LEE KUAN YEW, DAP DAN SEJARAH



Dua gambar, dua cerita, dan zaman yang berbeza tapi di belakangnya ada pelajaran yang sama.
Gambar 1, kelihatan mendiang Lee Kuan Yew dari PAP (abang DAP) ketika sedang berkempen di sebuah kampung Melayu di Singapura. Demi untuk mendapatkan sokongan orang Melayu bagi melaksanakan agenda PAP terhadap Singapura, mendiang sanggup bersongkok untuk meraih undi dan akhirnya memerintah Singapura hingga hampir hujung hayatnya.
Gambar 2, barisan pimpinan tertinggi DAP yang diketuai oleh Lim Kit Siang sendiri sanggup turun ke bumi para anbiya Mesir dan Jordan baru-baru ini untuk menjelaskan agenda mereka kepada bakal-bakal asatizah Melayu di sana. Tindakan ini pastinya untuk menarik golongan para asatizah kepada DAP kerana mereka sedar, masyarakat massa Melayu di Malaysia hanya mampu diraih sokongannya melalui saluran golongan asatizah dan ulama yang thiqah.
Ketika pimpinan parti politik Melayu masih bertelagah, DAP mengorak langkah signifikan dalam perjalanan panjang perlaksanaan agenda mereka di Malaysia.
Sejak lahir di Malaysia pada tahun 1965, agenda mereka tetap tidak dan tidak pernah berubah hingga sekarang. Naiflah siapa yang menyangka bahawa DAP telah mula lunak terhadap Islam dan sanggup ke Mesir untuk berjinak-jinak dengan Islam.
Lupakah mereka dengan Snouck Hurgronje yang sanggup mendalami Islam untuk memusnahkan penentangan jihad menentang Belanda di Indonesia? Lupakah mereka dengan Lawrence of Arabia yang alim dan lebih Arab dari sebahagian orang Arab pada ketika itu demi untuk memecahkan kesatuan umat Islam hingga akhirnya khilafah umat Islam runtuh.
Jangan sampai nanti nama akan tercatat dalam sejarah sebagai pengkhianat kepada umat yang akan dimaki zaman berzaman seperti Si Kitul dan Raja Mendeliar dalam sejarah robohnya Kota Melaka.

CERPEN: PARANOID


Mentari yang terbit dari ufuk Timur dari celahan awan pagi itu kelihatan begitu cemerlang. Sambil memandu, Furqan menatap keindahan sang mentari pagi sambil membaca zikir Ma’thurat secara perlahan-lahan.
Hatinya terasa lapang dan tenang selepas dapat menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid dan membaca beberapa muka Al Quran.
Furqan teringat pesan naqib usrahnya, bahawa memulakan pagi dengan Solat Subuh berjemaah, tilawah Al Quran dan zikir akan memberikan rasa ketenangan yang luar biasa.
Rakan sekongsi keretanya ke pejabat, Hanifa, masih leka sejak tadi menatap iPhone 6 yang baru sahaja dibelinya minggu lepas. Dia tenggelam dalam deretan ‘newsfeed’ di laman ‘facebook’nya dan ratusan mesej Whatsapp dan Telegram yang tidak dibukanya sejak semalam.
“Apa masalah dengan demonstran di Taman Maidan ini.” Sunyi di dalam kereta dipecahkan dengan suara Hanifa yang agak lantang secara tiba-tiba.
Furqan yang sedang khusyuk berzikir, sedikit tersentak. Zikirnya terhenti, sambil otaknya ligat berfikir tentang isu apa yang dimaksudkan oleh Hanifa.
“Tak habis-habis nak cari gaduh!” Tambah Hanifa lagi dengan suara yang lebih kuat.
“Apa benda pula kali ini?” Getus Furqan di dalam hati. Dia memang kenal benar dengan rakannya itu yang cukup ‘outspoken’ baik di alam nyata, mahupun di alam maya.

28 SEBAB MENGAPA UFUN BAKAL MELINGKUP (OLEH TN AZIZI ALI MENTOR WANG)

Setelah Tok Belagak kantoi busuk, kini tibalah giliran UFUN pula. Kesian orang Melayu kita, yang nak cepat kaya habis melingkup semuanya. 

Yang sebenarnya, tiada jalan pintas menuju kekayaan abang kakak sekalian, kena usaha, usaha dan usaha.

Nah bacalah 28 sebab mengapa UFUN ni adalah penipu yang bakal memiskinkan ramai manusia yang malang.

