.
“Haa, monyet juga suka makan
pisang, jadi kamu semua adalah monyet.” Jelas Cikgu Amran setelah melihat
beberapa orang murid mengangkat tangan.
(Krik Krik)
.…
Pelik bukan. Jangan bimbang,
dialog di atas hanyalah rekaan semata-mata.
Namun, realiti politik kita hari
ini adalah hakikat, bukan rekaan. Politik kita hari ini amat pelik. Tidak
banyak bezanya seperti apa yang digambarkan dalam dialog di atas.
Begini maksud saya.
Bila ada yang menyuarakan
kebimbangan tentang pengaruh Syiah, Kristiniasasi, arus Liberalisme, arus Humanisme
yang berselindung di sebalik parti-parti politik dan juga menyeru agar bangsa
Melayu dapat sama-sama sepakat dalam perkara-perkara ma’ruf, terus dicop
sebagai pengkhianat perjuangan, asobiah, tidak faham waqie’ kerana tidak ada
pengalaman dalam politik, tertipu dengan dakyah Utusan dan sebagainya.
Sedangkan apa yang disuarakan adalah hasil pemerhatian yang mendalam,
berdasarkan kajian, punya dalil-dalil dan tanpa langsung ada kepentingan
politik kepartian.
Begitu juga bila ada yang
mengkritik tindakan-tindakan UMNO, kelucahan berita politik Utusan Malaysia, sifat
berat sebelah Buletin Utama yang membuatkan orang merasa jengkel, pembaziran
wang kerajaan, dasar-dasar Barisan Nasional dan kerajaan semasa yang dirasakan
tidak adil, tema hari kemerdekaan yang entah apa-apa, terus disimpulkan sebagai
ejen pembangkang, diminta letak jawatan, ingin menjual maruah negara, taksub
pembangkang, tidak patriotik dan macam-macam lagi.
Sedangkan pihak yang memberi
pandangan itu inginkan kebaikan dan pembaikan agar negara dapat terus makmur
dan cemerlang.
Begitu juga bila ada yang memberi
sedikit pandangan kepada PAS dan PR dalam bentuk kritikan, terus dilabel ejen UMNO,
Khawarij, tidak adil dalam kritikan, menghunuskan pedang kepada sahabat dan
macam-macam lagi. Sedangkan orang yang memberi pandangan ikhlas inginkan
kebaikan untuk ISLAM dan inginkan kedudukan yang lebih baik untuk PAS dalam PR dengan
harapan agar PAS benar-benar boleh memimpin PR dan mengukuhkan lagi
perlaksanaan ISLAM sebagai dasar negara.
Apatah lagi bila diherdik agar
diam dan buat kerja sendiri sahaja atas nama menghormati ijtihad, bersangka
baik dan berlapang dada.
Tolak ketepilah politik tunjuk
punggung, cerca mencerca, fitnah memfitnah, sindir menyindir dan sebagainya.
Tegurlah juga ketirisan,
pembaziran, salah guna kuasa, berat sebelah dan kezaliman yang dilakukan. Ubahlah
apa yang perlu diubah.
Namun apa yang saya harapkan adalah keterbukaan
mana-mana pihak yang berpolitik untuk menegur dan menerima teguran dengan baik
dan penuh adab selagi mana teguran dan kritikan yang dilakukan, dibuat dengan
punya sandaran ilmu yang kukuh.
Hormatilah batas-batas aib,
bersainglah secara professional, bertandinglah dengan kekukuhan manifesto masing-masing
dan utamakanlah ISLAM sebagai penentu segalanya.
Tidak semua yang mengkritik PAS
itu cenderung kepada UMNO dan kezaliman, dan tidak semua yang mengkritik UMNO
itu cenderung kepada pembangkang dan menjadi ejen asing.
Tidak semua ahli dan golongan atasan dalam PAS itu malaikat (ma'sum apatah lagi) dan tidak semua yang menyertai UMNO itu gila kuasa, zalim dan bernafsu jahat.
Sama juga seperti mana tidak
semua aliran dalam Syiah (walaupun boleh dikatakan majoriti) adalah aliran yang
mengkafirkan sahabat dan sesat (aliran Zaidiah yang terdapat banyak di Yaman contohnya),
seperti mana tidak semua wilayah dalam Iran adalah wilayah Syiah
(Sistan-Baluchistan sebagai contoh).
(namun
begitu, perlu amat berhati-hati dengan Syiah Rafidhah di Malaysia ini kerana
mendapat kekuasaan adalah termasuk dalam usul agama mereka, ini kita ulas dalam artikel lain.)
Seni pukul rata ini amat
membinasakan kefahaman, apatah lagi bila maklumat-maklumat diceduk dari sumber
yang langsung tidak boleh dipercayai dan dipersembahkan dengan penuh rasa
prejudis.
Kita harus lebih cerdik dari ini.
Tidak ada pendirian? Nah, inilah pendirian saya!
No comments:
Post a Comment