DIA TIDAK PERNAH LUPA


“Ma jangan lupa doakan Hisham ye,” pesan saya kepada Ma setiap kali sebelum menamatkan panggilan telefon.

“Ma tak pernah lupa, setiap kali selepas solat Ma akan doakan. Malah setiap malam Jumaat Ma akan buat solat hajat untuk anak-anak. Minta semua dimudahkan urusan, yang belum kahwin agar dimudahkan jodoh, yang sedang belajar agar lulus dengan cemerlang, yang baru berkahwin agar cepat dapat anak. Ma doakan semuanya berjaya dunia akhirat.”

Walaupun jawapan yang sama diberi setiap kali saya menghubungi dan saya tahu, Ma pasti tidak akan lupa selagi mana dia bernyawa (Insyaallah), tapi sengaja saya ingin mendengarnya bagi mendapatkan penawar bagi hati yang sedang lara atau ketika minda dalam keadaan amat berserabut.

Biasanya selepas berbual-bual dengan Ma, saya akan merasai ketenangan luar biasa. Bukan kerana saya dapat meluahkan masalah, kerana saya memang jenis yang suka memendam masalah. Buka juga kerana dapat solusi kepada formula yang tidak dapat difahami berhari-hari. Namun, ketenangan itu hadir kerana saya tahu, di satu sudut kecil di dunia ini, ada manusia yang paling mustajab doanya bagi diri saya, sedang berdoa, memohon agar Allah mempermudahkan kehidupan saya dunia dan akhirat.

Subhanallah. Cukup melegakan.

Begitulah hati seorang ibu. Walaupun anak-anak sibuk ke sana dan kemari hingga kadang-kadang ada waktunya terlupa untuk menghubungi, tetapi ibu yang sejati, walaupun ilmu agamanya tidak setinggi mana, walaupun tidak berijazah, walaupun tidak pernah bersama mana-mana jama’ah yang semangat berdakwah, tetap tidak pernah lupa untuk mendoakan anak-anaknya.

Sedangkan kita yang kononnya ilmu penuh di dada, meletakkan status facebook, posting di blog yang berbau islami dan penuh muhasabah diri, sibuk dengan amal tarbiah dan dakwah di sana sini, seringkali lupa untuk mendoakan keselamatan dan kebahagiaan sekujur tubuh yang kian dimamah usia itu.

Andai hari ini kita berbangga dengan kejayaan dan pencapaian diri, mungkin di sebaliknya ada doa seorang ibu yang dimakbulkan.

Andai hari ini kita berbangga dengan bahagianya keluarga dan anak-anak yang menjadi, mungkin di sana ada keberkatan dari ibu yang sentiasa mendoakan kesejahteraan rumahtangga anak-anaknya.

Allah. Kadang-kadang rasa malu pada diri sendiri. Terima kasih kepada semua yang sudi mengingatkan, kerana peringatan itu sentiasa berguna bagi orang-orang yang beriman.

Moga Allah mengurniakan kita kekuatan untuk menjadi anak yang soleh dan sentiasa mendoakan kebaikan buat ibu bapa kita.

Jangan lupakan mereka dalam doa seusai solat petang ni!

No comments:

Post a Comment