KOMEN TENTANG 'PENIPUAN' UFUN DAN SEKUTU-SEKUTUNYA
1. Tiga orang ahli UFun telah datang ke pejabat saya dua hari lepas dan memberikan penerangan yang agak menyeluruh tentang UFun dan utoken. (Terima kasih kepada mereka.) Jadi sekarang saya ingin berkongsi dengan anda apa yang saya khabarkan kepada mereka setelah mendengar cerita mereka.
2. UFun menawarkan utoken yang merupakan sebentuk digital currency, yang boleh digunakan sebagai mata wang untuk membeli-belah dan sebagainya. Dan seperti currency yang fizikal (e.g. ringgit), nilai utoken boleh naik turun. Apabila nilai utoken naik, maka ‘pelaburnya’ akan buat duit tanpa apa-apa kerja. Itulah TEORINYA.
3. Malangnya, saya tak fikir teori ini akan menjadi nyata dalam kehidupan sebenar. More about this later.
4. Saya difahamkan yang UFun sekarang mempunyai 5 projek ‘perniagaan dan pelaburan’:
(a) UBTMall
(b) JV Bangkok Marina di Thailand
(c) JV Projek Batu Marmar HanBaiYu di China
(d) Uway TV
(e) MOA dengan Carl Corryton Medical Centre
Saya difahamkan juga yang utoken diterima oleh beberapa kedai fizikal i.e. boleh beli barang/servis dengan utoken menggantikan cash.
5. Saya bermula dengan UBTMall. UBTMall ialah satu online mall dimana ahli boleh menjual beli produk sesama-mereka (barter trade). Jumlah produk yang ditawarkan melebihi 2,000 tetapi saya kurang percaya yang salesnya akan memberangsangkan.
Mengapa?
(a) Banyak produk yang ditawarkan nampak biasa-biasa saja;
(b) Hanya ahli yang boleh membeli (orang luar perlu mendaftar sebagai ahli sebelum boleh beli);
(c) Harga kebanyakkan produk pula lebih mahal jika dibandingkan dengan harga cash di luar.
Tiga sebab ini membuatkan saya kurang confident yang sales di UBTMall akan memberi keuntungan besar kepada syarikat.
6. Sebenarnya UBTMall adalah laman web gantian to a previous online mall – ufunstore.com. Tetapi sudah tentu ufunstore ini tidak berjaya kerana ianya sudah dimansuhkan oleh UFun.
7. Saya tidak terkejut mendengar yang operasi ufunstore dimansuhkan. Pertamanya, hanya ada 38,120 pelawat pada 5 Jan 2015. Laman web ini diset up pada tahun 2013. Bukankah ini satu fakta yang mencurigakan? Setelah lebih 2 tahun, baru ada 38,120 pelawat! Mind you, itu pelawat, bukan pembeli! Jumlah pembeli sudah tentu hanya segelintir kecil daripada jumlah ini. (Sebagai perbandingan, Fanpage saya yang baru setahun sudah ada 83,000+ likes (ehm, ehm)!)
8. Kedua: tinggal hanya beberapa produk yang ditawarkan di ufunstore sebelum ia dimansuhkan. Jenis dan kualiti produk tersebut pun menimbulkan banyak persoalan. Jadi tak hairanlah ianya dimansuhkan.
9. Write-up di ufunstore.com dan juga UBTMall juga mempunyai banyak grammar error. Walaupun grammar error itu bukan satu kesilapan besar tetapi ia menunjukkan kualiti syarikat tersebut. Kalau grammar pun silap, apatah lagi perkara yang lebih besar dan penting? (Sebagai perbandingan, adakah anda fikir Maybank, Sime Darby, Microsoft atau Apple akan membiarkan laman webnya penuh dengan grammar error?)
10. Sekarang JV Bangkok Marina pula (shareholding disebut 29%). Projek ini masih dalam pembinaan jadi UFun tidak mempunyai income daripada projek ini. (UFun menawarkan ahli untuk membeli share dalam projek ini jadi mereka mencuba untuk monetize pelaburan ini, yang jika tidaknya akan memakan masa untuk membawa untung. Tetapi usaha ini bermakna wang itu datang dari poket ahli, bukan daripada pelaburan tersebut.)
