“Hai manusia, jika kamu
dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya
Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian
dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya
dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam
rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian
Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur-angsur) kamu
sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada
pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak
mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat
bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah
bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang
indah.”
“Dalam ayat ini Allah sebut kepada semua
manusia, bahawa jika ada yang tak percaya kepada hari kiamat, tak percaya
bahawa selepas mati dan ditanam di dalam kubur akan dibangkitkan semula, kemudian
dihimpunkan di Mahsyar untuk dihisab, melalui titian Sirat dan kemudian ke syurga
atau ke neraka, maka lihatlah kepada proses bagaimana manusia dicipta.”
Pagi ini, saya bercerita kepada anak-anak
tentang makna ayat-ayat awal dari surah al Hajj selepas sesi membaca Al Quran
bersama-sama sebelum saya bertolak ke Universiti.
Walaupun sesi begini tidak hari-hari saya
lakukan kerana fokus pendidikan Al Quran kepada Humaira’ dan Khadijah buat masa
ini masih lagi berkenaan memperbetulkan tajwid, panjang pendek dan makhraj huruf,
namun bercerita tentang makna sekali sekala tidak ditinggalkan agar sedikit
sebanyak mereka tahu makna dan pengajaran praktikal di sebalik ayat-ayat yang
dibaca.
Tidaklah saya menceritakan berkenaan dengan
asbab nuzul dan huraian ahli tafsir dari kitab-kitab tafsir yang lebih sesuai
untuk mereka yang lebih dewasa, terutamanya dalam membicarakan ayat-ayat
mutasyabihat, tetapi cerita saya lebih kepada ayat-ayat atau kisah-kisah yang
jelas maksudnya untuk diambil pengajaran.
Harapan saya, moga cerita-cerita dari Al
Quran ini menjadi asas untuk mereka menjadi generasi yang bukan hanya pandai
membaca dan menghafaz sahaja, tetapi melaksanakan Al Quran di dalam hidup
sepenuhnya.
“Allah sebut, bahawa manusia, Allah jadikan
daripada tanah, kemudian dari air mani….” Saya menyambung sebelum terhenti pada
perkataan ‘air mani’.
Seperti yang saya jangka, sebelum sempat saya
menyambung ayat yang seterusnya, Khadijah dan Humaira’ mengangkat tangan dan
serentak bertanya.
“Air mani itu apa ayah? Macamana Allah
ciptakan kita dari air mani?”
Saya tersenyum mendengar pertanyaan jujur
anak-anak, bukan mudah untuk menjelaskan isu ini, tambahan pula dengan ayat
yang mudah difahami oleh kanak-kanak. Berfikir-fikir, apakah tema dan
pengajaran praktikal yang paling sesuai untuk mereka di sebalik ayat ini.
“Hmmm….begini, air mani ini adalah air yang berada
di dalam badan orang lelaki dan di dalam air mani ini ada makhluk yang
dinamakan sperma. Sperma ini rupanya seperti berudu, kecil dan halus, tak boleh
kita nampak kecuali kalau kita gunakan mikroskop.”
“Sperma ini akan dimasukkan ke dalam tubuh
orang perempuan oleh orang lelaki dan apabila ia bercantum dengan telur bernama
ovum yang berada di dalam tubuh orang perempuan, maka dari situ akan bermula
proses penciptaan manusia yang menakjubkan.”
“Errr…ayah, macamana nak masukkan sperma
dalam badan orang perempuan?” Tanya Khadijah dengan wajah penuh persoalan
sebelum sempat saya menyambung cerita.
Soalan-soalan yang datang semakin kompleks,
dan ‘menakutkan’. Saya menyusun ayat sebaik mungkin untuk menjawab.
“Sperma ini akan dimasukkan oleh orang lelaki
ke dalam tubuh orang perempuan melalui satu proses bila orang lelaki dan perempuan
tinggal dan tidur bersama, dan paaaaaling penting dalam Islam, lelaki dan
perempuan wajib berkahwin untuk sperma ini dimasukkan dalam tubuh orang
perempuan.”
Saya berhenti seketika, tidak ingin pergi
lebih jauh dengan menceritakan fungsi alat kelamin pula, tapi ada sesuatu yang
lebih penting yang perlu dijelaskan.
“Allah sangat marah kalau ianya berlaku
sebelum berkahwin, dan ia adalah dosa yang saaaaaangat besar. Dosa ini disebut
sebagai zina.”
“Zina berlaku apabila orang lelaki memasukkan
spermanya ke dalam tubuh orang perempuan sebelum dia berkahwin….,” berkerut-kerut
saya menjelaskan, terhenti-henti dan kemudian menyambung lagi.
“Zina ini boleh berlaku bila orang lelaki
bergaul dengan orang perempuan tanpa ada batas, orang perempuan tidak menjaga
aurat, pakai seksi-seksi di luar rumah dan orang lelaki pula tidak menjaga
pandangannya. Dalam Islam, orang lelaki dan orang perempuan yang bukan mahram,
yang bukan adik beradik tidak boleh bergaul terlalu rapat, bahkan sesama adik
beradik pun tidak boleh terlalu rapat sebenarnya, sebab itu orang perempuan
kena menjaga aurat, dan antara adik beradik lelaki dan perempuan, perlu
dipisahkan tempat tidur bila dah besar.”
Anak-anak mengangguk-angguk, entah faham
entah tidak. Tapi apa yang pasti, masa akan datang, saya akan menjelaskan
konsep ini lagi hingga mereka benar-benar faham akan peri pentingnya untuk
menjaga perkara-perkara yang membawa kepada zina.
Dalam situasi masyarakat hari ini,
berleluasanya zina di tengah masyarakat dalam kadar yang amat menakutkan. Di
desa dan di bandar, sama sahaja kedasyatannya. Entah di mana silapnya, tapi
institusi keluarga tidak lagi menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak
berlindung dari pintu-pintu yang boleh menolak mereka kepada zina.
Akses kepada kelucahan di Internet yang amat
mudah, rancangan-rancangan televisyen, majalah-majalah separa lucah yang
beredar di pasaran serta jahilnya ibu bapa dalam mendidik anak-anak mungkin
adalah antara faktor yang menyumbang kepada tragedi zina yang berleluasa di
negara kita. Hampir setiap hari, ada sahaja kes-kes anak-anak luar nikah yang
menerima nasib yang pelbagai, ada yang diletakkan di depan pintu surau, ada
yang dicampak ke sungai, ada yang ditinggalkan di tandas, yang lebih bernasib
baik, mungkin ibunya terpaksa juga ke hospital dan anak-anak itu dapat
dilahirkan dengan selamat.
Anak-anak perlu dijelaskan tentang dosa zina
sejak awal usia, perlu dijelaskan juga kepada mereka tentang perkara-perkara
yang boleh membawa kepada zina seperti pergaulan bebas, pendedahan aurat, dan bahaya
menonton aksi-aksi kelucahan yang berleluasa di televisyen.
Sifat taqwa perlu dibina awal-awal lagi
sebagai benteng, bagi anak perempuan, sifat malu adalah perisai yang paling
utama.
“Ok, kita kembali kepada proses penciptaan
manusia tadi ye, tentang zina ni nanti ayah ceritakan lebih lanjut nanti. Apa
yang penting, kita kena tahu bahawa zina atau perkara-perkara yang membawa
kepada zina adalah dosa-dosa yang dilarang oleh Allah. Jangan sesekali kita
melakukan perkara yang boleh membawa kepada zina seperti memakai pakaian yang
tidak menutup aurat, menonton rancangan yang tak soleh, seksi-seksi dan
macam-macam lagi.”
Saya mengulang isi utama perbincangan hari
ini dan kemudian menyambung perbicaraan tentang proses penciptaan manusia.
“Bila sperma bercantum dengan telur di dalam
tubuh ibu, dari situ, akan mula tercipta ‘baby’ kecil dalam tubuh orang
perempuan, macam apa yang ada dalam tubuh ibu. Mula-mula dalam rupa bentuk yang
amat kecil, kemudian terciptanya tangan, kaki, mata, kepala, otak dan
seterusnya bila dah cukup 9 bulan dalam perut ibu, baby ini akan keluar sebagai
‘baby’ yang sempurna.”
“Nak tak ayah tunjukkan satu video di Youtube
tentang proses penciptaan manusia?” Tanya saya kepada anak-anak, merujuk kepada
satu video yang amat menarik dan begitu terperinci dalam
menjelaskan proses penciptaan manusia yang menakjubkan di dalam rahim.
“Nak-nak!” serentak anak-anak menjawab dengan
penuh keterujaan.
“Haa, kalau nak, harini kena ‘behave’ kat
rumah, kena dengar cakap ibu dan nanti bila ayah balik, kita tengok sama-sama
okay?” Janji saya kepada anak-anak.
“Alaaaaa…..”
Saya tersenyum, menyalami mereka dan terus
bergerak keluar dengan pantas dari rumah sebelum diserang dengan lebih banyak
persoalan. Moga-moga ada kebaikan dari apa yang diajarkan kepada mereka hari
ini, moga bertambah iman dalam hati dan lebih dekat mereka dengan Al Quran,
Insya-Allah.
Salam. Boleh beri link video harun yahya itu? Terima kasih.
ReplyDeleteBila diterangkan semasa mereka masih kecil,akan menimbulkan minat untuk lebih menerokai ilmu Allah dan juga sains
ReplyDeleteAssalamualaikum, saya singgah di sini, terima kasih atas perkongsian ini, saya sendiri tercari-cari cara terbaik menerangkan soalan2 mencabar anak2.
ReplyDelete