PERISTIWA SATU PETANG DI TEPI TIANG MASJID

“Anta buat apa kat sini?” Tanya seorang sahabat yang melihat saya sedang bersandar di tepi tiang masjid selepas Solat Asar.

Saya diam. Hanya tersenyum. Sebenarnya ketika itu saya menahan lapar yang amat sangat kerana telah kehabisan wang belanja. Hendak menelefon ke rumah, minta bantuan dari Ma dan Dedi, tidak sampai hati. Hendak meminjam dari kawan-kawan, terasa malu. Kebetulan bulan itu elaun JPA masuk agak lambat. Khabarnya, tiga hari lagi baru duit akan masuk.

Petang itu saya buntu. Kali terakhir saya menjamah makanan adalah sebungkus Maggi yang saya kongsi bersama roommate malam tadi, sesudahnya hanya minum air sejuk kerana duit yang di dalam dompet hanya 50 sen. Tidak pernah lagi keadaan kewangan saya kritikal begini. Apatah lagi untuk menghadapi beberapa hari lagi.

Perut terasa amat pedih.

“Anta ada masalah ke?” Tanya sahabat itu lagi. Sahabat itu adalah senior saya dua tahun di Universiti. Dia adalah antara tenaga utama yang mengajak saya mengenal usrah, tarbiah dan dakwah.

Saya hanya menguntum senyum. Bertarung antara perasaan malu dan perut yang sedang menggerutu.

“Biasanya anta tak begini, pada hemat ana, anta ni mesti tengah tak ada duit sebab elaun budak-budak tahun pertama JPA masuk lambat bulan ini kan. Eh, anta dah makan?”

Dada saya bagai disambar petir. Bagaimana dia boleh meneka dengan tepat apa yang sedang bermain di fikiran saya.

“Macam ini lah, anta ambil RM 20 ni, buat belanja apa yang patut, ana tahu anta tak ada duit.”

Dia mengeluarkan dua keeping not merah dari dalam dompet dan menghulurkan kepada saya.

Tanpa sedar saya menghulurkan tangan, tidak mampu menolaknya.

“Ana minta diri dulu, ada hal sikit. Kalau anta perlu bantuan apa-apa, anta tahu nak cari ana kat mana.” Sahabat saya itu bangun dan berlalu pergi.

Saya menahan air mata. Bantuan Allah datang dalam keadaan tidak disangka-sangka. Saya menunggu kelibatnya hilang dan kemudian terus bangkit menuju kafeteria terdekat untuk mencari makanan.

Peristiwa petang hari di tepi tiang masjid itu adalah antara peristiwa dari sekian banyak kenangan yang tidak akan dapat saya lupakan. Antara noktah penting yang menyebabkan mengapa saya terus kekal bersama dengan dakwah dan tarbiah hingga hari ini.

Kadang-kadang bukan ceramah yang berdegar-degar di dalam daurah, bukan juga siri-siri usrah, nasihat-nasihat boombastik, katibah dan mukhayyam yang akan menyentuh hati seorang mad’u dan mengubah pendiriannya tentang dakwah dan tarbiah, tetapi cukup sekadar dengan sentuhan-sentuhan kecil yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dari hati murabbi yang penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Bila kita (da’ie) jujur dengan ukhuwwah, hati mad’u pasti akan mudah berubah.

Moga Allah memberi kelapangan hidup dan keluasan rezqi pada sahabat yang membantu saya petang itu.

No comments:

Post a Comment