11. Saya difahamkan yang JV projek batu marmar di China menguntungkan. Tetapi berapa shareholding UFun kita tak tahu sebab tak disebut. (Saya suspek shareholding itu tak tinggi sebab itu mereka tak sebut!) Sebagai contoh, 1% pun shareholding juga tetapi sudah tentu dividen yang diterima hanyalah sedikit. Jadi berapa untungnya kita tak tahu.
12. Projek Uway TV dikatakan sudah beroperasi di Taiwan. Saya tak mendapat banyak informasi tentangnya kerana the few websites on it semuanya dalam bahasa Cina. Anyway, FB page Uway mempunyai hanya 3,788 likes as at 15 Jan 2015. This is not a good sign. Ini bermakna yang ianya tidak begitu popular! Jadi saya tak fikir projek ini akan membawa banyak keuntungan kepada ahli UFun.
13. Carl Corryton Medical Centre (CCMC) di Penang ialah a centre for Wellness and Beauty i.e. plastic surgery, orthopaedic-sports medicine and kidney/internal medicine. MOA ini membolehkan ahli membuat 30% bayaran dengan menggunakan utoken dan balance 70% dengan cash. Saya tak fikir yang ramai ahli akan melakukan plastic surgery di sini just because it is available.
14. Of course, adalah juga claim proposal-proposal yang power termasuk pembelian tiket kapal terbang dengan menggunakan utoken serta berita UFun mahu memulakan syarikat unit amanah di masa hadapan. Semua ini adalah claim proposal: mungkin jadi, mungkin tak jadi.
15. Setelah melihat video-video, membaca write-up dan mendapat keterangan tentang UFun, saya mempunyai serious reservations tentang operasi UFun. Mengapa? Read on.
16. Video utoken penuh dengan claim yang power tetapi menimbulkan banyak percanggahan dan persoalan. Banyak statement yang dibuat itu tak masuk akal atau bercanggah daripada satu ayat ke ayat yang lain.
Contoh 1: utoken mendakwa ianya diisu oleh Utokens Reserve Limited (whatever that means) with its independent international board members consist of bankers and manager (this is the actual write-up in the video which can mean: only 1 manager, or most likely, written by someone who is not exactly an expert in the English language!) tetapi tak sebut siapa mereka ini. Budak sekolah rendah pun boleh claim begitu sebab main cakap saja!
Contoh 2: utoken mendakwa mereka ada 22% rizab emas untuk setiap utoken yang diterbitkan tetapi siapakah yang mengauditkan claim ini? Again, budak sekolah rendah pun boleh claim begitu sebab cakap saja! Claim ini pun tak masuk akal sebab 1 utoken bernilai $0.26 (menurut write-up mereka sendiri). 22% of 26 cent is 5.7 cent. Mana ada emas yang dijual dengan harga 5.7 cent?
17. Ini baru video. Sebenarnya saya boleh menceritakan banyak lagi percanggahan fakta dan kesilapan dalam write-up mereka.
To summarize, the write-up is written to impress people yang dia terer. All you need to know is some basics about money and investments to realize that they are talking crap!
18. Syarikat Bina Puri (public listed) telah mengeluarkan statemen yang mereka tidak ada link dengan utoken maupun apa-apa promosi oleh UFun. (Kaitan yang ada hanyalah JV Bangkok Marina.) Ini adalah satu tamparan besar, yang patut menjadi amaran kepada semua orang untuk berhati-hati dengan UFun.
19. Tiga bank yang disebut oleh UFun juga menaikkan rasa curiga yang teramat sangat.
(a) UDBP Bank (www.udbpbank.com) ialah bank yang beribu pejabat di Vanuatu. Bank ini di tubuhkan pada tahun 2013 and they proudly claim a grand total of 2 offices in the Asia-Pacific countries and territories!
(b) Banque de Development de Guinee S.A. (www.bdg-guinea.com) adalah ‘bank’ yang beribu pejabat di Republic of Guinea. I have serious reservation about a bank that has more information about the country than the bank on its website!
