CINTA ITU BUKAN SEKADAR LAFAZ

Cinta dan sayang itu bukan sekadar lafaz, tapi mesti dibuktikan dengan perbuatan.

Seorang wanita yang mengaku sayangkan suaminya bersungguh-sungguh, pasti tidak akan suka andai ada sebarang kemudharatan yang menimpa suaminya.

Begitu juga seorang anak, secara khusus anak perempuan yang sayangkan ayahnya, pasti tidak akan suka andai ada kecelakaan yang menimpa ayahnya.

Seorang ayah juga, andai sayangkan anaknya (anak perempuan secara khusus), pasti tidak akan membenarkan apa jua perkara mengapa-apakan anak-anaknya.

Seorang suami, andai sayangkan isterinya dengan bersungguh-sungguh, pasti akan menjaga isteri tersebut bagai menatang minyak yang penuh.

Apatah lagi jika ada api yang ingin membakar tubuh mereka yang disayangi tersebut, jauh sekali hendak membayangkan bahawa merekalah yang menjadi punca tubuh mereka yang disayangi disentuh oleh api.

Begitulah cinta hakiki, ia bukan sekadar lafaz “I Love You”, tapi ia pasti akan disusuli dengan tindakan penuh bertanggungjawab untuk melindungi orang yang disayangi dari menerima apa jua bala bencana.

Saya pasti, sukar untuk sesiapa yang mempunyai fitrah yang normal untuk tidak bersetuju dengan hakikat ini.
Namun realitinya jauh berbeza hari ini. Apakah kerana tidak tahu, atau tewas dek pujukan hawa nafsu?

Tidak, saya tidak berbicara tentang nasib kita di dunia, tapi lebih kepada nasib kita nanti di akhirat sana.

Ramai wanita yang mengaku sayangkan suami, namun masih keluar dengan aurat terbuka yang menyebabkan suami menimbun beban dosa.

Ramai juga suami yang menyatakan cinta dengan penuh rasa hati, tidak pernah lupa untuk menghadiahkan bunga pada setiap hari ulangtahun, namun membiarkan isteri keluar tanpa menutup aurat, apatah lagi keluar dan bergambar bersama dengan lelaki yang bukan mahram.

Ramai (anak perempuan yang telah dewasa dan belum berkahwin) yang mengaku sayangkan ayahnya dengan sepenuh hati, namun masih membiarkan ayahnya menghimpun dosa dengan keluar tanpa menutup aurat, meletakkan gambar mendedahkan aurat di laman social, balik lewat malam tanpa sebab yang munasabah dan bergambar bersama lelaki yang bukan mahram.

Ramai juga ayah yang saya pasti, amat sayangkan anaknya (anak perempuan secara khusus), namun masih membiarkan anak-anak hanyut tanpa didikan agama, dan langsung tidak menegah anak dari melakukan perbuatan-perbuatan yang menghampirkan diri mereka berdua ke jurang api neraka.

Tidakkah semua ini akan menjadikan diri dan orang yang disayangi calon untuk menjadi bahan bakar api neraka?

Cinta apakah ini? Cinta palsu atau cinta yang penuh dengan penipuan?

Tidak ada sesiapa yang suka dengan cinta palsu yang sering diungkapkan oleh sang penipu.

Andai sayang, buktikanlah dengan perbuatan.

Buat adik-adikku (yang belum berkahwin), jika benar sayang kepada ayah, jangan dayuskan ayah anda dengan mendedahkan aurat (aurat bukan sekadar menutup rambut), keluar dengan lelaki yang bukan mahram dan meletakkan gambar yang mendedahkan aurat di merata-rata.

Buat para isteri di luar sana, andai sayang pada suami, bantulah dia untuk sama-sama berpimpin tangan untuk bercinta hingga ke syurga. Jangan heret suami ke neraka dengan kealpaan kita dalam menjaga maruah diri dan aib rumahtangga.

Buat para suami dan juga ayah, kita adalah pemimpin, dan diri kita akan dipertanggungjawabkan atas rakyat yang kita pimpin. Tidak guna kejayaan kita gilang gemilang di dunia, andai pengakhiran kita nanti adalah di tepi lembah neraka.

Buktikan bahawa kita benar-benar cinta!

No comments:

Post a Comment