Kosong

Kosong.

Pagi ini saya merasa amat kosong. Saya cuba membaca buku Multivariate Data Analysis, tapi hilang fokus hanya selepas sepuluh minit. Seterusnya saya cuba pula untuk menyusun dan membersihkan data kajian dalam SPSS, juga tidak dapat bertahan lama. Membuka AMOS, melihat ikon-ikonnya yang asing juga membuatkan saya merasa lemah.

Teringat e-mail Indrit dan beberapa tugasan yang diminta oleh dia dan Robyn untuk disiapkan, juga saya tidak ada semangat.

Entah apa yang terjadi pada saya hari ini. Mental ‘block’? Mungkin juga.

Mungkin juga kerana kesalahan besar dalam kaedah kajian yang hanya saya dapat kesan minggu lepas, mungkin juga kerana kepulangan Dr Zaki ke Malaysia yang memberi kesan besar buat diri saya, mungkin juga kerana situasi PRU di Malaysia di mana sahabat-sahabat ISMA/BERJASA sedang berjuang hebat di medan PRU 13. Mungkin juga kerana ceramah Imam Mahmud Kurcu semalam yang membuat saya rasa ingin terbang pulang segera bertemu kedua ibu bapa.

Apa yang pasti pagi ini saya berada dalam resah, dilema dan rasa kosong yang menghimpit.


Selepas perbualan dengan Barbara Chappell dan Professor Paul Collier yang membuka mata minggu lepas, yang berkisar tentang dunia akademik dan penerbitan yang penuh dengan politik dan syok sendiri, pagi ini, sekali lagi saya bertanya pada nurani, akan apakah matlamat sebenar PhD ini sebenarnya?

Apakah akan ada manfaatnya buat ummah? apakah saham dari PhD ini yang akan membawa saya bahagia nanti di akhirat sana? Berbaloikah perjalanan selama tiga/empat tahun ini?

Bukan sekali dua terasa ingin berhenti. Berpuluh-puluh kali bisikan itu datang. Mujur tidak terbawa-bawa hingga ke alam mimpi.

Kalau tidaklah kerana perjanjian yang telah termeterai, mungkin telah lama saya angkat kaki. Bukan kerana statistik, walaupun saya memang lemah dan benci dengan angka dan formula. Bukan juga kerana penyelia, walaupun memang selama ini saya merasa tidak diselia dan tidak dipandu dengan baik hingga mendorong saya kepada beberapa kesalahan fatal dalam kajian yang hanya dapat dikesan oleh ‘orang luar’. Bukan juga kerana musim sejuk yang baru bermula hingga membuatkan saya tidak boleh duduk senang. Bukan juga kerana lelahnya saya duduk di Adelaide yang kontang dari suara azan dan majlis ilmu di masjid-masjid.

Tapi kerana saya merasakan bahawa potensi diri saya telah dibazirkan untuk mencari sesuatu yang tidak pasti, bekerja mengejar bayang hingga terasa masa terbazir sia-sia. Benar, inilah yang saya rasa setiap hari bila tiba di pejabat.

Hari ini, motivasi saya untuk meneruskan perjalanan ini berada pada tahap yang amat rendah. Walaupun telah masuk ke tahun ke tiga kajian, akan membentang di persidangan antarabangsa di Brazil bulan hadapan dan sedang menulis sebuah kertas jurnal dan analisa data yang baru hendak bermula, saya langsung tidak ada motivasi untuk melakukan apa-apa saat ini.

Terasa ingin pulang ke Malaysia, memulakan perniagaan basikal atau membuka sebuah cawangan tadika dan pusat perkembangan kanak-kanak Islam, menulis buku pendidikan anak-anak sepenuh masa dan membuka sebuah syarikat penerbitan buku anak-anak Islam.

Inilah cita-cita saya sejak dulu, selepas Humaira’ lahir. Namun, apa yang saya buat, langsung tidak menjurus ke situ.

Hidup ini tidak lagi bermakna bila kita tidak tahu apa yang ingin kita cari, atau apa yang kita lakukan, menyimpang jauh dari apa yang kita cita-citakan.

Maaf buat pembaca blog sekalian kerana saya rasa ingin meluahkan rasa hati hari ini. Mungkin jika ada sahabat-sahabat yang membaca, mohon doakan agar saya diberi kekuatan untuk memilih jalan kehidupan yang terbaik.

Ya Allah, berilah kekuatan kepada hambamu ini. 

3 comments:

  1. Perancangan kita takkan sesempurna perancangan Allah Taala. saudara dipandu Allah untuk meneruskan perjuangan mendapatkan Phd. Untuk apa dan masa depan segulung ijazah tertinggi itu biarlah Allah yang tentukan. Perancangan kita takkan mampu untuk melangkaui perancangan yang telah Dia tetapkan. Setiasa kuatkan semangat. Ingatkan, kemudahan Allah telah berikan pada saudara. Imam Syafei sanggup melata ke seluruh dunia demi sepotong hadis. Teruskan usaha saudara, moga perjuangan ini menemui pengakhiran yang manis.
    Wallahua'lam
    -ahliah muhd

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas komentar dan kata-kata semangat, saya sangat menghargainya.

      Delete
  2. cik study dlm bidang ape ? buku multivariate data analysis n amos tu seem familiar to me . sy Dgree in Statistic . pernah trfikir nk further study in Statistic kat oversea . tp bila tbaca en tulis "lelahnya saya duduk di Adelaide yang kontang dari suara azan dan majlis ilmu di masjid-masjid" . rasa takut nk further . dan slalu jugak tnya pd diri, adakah bidang yg sy pilih ni blh menyumbang kpd Islam, kpd ummah. takut andai ilmu ini mnjadi ilmu yg tidak brguna .

    ReplyDelete