(c) Saya mempunyai masalah untuk mendapat makulumat tentang Nico Financial sebab ianya sebuah syarikat di Russia. Saya tak jumpa laman webnya; jika ada pun mungkin dalam bahasa Russia. Nyet!
Semua ini menambahkan rasa curiga saya akan UFun. Operasi UFun besar di Thailand; kenapa tak gunakan akaun di Bangkok Bank (bank terbesar di Thailand)? Operasi UFun juga besar di Malaysia; kenapa tak gunakan akaun di Maybank atau CIMB (2 bank terbesar di Malaysia)? Kenapa tak gunakan akaun di ICBC (bank terbesar di China dan juga di seluruh dunia)?
Mengapa oh mengapa mempunyai fasiliti banking di tempat jin bertendang?
20. Semua poin di atas memang sudah menimbulkan banyak tanda-tanya tentang operasi UFun. Tetapi poin yang paling mencurigakan saya ialah nilai utoken naik apabila jumlah ahli naik. Sebagai contoh, salah satu video utoken menerangkan yang apabila jumlah ahli mencapai 200,000 orang, nilai utoken split 2 daripada 0.40 jadi 0.20. (Rupa-rupanya dulu mereka gunakan terminologi ‘split’, sekarang mereka gunakan terminologi ‘dividen’. Dulu mereka gunakan jumlah ahli, sekarang mereka gunakan nilai utoken pula sebelum membayar ‘dividen’.) Proses ini berulang-ulang dengan penambahan ahli (at least in theory). Jadi makin ramai ahli, makin banyaklah jumlah utoken yang dimiliki oleh setiap ahli.
21. Tetapi INI BERMAKNA NILAI UTOKEN (AND THEREFORE WANG) ITU DATANG DARIPADA PENAMBAHAN AHLI, bukan daripada aktiviti-aktiviti lain termasuk jualan di UBTMall (terlalu sedikit) atau pelaburan (Bangkok Marina itu belum siap jadi tidak ada income yang masuk). Ini bermakna keseluruhan konsep utoken adalah songsang – WANG DATANG DARI POKET AHLI.
22. Jadi ahli UFun sekarang mendapat wang dan menikmati keindahan – kereta, percutian dan majlis makan – kerana wang itu datang daripada ahli baru dan tambahan belian utoken oleh ahli lama. UFun memang mempunyai banyak duit untuk dibelanja – termasuk memberi derma – kerana productnya virtual – tak perlu modal dan ahli mencurahkan wang ke dalam syarikat! The growth of 192% in value (from .374 in July to 1.093 in Oct) is PRIMARILY DUE TO THE INCREASE IN THE MEMBERSHIP.
23. Sebenarnya banyak lagi poin yang boleh saya ketengahkan tetapi semua ini sudah cukup untuk membuatkan saya curiga akan operasi UFun. By the way and to be sure, I’m NOT SAYING that UFun is a scam. What I am saying is that I have serious reservations about UFun’s operations and sustainability.
24. Sebelum mana-mana pihak memberi komen, sila baca dulu post EXPOSE HELAH PENGUSAHA-PENGUSAHA SCAM bertarikh 14 Okt 2014, post IDEA BISNES PALING POWER bertarikh 15 Jan 2015 serta post-post tentang Pegasus Bullion dan Emas ETA untuk hiburan anda.
25. Tolong jangan kata saya tak boleh komen atau post apa-apa tentang UFun sebab saya tidak mempunyai utoken dan oleh itu tidak faham sistemnya. Saya juga tidak ‘melabur’ dalam Skim Pak Man Telo, Swisscash, Genneva, Pegasus Bullion atau Emas ETA tetapi semua yang saya komen tentang entiti-entiti ini betul belaka. (That’s 5 out of 5 correct, mind you.)
26. Saya juga berharap yang sesiapa yang nak buat komen to please keep it sane and mature. Making personal attacks are very childish. (Sebagai contoh, sila baca post bertarikh 8 Jan tentang komen bekas-bekas ‘pelabur’ Pegasus Bullion – they don’t look so civilized now.)
27. Conclusionnya? Saya mempunyai banyak reservations about UFun dan oleh itu tak akan dekat sebatu dengannya. Anda? Tepok dada, tanya selera. It is your money. You decide.
28. Akhir kata, sudah tentu saya boleh silap. Tapi takkan BNM juga silap? In case anda tak tahu, nama UFun ada tertera dalam blacklist BNM sejak 25/7/2014. Need I say anymore?

