TARBIAH SEKULAR, TARBIAH PLASTIK


Bila berbicara tentang kemenjadian tarbiah, kita mesti lebih subjektif. Penilaian tentang kejayaan tarbiah tidak sekadar memenuhi kotak-kotak kosong pada dokumen penilaian dengan angka-angka atau tanda-tanda.

Kemenjadian tarbiah tidak boleh dinilai hanya dengan komitednya seorang akh menghadiri usrah, katibah, rehlah dan segala wasilah tarbiah yang dilaksanakan oleh Jama’ah, tapi ia mesti dinilai berdasarkan ketinggian akhlaq dan membuminya segala hakikat tarbiah itu dalam dirinya.

Sebagai contoh.

Kesungguhan seorang akh dalam menjaga masa tidak boleh dikatakan berjaya bila akh tersebut hanya mampu menepati masa ketika menghadiri program, tapi sering lambat atau tercicir dalam menghadiri solat berjemaah di masjid atau ketika berjanji dengan orang lain.

Begitu juga kefahaman tentang sabar. Ia tidak boleh dinilai hanya dengan berjayanya seorang akh melalui semua modul dan bahan yang membicarakan tentang makna dan isi daripada sifat sabar.


Tapi ia harus juga dinilai berdasarkan reaksi akh tersebut bila berdepan dengan cabaran dan ujian yang singgah dalam kehidupannya. Kejayaan tarbiah akan terserlah bila dia mampu sabar dan memberikan reaksi yang tepat ketika senang mahupun ketika susah, ketika dipuji atau dicerca, ketika difitnah mahupun ketika mendapat kemenangan.

Bila berbicara tentang tarbiah ukhuwwah, tidak cukup sekadar tahu tentang peringkat-peringkat ukhuwwah seperti berlapang dada dan mengutamakan kepentingan sahabat lebih dari kepentingan diri.

Tapi, hakikat ukhuwwah mesti dibuktikan di alam realiti dalam hubungannya dengan orang lain. Kejayaan tarbiah ukhuwwah akan terserlah bukan ketika air tenang sahaja, tapi ketika air berkocak kencang hingga menggegarkan jiwa-jiwa.

Berlapang dada bukan sekadar membebaskan diri dari bersangka-sangka, tapi tarbiah ukhuwwah akan sangat bermakna bila kita mampu berlapang dada dalam mengakui kesilapan dan menerima teguran dari sahabat, tanpa ada bekas dan merajuk dengan organisasi, walaupun amat pedih dan melukakan jiwa.

Tarbiah ukhuwwah yang benar juga akan melahirkan sifat mampu berlapang dada untuk memaafkan dan membetulkan kesilapan sahabat dengan cara yang paling indah, tidak kira kecil atau besar, walaupun kesilapannya amat menyakitkan.

Kefahaman tentang tarbiah dzatiah tidak ada maknanya jika seorang akh hanya mampu menguasai bahan, mampu bercerita dengan baik dengan mengungkapkan kisah-kisah dari sirah nabi, para sahabat dan pejuang agama untuk menyampaikannya kepada orang lain dengan efektif. Tapi gugur dan bisu bila berdepan dengan cabaran dan pelbagai masalah dalam organisasi dakwah dan realiti kehidupan yang memerlukan dia memulakan dakwah secara berseorangan. 

Lebih-lebih lagi bila merungut, mengeluh dan merajuk-rajuk bila melihat ikhwah di tempat barunya tidak sefaham dan tidak selaju dirinya dalam beramal.

Kefahaman yang benar tentang tarbiah dzatiah tidak akan melahirkan sifat-sifat sebegitu.

Benar, iman itu ada turun naiknya, namun, akh yang beriltizam dengan tarbiah dan berintima’ dengan kefahaman dakwah yang benar tidak akan tercicir terlalu jauh ketika futhur.

Jalan tarbiah itu bukan sekadar teori dan retorik kosong kata-kata atau tulisan tanpa sebarang makna, tapi ia adalah pembuktian di alam realiti.

Tarbiah itu bukan sekular sifatnya. Ia tidak sekadar pada menghabiskan silibus yang digariskan, tidak juga sekadar menghabiskan bahan-bahan di dalam buku dengan perbincangan lumat di dalam usrah. Tidak juga sekadar melalui siri-siri daurah, mukhayyam dan katibah tanpa gagal.

Tarbiah itu bukan sekadar maklumat, tapi tarbiah itu mencetus akhlaq. Tarbiah itu tidak sekadar mencetus tahu, tapi mencetus mahu dan membina mampu.

Murabbi yang baik adalah murabbi yang mampu untuk membumikan sifat-sifat tarbiah dalam dirinya dan menjadi qudwah buat mutarabbinya. Tidak ada maknanya gelaran-gelaran dan pengiktirafan jika hakikat diri murabbi kosong tanpa qudwah untuk diikuti.

Tarbiah kita bukan tarbiah plastik, bukan kosmetik yang hanya menutupi sifat-sifat mazmumah diri dengan bahasa-bahasa basah bertemakan jema’ah yang sering diungkapkan.

Kejayaan tarbiah keimanan para sahabat terbukti apabila mereka mampu mengungkapkan “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasulnya kepada kita” saat melihat ketumbukan demi ketumbukan mengepung dari segenap penjuru dalam suasana yang amat getir ketika Perang Ahzab berlangsung.

Allah mengiktiraf kejayaan tarbiah generasi ini selepas melalui ujian demi ujian di medan realiti.

Jalan tarbiah ini pasti akan ada ujian-ujiannya, dan ia akan datang dalam pelbagai bentuk, sesuai dengan tahap keimanan kita kerana ia adalah sunnatullah buat para pendakwah. Pastinya ia akan datang menguji pada titik kehidupan kita yang paling lemah. Mampukah kita untuk mengungkapkan “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasulnya” saat ujian melanda?

Sama-sama kita berdoa dengan bersungguh-sungguh agar Allah mengurniakan kita thabat di atas jalan ini hingga ke akhir hayat.

Insyaallah.

1 comment:

  1. ......... Tarbiah itu bukan sekadar maklumat, tapi tarbiah itu mencetus akhlaq. Tarbiah itu tidak sekadar mencetus tahu, tapi mencetus mahu dan membina mampu.

    ReplyDelete