“En. Hisham, apa salahnya kami
berkawan dan keluar bersama sekali sekala. Bukan buat salah apa pun, lagi pun
kami hanya cuba kenal mengenali hati budi masing-masing, dan saya memang ada
perancangan untuk melamar andai saya dapati dia serasi dengan saya.” Kata
seorang pelajar kepada saya pada suatu masa selepas selesai sesi penyeliaan
berkenaan pelajaran di bilik.
Tergamam saya mendengar soalan
dan penjelasan ‘tanpa diminta’ tersebut, apatah lagi bila ia diungkapkan dengan
wajah penuh selamba.
Saya menggaru-garu kepala yang
tidak gatal. Mungkin kerana ada kata-kata nasihat tentang hubungan antara
lelaki dan perempuan yang sering saya sebutkan sebelum memulakan pengajaran
menyentuh dirinya. Wallahua’lam, saya ingin membebaskan diri dari
sangka-sangkaan. Biarlah saya dalam keadaan tidak tahu.
Mendengar luahan itu, saya
teringat kepada soalan yang hampir sama yang pernah ditanyakan oleh seorang
sahabat kepada baginda Nabi yang mulia. Dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa
satu hari, seorang anak muda datang berjumpa dengan Rasulullah dan bertanya;
"Wahai Rasulullah saw, izinkan aku untuk melakukan zina",
Maka sejumlah orang terus menghampiri pemuda itu dan memarahinya,
mereka berkata,"Diam kamu!"
Maka berkata Rasulullah saw, "Dekatkan lah pemuda itu
(kepadaku)" Lalu beliau berkata kepadanya, "Duduklah!" Maka
pemuda itu pun duduk.
"Apakah kamu suka seseorang berzina dengan ibumu?" Tanya
Rasulullah saw.
Pemuda itu menjawab, "Demi Allah, tidak. semoga Allah menjadikanmu
sebagai tebusanmu"
Rasulullah saw bersabda, "Begitu pula orang lain, tidak ada yang
suka ibunya berzina dengan orang lain."
"Apakah kamu suka seorang berzina dengan anak perempuanmu?"
tanya Rasulullah saw.
Pemuda itu menjawab,"Demi Allah, tidak. Semoga Allah menjadikanku
sebagai tebusanmu"
Rasulullah saw bersabda,"Begitu pula orang lain, tidak ada orang
suka anak perempuannya berzina."
"Apakah kamu suka seseorang berzina dengan saudari
perempuanmu?" Tanya Rasulullah saw.
Pemuda itu menjawab,"Demi Allah, tidak. Semoga Allah menjadikanku
sebagai tebusanmu".
Rasulullah saw berkata,"Begitu pula orang lain, tidak ada orang
suka saudari perempuannya berzina dengan orang lain."
"Apakah kamu suka seseorang berzina dengan saudara perempuan ayahmu?"
tanya Rasulullah saw.
Pemuda itu menjawab,
"Demi Allah, tidak. Semoga Allah menjadikanku sebagai
tebusanmu".
Rasulullah saw bersabda,"Begitu pula orang lain, tidak ada yang
suka saudara perempuan ayahmu berzina dengan orang lain."
"Apakah kamu suka seseorang berzina dengan dengan saudara
perempuan ibumu?" Tanya Rasulullah lagi.
Pemuda itu menjawab,
"Demi Allah, tidak. Semoga Allah menjadikan ku sebagai
tebusanmu"
Rasulullah saw bersabda,"Begitu pula orang lain, tidak ada yang
suka saudara perempuan ibunya berzina dengan orang lain"
Lalu Rasulullah saw meletakkan tangan beliau ke atas tubuh pemuda
itu,sambil berdo'a:
"Ya Allah ampunilah dosa-dosanya, bersihkanlah hatinya dan
peliharalah kemaluannya"
Perawi berkata,"Setelah kejadian tersebut,pemuda itu tidak lagi
menoleh kepada sesuatu apa pun (yang diharamkan)
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Masyaallah! Cantiknya kaedah
Rasulullah saw dalam mendidik.
Baginda tidak terus mengingatkan
sahabat tersebut dengan azab neraka. Apatah lagi mengancam dengan bahasa keras
yang bakal membuatkan jiwa anak muda menjauh pergi, jauh sekali kata nista dan
cerca yang sudah tentu, mustahil untuk diungkapkan oleh baginda.
Baginda memang pendidik luar
biasa.
Saya bertanya kepada pelajar itu
kembali, cuba untuk mengaplikasikan teknik Rasulullah saw.
“Beginilah, kamu ada adik
perempuan?”
“Ada” jawabnya.
“Kamu rapat tak dengan adik
perempuan kamu itu?” Tanya saya lagi.
“Rapat, mengapa En. Hisham?”
Jawab pelajar itu, penuh tanda tanya.
“Hmm…suka tak kalau ada lelaki
hidung belang yang mempermainkan perasaan adik kamu itu? Menyentuh tangannya
yang mulus, bergayut berjam-jam dengannya, bertenet ke sana dan ke mari hingga
lewat malam…suka tak?”
Pelajar itu terdiam. Saya
menyambung.
“Kamu mesti masih ada ibu kan?”
“Hmm…suka tak andai ada lelaki
yang bukan mahram datang ke rumah dan berbual dengan ibu mu berjam-jam, keluar
dan makan bersama dengannya, saling berutus sms walaupun ayah kamu masih ada
dan keduanya masih tinggal bersama?”
Wajahnya bertukar merah. Saya
menyambung lagi.
“Katakan nanti, kamu berkahwin
dengannya dan ditaqdirkan mempunyai anak perempuan, apakah kamu suka andai ada
yang mengusung anak perempuan kamu ke hulu ke hilir, tanpa izin kamu sendiri.”
“Tidak mahu En. Hisham,” pelajar
itu menjawab perlahan.
“Begitulah juga dengan ‘kawan’ kamu
tersebut. Dia masih bukan mahram bagi kamu, batas-batas pergaulan mesti dijaga,
walaupun atas tiket hendak saling kenal mengenali.”
“Tidak ada manusia waras yang
suka adik beradik, ibu, pakcik atau makciknya berzina atau melakukan mukaddimah
kepada zina, walaupun ringan-ringan dan dengan tujuan yang ‘murni’.
“Jadi jika kamu sendiri tidak
suka, bagaimana perasaan ayah ibunya? Bagaimana pula perasaan abang-abangnya?”
Saya mengasak.
“Khuatir juga andai Allah balas ‘cash’
atas muka dunia, esok lusa, ada pula lelaki yang akan berhubung dan bercinta
dengan anak perempuan kamu tanpa izin.”
“Jangan menjadi punya ayahnya
mendapat dosa, apatah lagi menyebabkan ayahnya mendapat gelaran ‘dayus’ atas
muka dunia ini.”
“Mula-mula mungkin biasa-biasa,
tapi syaitan ini cukup licik, godaan-godaannya akhirnya akan membawa manusia
yang paling alim sekalipun ke lembah zina.”
“Kita mungkin tidak dapat
membayangkannya, tapi jangan sesekali pandang rendah pada musuh manusia nombor
satu ini.” Jelas saya dengan wajah yang serius.
“Habis bagaimana hendak mengenali
hati budinya? Takut nanti tersalah pilih.” Jelas pelajar itu, jujur.
Hampir tertawa saya mendengar
soalannya. Cukup ‘innocent’.
“Hehe … kalau betul kamu
hendakkan dia, buatlah dengan cara yang bermaruah.”
“Maksud saya, kalau benar ingin
mengenali, carilah orang tengah yang boleh dipercayai untuk menyelidiki, orang
tengah ini mesti orang yang telah berkahwin. Pensyarah ke, Felo kolej ke, Ustaz
di Pusat Islam atau siapa sahaja.”
“Andai sukar untuk mencari orang
tengah, terus berjumpa dengan ayahnya, nyatakan hasrat hati dan hantar keluarga
sendiri untuk merisik. Dari situ, ayah atau ibu kamu sendiri yang akan
menyelidiki.”
“Kalau rasa sesuai, buat
istikharah, tetapkan hati dan masuk meminang. Dalam fasa pertunangan, hubungan
juga masih perlu dijaga, boleh sesekali hendak menghantar email bertanya khabar
dan berbincang urusan-urusan perkahwinan, paling baik cc kepada orang tengah
atau ahli keluarga agar perbualan itu terjaga dari syahwat. Kalau segan,
amanahlah dengan diri sendiri, jagalah tutur kata dan bahasa agar tidak ada
syahwat yang timbul.”
“Kalau hendak call dan ‘sms’ pun
pada perkara-perkara yang penting sahaja.”
“Nak kenal, lepas berkahwin baru
kita akan kenal dirinya yang sebenar. Sebelum kahwin, itu semua hanya
fatamorgana, banyak ilusi-ilusi yang dijadikan indah pada pandangan mata oleh
Syaitan yang pandai menipu.”
“Kalau jodoh, Insyaallah, tidak
akan ke mana.”
Saya menjelaskan seringkas
mungkin. Dia mengangguk-angguk. Mudah-mudahan dia diberi kekuatan untuk
melangkah dengan bermaruah. Saya mendoakan dirinya perlahan-lahan. Moga Allah
menunjukkan jalan.
Anak muda sentiasa perlukan bimbingan,
bukan cercaan dan kata-kata yang akan membuat dirinya tawar dengan agama.
Jelaskan dengan cara yang mudah.
Bimbing dan doakan mereka. Jangan menjadi algojo yang menjatuhkan hukuman
sewenang-wenangnya.
Mungkin satu hari nanti,
rumahtangga yang dibina dengan ‘kekasihnya’ itu akan lebih bahagia dari mereka
yang ber ‘akhi’ ‘ukhti’ ketika berkenalan hasil taubat yang bersungguh-sungguh.
Tugas da’ie adalah membina, bukan
meruntuh, menyebarkan salam dan kasih sayang, bukan permusuhan dan menjatuhkan
hukuman.
Kerana kita tidak akan tahu
pengakhiran kita nanti bagaimana.
No comments:
Post a Comment