“Syifa akan teruskan juga ke
dengan tadika ni walaupun kita dah kahwin?” Tanya saya pada isteri dalam taaruf
kami setelah beberapa hari kami berkahwin.
Wajah isteri saya sedikit
berubah.
“Kenapa abang tanya begitu?”
respon isteri saya, penuh curiga.
“Iyelah, lepas kahwin, Syifa
tak nak tumpukan pada rumahtangga ke?” Saya menjelaskan maksud.
“Maksud abang?” Isteri saya
meminta penjelasan.
“Maksudnya, Syifa boleh ke
nak tunaikan tanggungjawab pada suami, mendidik anak-anak yang bakal lahir
nanti dengan adanya tadika ni? Abang bimbang, kalau Syifa sibuk, akhirnya
rumahtangga akan jadi kurang berkualiti.” Luah saya. Mencurahkan perasaan hati.
Datang dari keluarga yang
konvensional, di mana (Ma) ibu saya tidak bekerja dan bertugas sepenuh masa di
rumah, saya membayangkan rumahtangga yang sebegitu juga. Tambahan pula saya
langsung tidak pandai memasak dan menguruskan urusan-urusan rumahtangga yang
lainnya.
Sementara isteri saya pula
datang dari latar keluarga yang jauh berbeza. Saya mempunyai persepsi bahawa
rumahtangga akan jadi porak peranda bila mana isteri tidak tinggal di rumah
pada kebanyakan masa. Tambahan pula dengan tanggungjawab dakwah dan tarbiah
yang pastinya tidak kurang berat.
Isteri saya terdiam
seketika. Dia menundukkan wajah. Saya menunggu penuh sabar.
“Abang, tadika ni adalah
impian Syifa sejak dulu, mungkin kita belum habis taaruf lagi.” Isteri saya
bersuara sambil tersenyum, lembut sahaja bunyi suaranya, namun ada ketegasan
yang terpancar.
“Kalau itu yang abang
bimbangi, tak perlu risau, Syifa akan layan abang macam raja dan akan pastikan
rumahtangga kita sentiasa terjaga. Tapi abang janganlah buat Syifa macam abdi
pula ye.”
Saya terdiam.
“Abang, tadika ni, Syifa
buat bukan semata-mata untuk cari makan, tapi untuk mendidik anak-anak bangsa
agar menjadi muslim yang cemerlang. Bukankah untuk membina generasi yang baik
kita kena bermula dari akar umbi?” Jelas isteri saya lagi dengan diakhiri
soalan yang tidak diminta jawapan.
“Tadika ini adalah platform
dakwah Syifa, bukankah rumahtangga ini kita asaskan atas asas dakwah? Kalau
abang tak nak bantu, tak mengapa, tapi Syifa merayu, janganlah halang Syifa
ye.” Jelas isteri saya, tegas dalam kelembutannya.
“Cuba abang bayangkan, andai
ada seorang anak yang pandai membaca Fatihah, membaca Al Quran, mengenal tulis
baca hasil didikan di tadika, kita akan dapat pahala selagi mana amal tersebut
berterusan dilakukannya.”
“Itu kalau seorang, kalau
berpuluh?, kalau beratus?, kalau beribu?”
“Syifa pasti, abang pasti
akan dapat saham andai abang memberi keizinan. Ini adalah sumber pahala kita
abang. Andai Allah terima segala jariah kita, ilmu bermanfaat yang diajarkan
kepada anak-anak, Insyaallah, kubur kita akan lebih cerah.”
“Lagipun, kalau bukan Syifa
yang keluar untuk mengislahkan umat, siapa lagi yang kita nak harapkan,
moga-moga sedikit usaha kecil yang Syifa lakukan ini akan dapat memberi sedikit
sumbangan dalam membaiki keadaan umat.”
Terdiam saya mendengar
penjelasannya. Terasa seperti ditampar-tampar. Betapa ceteknya pemikiran dan
betapa pentingkan dirinya saya ketika itu.
Perlahan-lahan, saya menanam
rasa kagum akan kebesaran jiwanya. Jiwa yang tidak mahu terikat dengan sesiapa
dalam pekerjaan, namun masih mampu untuk menyumbang kepada umat dan membina
amal jariah dengan efektif.
Beruntung saya memilihnya
sebagai isteri!
Kini, 8 tahun telah berlalu,
dan saya melihat hari semalam untuk mencari kenangan. Rumahtangga kami masih
jauh dari sempurna, bahkan masih banyak lompang yang perlu ditampung lagi.
Namun, ada kenangan-kenangan dan kesilapan-kesilapan yang kami lakukan yang
boleh diukir menjadi pengalaman berharga untuk diceritakan kepada adik-adik
yang baru hendak memulakan langkah.
Dalam rumahtangga, suami
adalah raja, namun isteri bukan abdi. Sejak berkahwin hinggalah ke saat ini,
isteri saya tidak pernah jemu memasak, menuangkan air ke dalam gelas,
mencedokkan nasi, menggosok dan melipat pakaian dan pelbagai lagi khidmat yang
bukan tanggungjawab sebenar dirinya, kecuali pada masa-masa keuzurannya.
Pada masa yang sama, dia
adalah pengurus kepada beberapa cawangan tadika, dan aktif terlibat dalam
urusan dakwah dan tarbiah di kalangan pelajar. Pernah juga saya membebel dan
kadangkala bermasam muka melihat kesibukannya, hingga adakalanya dalam seminggu
setiap hari terpaksa makan makanan pasar malam kerana tidak sempat untuk
memasak.
Namun bila berfikir di luar
kerangka kepentingan diri dan melihat keadaan umat yang semakin parah, saya
merelakan isteri keluar berbakti, menguruskan tadikanya dengan baik dan
memperbaiki dirinya dan orang lain, selagi mana tanggungjawab asasnya di rumah
bersama suami dan anak-anak tidak diabaikan.
Rumahtangga dakwah adalah
rumahtangga yang di dalamnya ada sinergi. Suami melengkapkan isteri dan isteri
melengkapkan suami. Isteri memudahkan suami untuk keluar menunaikan
tanggungjawab dan suami juga memberi ruang pada isteri untuk menunaikan amal
bakti sesuai dengan batas-batas kewanitaannya.
Rumahtangga dakwah bukanlah
sekadar mengadakan liqo’ mingguan antara suami isteri dan anak-anak, tapi
rumahtangga dakwah adalah rumahtangga yang punya misi, visi dan agenda Islami.
Bukan bermakna perlu ditulis di atas kertas dan ditampal pada dinding rumah,
tapi suami isteri jelas ke mana hala tuju rumahtangga hendak dibawa. Bagaimana
hendak mendidik anak-anak, bagaimana hendak menjaga hubungan dengan ibu bapa
dan sanak saudara, bagaimana hendak berinteraksi dengan jiran-jiran dan banyak
lagi isu-isu yang perlu pada kejelasan matlamat, ilmu dan kesungguhan dalam
melaksanakan.
Kami sendiri masih bertatih,
masih belajar dari mereka yang telah berjaya. Terkadang tersilap langkah,
bergaduh dan bermasam muka. Anak-anak juga masih kecil, cabaran 10 tahun akan datang
belum tentu sama dengan cabaran yang dihadapi hari ini.
Sesekali bimbang juga andai
rumahtangga yang dibina menjadi tempat menuai dunia dan memuaskan hawa nafsu
semata hingga akhirnya menjadi jambatan ke lembah neraka. Na’uzubillahiminzalik.
Moga Allah menunjukkan kami
jalan untuk membina rumahtangga yang menjadi taman syurga di dunia.
Perjalanan ini masih lagi
jauh. Moga Allah melimpahkan kekuatan dan mengurniakan kami thabat.
Insyaallah.
Amiin utk doa2 di hujung entri ni.
ReplyDelete