Hingga Lenguh Kaki...



Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa pernah suatu ketika Saidatina Aisyah bertanya kepada Rasulullah

"Wahai Rasulullah, mengapa demikian sekali ibadah malam mu(solat sehingga bengkak kakinya)walhal Allah telah mengampunkan segala dosamu

Jawab Rasulullah "Tidakkah patut aku menjadi hambanya yang bersyukur"

Terawih malam semalam seperti biasa, cuma yang agak istimewa adalah solat diimamkan oleh Ustaz Fahruradzi juara akademi Quran, memang hebat bacaannya.

Malam semalam juga Humaira' ikut seperti biasa, namun semalam aku memberinya beberapa syarat

"Humaira kalau nak ikut ayah hari ni kena bawa telekung dan solat baik-baik ye"

Sebelumnya dia hanya berlari-lari dan bermain-main dengan kawan-kawannya sahaja dibelakang, kadang-kadang kerana terlalu seronok bermain, terkencinglah dia dalam seluar.

"Boleh ayah, nanti Humaira solat elok-elok" dengan yakin dia menjawab.

Ketika qamat dilaungkan, Humaira menyusup masuk ke tempat solat wanita sementara aku terus ke saf hadapan. Sangkaku pastilah dia hanya akan dapat bertahan sehingga selesai solat isya sahaja, kerana sebelum ini, setiap kali sebelum solat waktu pasti dia akan sebok bertanya berapa bilangan rakaatnya.

Terawih pun bermula, dengan bacaan yang merdu dari Ustaz Fakhrul, tidak terasa beratnya solat terawih malam itu, bacaan berjaya dihayati dengan khusyuk. Sesekali antara rakaat aku menoleh ke belakang untuk memastika Humaira tidak membuat bising, namun kelibatnya tidak kelihatan.

Sangkaanku samada dia berlari diluar atau dikawal ketat oleh Mamanya (Makcik Nor). Selesai sepuluh rakaat, kelibatnya masih belum kelihatan, lalu aku mengintai ke tempat solat perempuan, kelihatan kelibatnya dengan wajah yang agak kelat sedang mengangkat takbir. Terlihat aku, dia tidak jadi solat dan terus berlari ke arahku, Mamanya juga tidak kelihatan.

"Eh, Humaira solat dengan sapa tadi?" aku bertanya kepadanya.

"Humaira solat dengan Fatimah kawan Maira, banyaaak Humaira solat, sampai lenguh kaki Maira ni...Humaira solat betul-betul ayah...tak main-main"

Aku tergelak, langsung tidak aku sangka Humaira mampu menghabiskan sepuluh rakaat dengan sempurna malam itu. Melihat wajahnya yang keletihan, aku menghantarnya ke rumah.

Perasaanku bercampur baur malam itu,teringat setiap kali selepas solat aku sentiasa berdoa agar Allah sentiasa menjadikan aku termasuk dalam golongan orang yang menunaikan solat begitu juga dengan zuriat keturunanku.

Mungkin hikmah Ramadhan memberikan kekuatan kepada Humaira, moga dia akan termasuk dalam golongan orang yang mendirikan solat dengan sempurna.

Jika Humaira solat hingga lenguh kakinya, apapula alasan kita yang sihat untuk bermalas-malasan Ramadhan kali ini, ayuh kita gandakan amal...

1 comment:

  1. assalamualaikum,salam ramadhan.
    alahai terharunya semangat Humaira...sejuk hati ayah dan ibunya,kecik2 dah didiknya.

    ReplyDelete