MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN TENTANG JEMA’AH (Bahagian 1)

Soalan 1:

“Saya faham kenapa kita kena berdakwah, tapi kenapa kena ada jema’ah - jemaah untuk berdakwah ni?”

Jawapan:

Alhamdulillah, baguslah kalau dapat faham mengapa kita kena berdakwah, tidak ramai muslim hari ini yang mempunyai kefahaman begitu. Tentang mengapa kita kena ada Jema’ah untuk berdakwah, saya beri satu analogi mudah.

Katakan kita nak buat satu bangunan yang cantik. Boleh tak agak-agak kita nak buat seorang diri? Secara logiknya mestilah tak boleh kan?

Mesti ada orang yang mahir melukis pelan, mesti ada yang mahir dalam seni pertukangan, mesti ada yang mahir dalam perkiraan setiap sudut bangunan, kena ada tukang cermin, tukang mozek, tukang simen dan macam-macam lagi.

Tidak ada seorang manusia yang ada semua kemahiran dan mampu untuk melakukannya secara berseorangan. Kalaupun dia sangat pandai, pasti dia tidak akan mampu untuk membina bangunan tersebut secara berseorangan.

Begitu juga dengan dakwah. Ia adalah satu urusan besar yang memerlukan kepelbagaian kemahiran. Sebagai contoh, katalah kita buat kempen untuk ajak penduduk sebuah taman bagi menunaikan solat berjemaah di masjid.


Orang yang pandai melukis, boleh menyumbang dalam bentuk poster, rekabentuk banner dan kartun, yang pandai menulis, boleh menulis artikel dan tazkirah dalam buletin taman, dalam akhbar, atau media sosial, yang pandai bercakap, boleh berceramah atau boleh juga pergi rumah ke rumah dan menyampaikan tazkirah kepada penduduk taman tentang kepentingan solat berjemaah di masjid.

Itu baru kempen solat jema’ah. Dakwah ini amat luas skopnya dan memerlukan perancangan yang tersusun rapi. Lebih kompleks dari nak buat bangunan tadi. Dalam dakwah, kita bukan sekadar nak ajak orang ke masjid, tapi lebih dari itu. Kita nak menyampai dan melaksanakan Islam dalam bentuknya yang lengkap sempurna, kepada semua lapisan manusia, bukan dalam juzu’ yang terpisah-pisah dan kepada orang-orang tertentu sahaja.

Tidak semua orang sama kemahirannya, masing-masing saling lengkap melengkapi untuk mencapai satu objektif, iaitu untuk menyampaikan mesej Islam kepada manusia dan meletakkan Islam di tempatnya yang tertinggi walaupun ada musuh yang amat membenci. Semua ini dapat kita capai dengan lebih efektif dengan adanya organisasi dakwah.

Lagi pula, kebatilan yang kita hadapi hari ini datang dalam bentuk sistem yang tersusun, punya perancangan yang kemas, strategi yang licik dan operasi yang berani. Tidak logik kalau kita nak berhadapan dengannya secara berseorangan.

Kita tak menafikan jasa mereka yang mampu berdakwah dengan hebat seperti Dr Zakir Naik dan Ustaz Hussin Yee, ye, jasa mereka amat besar kepada ummah, tapi berapa orang yang ada kelebihan seperti mereka?

Kita tak nak jadi sekadar pemerhati, kalau boleh kita letakkan diri kita dalam saf orang yang bergerak dan berjuang. Kita nak berbakti kepada agama semampu yang mungkin dan sesuai dengan kemahiran yang kita ada.

Bukankah bagus kalau kita dapat menggembleng kekuatan, bergerak satu hati untuk berdepan dengan kebatilan yang amat tersusun tadi.

Sekian.

Nantikan sambungannya ....

Mengapa perlu ada banyak Jema’ah? Bukankah ini tanda bahawa umat Islam tidak bersatu hati dan berpecah belah?

Mengapa pilih ISMA? Mengapa tidak jemaah- jemaah lain?

ISMA ni nampak macam asobiah dan pro UMNO, ada pandangan?

ISMA dengan IKRAM pun tak boleh nak sepakat, macamana nak ajak melayu sepakat ni?





No comments:

Post a Comment