Baiklah, tentunya ‘update’ kali
ini adalah tentang Hari Raya Korban di Adelaide. Tahun ini kali kedua kami
menyambutnya di sini, lebih menambah seri adalah kehadiran Fatimah Insyirah
yang kini telah berusia 6 bulan.
Sambutan di sini agak sederhana,
namun kemeriahan tetap terasa. Seperti tahun sebelumnya, tahun ini kami memilih
untuk menunaikan solat sunat hari raya di Bonython Park. Tahun ini yang menjadi
imam adalah Imam Yusuf, Imam Masjid Wandana yang berketurunan Uighur.
Khutbah agak pendek kerana ingin
meraikan orang yang terpaksa bekerja dan mempunyai pelbagai urusan kerana hari
Jumaat adalah hari bekerja di sini.
Isinya adalah tentang cinta, ujian dan pengorbanan yang dilalui oleh
Nabi Ibrahim sepanjang sejarah hidupnya. Nanti saya kongsikan isinya dalam
entry lain kalau berkesempatan.
Alhamdulillah, cuaca cukup
cantik, tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Kehadiran juga agak baik
walaupun masjid-masjid lain di sekitar Adelaide seperti Masjid Khalil dan
Masjid City juga menganjurkan Solat Sunat Aidil Adha.
Suasana cukup meriah dengan anak-anak yang turut dibawa hadir tanpa ada sebarang kebimbangan akan mengganggu ketenteraman Jemaah yang sedang solat. Oleh kerana padang yang luas terbentang, kanak-kanak bebas berlari dan bermain sepuas-puasnya. Harap-harap nanti sunnah yang baik seperti ini dapat diamalkan juga di Malaysia satu hari nanti.
Solat di padang adalah satu
sunnah yang masih belum dapat dirasai di Malaysia. Cukup menarik bila dapat
berkumpul dan melihat orang-orang Islam berbilang bangsa sujud dan bertakbir
berbumbungkan langit dan berlapikkan rumput hijau.
Ada juga ‘jumping castle’ yang
membuatkan anak-anak tidak senang duduk. Tahniah kepada IICSA (Islamic
Information Centre of South Australia) yang menganjurkan program ini dengan
amat baik sekali.
Selesai solat, kami akan
bersalam-salaman, berpeluk-pelukan diikuti sesi bergambar bersama
pelajar-pelajar Malaysia yang hadir. Cuma tahun ini, Nampak tidak berapa ramai
pelajar Malaysia yang ada, mungkin ada yang bertembung dengan kelas dan tugasan
yang perlu dihantar segera.
Jamuan ringan disediakan oleh
pihak penganjur, tapi, kalau namanya orang Melayu, pasti tidak akan lepas
dengan rendang, ketupat dan pelbagai jenis juadah ketika hari raya yang
disediakan oleh beberapa keluarga, termasuklah isteri saya yang bersengkang
mata memasak seperiuk besar rendang ayam pada malam sebelumnya.
Kami tidak ke mana-mana hari ini,
asalnya saya bercadang untuk ke pejabat, namun melihat rumah seperti tongkang
pecah, terpaksa juga meluangkan sedikit masa untuk operasi selepas Solat
Jumaat. Selepas Asar, barulah kami keluar beraya ke rumah Shibi dan Surah yang
berhampiran dengan rumah kami.
Malamnya saya melayani anak-anak.
Lama tidak menonton ‘movie’ bersama kerana kesibukan saya dengan pengajian.
Kali ini kami menonton filem ‘How to Train Your Dragon’. Satu kisah dengan
jalan cerita yang cukup menarik. Nantikan entry seterusnya (kalau rajinlah,
hehe).
Ibadah korban akan dilakukan esok
di pusat penyembelihan di Lobethal. Saya dan beberapa orang rakan sama-sama
berpakat untuk menumbangkan seekor lembu. Cara sembelihan di sini agak unik, tidak
seperti di Malaysia. Lepas sembelih esok, nanti saya kongsikan gambar dan
sedikit cerita tentang penyembelihan di sini.
Baiklah, setakat itu dulu update,
janggal juga rasanya menulis di blog seperti ini, kerana telah amat lama tidak
melakukannya. Asalnya saya ingin menulis tentang perkara lain, namun menunggu
ilham yang tidak kunjung datang, akhirnya saya memilih untuk menulis sahaja apa
yang terlintas di fikiran.
Moga bertemu lagi di lain masa.
Eid Mubarak buat semua pembaca
blog ini!
No comments:
Post a Comment