MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN TENTANG JAMA'AH (BAHAGIAN 2)


Soalan 2:

Mengapa perlu ada banyak Jema’ah? Bukankah ini tanda bahawa umat Islam tidak bersatu hati dan berpecah belah?

Jawapan:

Pertama sekali perlu diingat. Jema’ah hanya wasilah, bukan matlamat. Kita menyeru manusia kepada Islam, bukan kepada Jema’ah. Namun begitu, jema’ah ini amat penting kerana organisasi yang dijenamakan dengan baik, punya agenda, objektif, misi dan visi yang jelas, jalan kerja dan displin yang kemas adalah kenderaan yang amat baik untuk menyampaikan kita kepada matlamat. Kita hanya menunggangnya untuk menyampaikan kita kepada matlamat, iaitu Islam itu sendiri. Tidak ada isu kita mengajak kepada Jema’ah dan bukan kepada Islam, kerana keduanya adalah selari.

Tentang kepelbagaian Jema’ah. Manusia ini sifatnya berbeza-beza. Ada yang suka makan nasi dengan kari ayam. Ada yang suka makan laksa dengan sambal belacan. Ada pula yang suka makan dalca dengan sambal petai. Itu baru bab makanan. Dalam mazhab fiqh juga para Imam berselisih pandangan hingga lahirlah pecahan-pecahan mazhab yang punya kaedah perlaksanaan yang berbeza-beza.


Selagi mana asas-asas aqidah tidak menyeleweng seperti Syi’ah Rafidhah, Ayah Pin atau Al Arqam, melampau seperti kumpulan Jihad Takfir, maka perbezaan itu dibenarkan selagi mana ia dilakukan dalam kerangka adab dan akhlaq yang tinggi.

Tidak ada Jema’ah yang sempurna kerana yang mendukungnya adalah manusia yang penuh dengan kelemahan.

Tentang fikrah Jema’ah era baru ini. Kecuali Tabligh, Hizbut Tahrir dan beberapa lagi Jema’ah yang tidak saya ketahui, kebanyakan organisasi dakwah arus perdana yang ada di Malaysia hari ini seperti PAS, ISMA, IKRAM, HALUAN dan ABIM banyak berpaksikan kepada pemikiran Imam Hassan Al Banna dan Jema’ah Ikhwan Muslimin yang berasal dari Mesir.

Masing-masing punya tafsiran dan kaedah perlaksanaan yang berbeza-beza walaupun berasal dari asas pemikiran yang sama. Perkara ini normal kerana sifat manusia itu sendiri yang pelbagai. Namun apa yang penting, adab dan akhlaq antara Jema’ah perlu dijaga. Pada perkara yang berbeza, kita berlapang dada, di mana kita boleh duduk bersama, kita cuba untuk sepakat.

Tidak perlu bimbang dengan fenomena ini kerana walaupun jema’ah-jema’ah ini nampak seperti bersaing sama sendiri, akhirnya yang untung adalah Islam kerana sebenarnya masing-masing berlumba-lumba untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat. Sasaran dakwah adalah amat luas, skop kerja juga adalah pelbagai. Dari kita saling menyakiti, lebih baik kita saling melengkapi, bukankah lebih baik begitu?

1 comment: