Kenapa Nama Humaira’, Humaira’?


Hujan turun dengan lebat diluar. Bumi Adelaide basah bermandikan rahmat tuhan yang tidak membezakan antara mereka yang beriman dan mereka yang kufur.

Jalan yang basah dan licin akibat hujan yang turun tanpa henti sejak pagi ditambah dengan brek kereta Hyundai Lantra saya yang masih belum diperbaiki menyebabkan saya memandu dengan perlahan dan berhati-hati untuk menuju ke Masjid Khalil di Torrens Road bagi menunaikan Solat Isya’ dan Terawih.

Walaupun sedikit jauh, tapi bacaan Imam Amin dari Mesir yang cukup lunak membuatkan saya tidak kisah untuk memandu ke sana.

Malam ini, hanya saya dan Humaira’ sahaja yang pergi ke masjid. Isteri saya yang dimarahi oleh wanita Arab semalam kerana Khadijah bising di masjid ketika solat Terawih, telah serik untuk ikut bersama.

“Ayah, kenapa ayah bagi nama Humaira’, Humaira?” Humaira’ memulakan perbualan memecah kesunyian di dalam kereta.

Mendengar Humaira’ bertanyakan soalan, saya memperlahankan radio yang sedang mendendangkan lagu-lagu Ramadhan daripada pemain CD.

Banyak perbualan menarik antara kami berdua berlangsung ketika berdua di dalam kereta. Walaupun kadangkala ringkas, tetapi cukup bermanfaat. Alhamdulillah.

“Sebab, Humaira’ itu adalah nama panggilan kepada Aisyah, isteri Rasulullah yang sangat cantik dan cerdik.” Jawab saya, mengingatkan saya kepada perbualan antara saya dan isteri 7 tahun yang lampau ketika hendak memilih nama bagi anak pertama kami. Terasa seperti baru semalam ia berlalu.

“Ayah ingin, agar Humaira’ akan menjadi solehah dan cerdik seperti Aisyah. Lagipun Humaira’ kan cantik, Saidatina Aisyah pun cantik juga.” Sambung saya lagi sambil menyelitkan sedikit pujian. Anak perempuan memang sentiasa perlu kepada pujian, terutama dari ayahnya.

Teringat juga saya kepada perbincangan dengan Ustaz Fisol ketika hendak memilih namanya, selepas selesai urusan tahnik. Ustaz menyatakan bahawa saya hendaklah memilih nama dan memasang niat yang baik untuk anak tersebut.

Pesan Ustaz lagi, nama yang baik bukanlah nama yang hanya sedap disebut atau nama yang semata-mata popular apatah lagi jika gabungan nama antara ibu bapa yang tidak punya sebarang makna, tapi nama yang baik adalah nama yang punya makna yang baik.

Tapi tidak cukup sekadar itu, nama yang lebih baik adalah nama yang boleh kita sandarkan kepada peribadi-peribadi soleh yang dicintai oleh Allah seperti nama-nama Nabi, nama para sahabat baginda junjungan, nama orang-orang soleh seperti Imam Hadis dan mazhab dan juga pejuang-pejuang Islam seperti Hassan Al Banna, Ahmad Yassin dan Zainab Al Ghazali.

Kami sepakat memilih Humaira’ dan menyandarkan nama itu pada kesolehan Saidatina Aisyah, isteri baginda yang cukup disayanginya. Setelah wafatnya baginda, kecerdikan dan keberaniannya terserlah menjadi teladan buat ummah.

Tapi memang benar, Humaira’ memang mempunyai sedikit karakter-karakter Saidatina Aisyah seperti kuat cemburunya, tajam pemikiran dan pemerhatiannya, manja dan penyayang juga kuat ingatan dalam hafalan.

“Tapi, nama dia Aisyah, bukan Humaira’, kenapa ayah tak bagi nama Humaira’, Aisyah?” Saya tersenyum sendiri mendengar soalan itu. Telah saya jangka bahawa soalan ini akan ditanya, dan jawapannya telah lama tersedia.

“Begini, kan nama ayah Hisham, nama ibu Hasifah, kedua-duanya bermula dengan huruf H, jadi ayah nak nama yang bermula dengan huruf H juga. Sebab itu ayah bagi nama Humaira’, Humaira’. Jelas saya, jujur.

“Tapi Khadijah, nama dia tak mula dengan huruf H pun?” Balas Humaira’, juga dengan jujur tapi tidak puas hati.

“Khadijah kan nama dia Khadijah Hanan, ada H pada Hanan tu.” Saya ketawa kecil ketika memberikan jawapan.

Sejujurnya, padanan H bukan lagi motivasi utama ketika memberi nama anak kedua kami.

Ketika memilih namanya, saya amat inginkan semangat, kebijaksanaan, pengorbanan dan kesetiaan Khadijah Isteri Rasulullah pada suami dan juga dakwah tumpah pada anak kedua kami ini.

Seperti Humaira’, karakter Khadijah terserlah dengan jelas sejak kecil. Kehendaknya cukup kuat dan semangat explorasinya cukup terserlah. Mungkin sesuai dengan peribadi Saidatina Khadijah sebagai usahawan berjaya.

“Tapi namanya bermula dengan huruf K, bukan H.” Humaira’ mempersoalkan lagi. Tidak puas hati dengan jawapan yang diberi.

“Tak mengapalah Humaira’, K atau H, semuanya anak ayah dan semuanya ayah sayang. Ayah ingin supaya semua anak ayah jadi solehah seperti solehnya isteri Rasulullah. Sebab itu ayah bagi nama yang sama seperti nama mereka semua.”

Saya tidak lagi menjawab tentang H atau K, tetapi kali ini saya lebih fokus kepada maksud di sebalik nama tersebut agar dia juga faham bahawa namanya bukan sebarang nama, tapi nama yang mempunyai makna yang besar disebaliknya.

Semoga nama yang kami beri kepadanya akan mendorong dirinya untuk beramal dan berbakti seperti berbaktinya Saidatina Aisyah kepada ummah seluruhnya. Insyaallah.


1 comment:

  1. mmg betul itulah le anak2 sentiasa ingin kepastian..dan asyik tanya knp itu...knp ini...semoga menjadi anak yang solehah amin

    ReplyDelete