Selamat Datang 2015

Setelah melalui 2014 yang mencabar, apakah yang menanti pada tahun 2015?

Moga-moga selamat semuanya, insya-Allah.

Jangan Biarkan Identiti Anak-Anak Dibentuk oleh Filem Animasi

Filem, kartun atau iklan adalah antara perkara yang paling akan melekat dengan kuat dalam minda anak-anak. Buktinya, apa yang saya tonton berpuluh tahun dahulu, masih saya boleh bayangkan visualnya, wataknya dan jalan ceritanya.

Kartun dan siri TV seperti Voltron, Ultraman, Dragon Ball, Power Rangers, Mask, Transformers dan Macgyver banyak membentuk identiti generasi yang ada hari ini, malah hingga sekarang, bila melihat pisau Swiss, masih teringat kepada Mcgyver dan kehebatannya, padahal banyak yang tak logik pun.

Begitu juga filem-filem perang Vietnam dulu, tertanam imej askar US yang 'invincible' seperti dalam kartun GI Joe dan kehebatan bangsa Anglo Saxon yang sering dinaikkan dalam filem-filem Holywood seperti Indiana Jones dan banyak lagi.

Anak-anak hari ini menonton watak animasi dalam bentuk yang lebih berwarna dan berkualiti tinggi, percayalah, animasi yang ditonton oleh mereka hari ini akan sedikit sebanyak membentuk identiti dan cara fikir mereka pada masa depan.

Filem-filem seperti Frozen dan Tangled yang memaparkan hubungan antara lelaki dan perempuan (puteri) yang boleh keluar bersama-sama, mengembara bersama-sama tanpa ada sebarang rasa bersalah. Jika ditonton selalu dan ibu bapa tidak pernah menjelaskan, akan terbentuk nilai dalam diri mereka dari karakter yang ditonton.

Bimbang juga kalau keselambaan 'Anna' yang keluar dengan lelaki penjual ais berdua-duaan untuk mencari kakaknya akan mencairkan nilai malu yang telah siap sedia sebagai fitrah dalam diri mereka.
Jika tidak dapat menghalang anak dari menonton, jika tidak dapat menapis filem yang ditonton oleh anak-anak, paling tidak, jelaskan kepada anak-anak yang mana benar dan yang mana salah mengikut neraca syara'.

Jelaskan bahawa seorang Muslimah, pakaiannya mesti menutup aurat bila telah sempurna usia kanak-kanaknya, bukan seperti Anna atau Elsa yang pakaiannya ketat sendat. Jelaskan, bahawa kecantikan sebenar bukan pada wajah dan tubuh yang menggiurkan, tapi pada akhlaq dan pekerti yang mulia. Jelaskan bahawa sebelum berkahwin, seorang perempuan, haram keluar bersama lelaki-lelaki yang bukan muhrimnya, jelaskan bahawa suara wanita adalah aurat dan menyanyi dengan kuat bila telah baligh adalah tidak dibolehkan.

Jangan biarkan jatidiri Islam anak-anak kita dicairkan oleh animasi Pixar yang membawa agenda serangan pemikiran halus dan agenda Amerikanisasi yang merosakkan.

Bahaya Menonton Televisyen Secara Berlebihan Kepada Anak-Anak


Dalam zaman di mana ibu bapa semakin sibuk bekerja akibat pelbagai tuntutan ekonomi dan keluarga yang mendesak, ditambah dengan suasana di luar rumah yang semakin tidak selamat untuk kanak-kanak bermain sendiri, televisyen menjadi alat utama yang menghabiskan masa anak-anak hari ini.

Dengan teknologi televisyen yang semakin pintar dan harganya yang semakin murah, pelbagai rancangan menarik di pelbagai rangkaian yang berbayar dan juga secara percuma di YouTube, juga pelbagai aplikasi yang membolehkan ‘movies’ dimuat turun secara percuma dan skrin televisyen yang semakin canggih dengan teknologi LED, cabaran kepada ibu bapa untuk mengawal anak-anak dari menonton televisyen secara berlebihan adalah satu realiti hari ini yang tidak boleh dipandang endah.

Hari ini, boleh dikatakan hampir setiap isi rumah mempunyai televisyen dan sentiasa pula ditonton oleh segenap ahli keluarga. Menurut satu laporan yang disediakan oleh unit perancang ekonomi Malaysia pada tahun 2013, terdapat peningkatan yang amat ketara dalam bilangan langganan televisyen berbayar oleh isi rumah di Malaysia sejak tahun 2000 hingga 2012.

Statistik ini walaupun diulas secara positif oleh laporan tersebut, namun disebalik peningkatan ketara bilangan isi rumah yang melanggan rangkaian televisyen berbayar, terdapat bahaya yang hanya akan dapat dilihat kesannya berbelas tahun akan datang, secara khusus pada anak-anak yang terdedah kepada rancangan televisyen setiap hari untuk jangka waktu yang lama.

Dalam sebuah kajian (longitudinal*) yang dijalankan oleh sekumpulan para penyelidik di New Zealand yang mana jurnal hasil kajian tersebut telah diterbitkan di Journal of American Academy of Pediatrics pada bulan Mac 2013, didapati bahawa kadar masa menonton televisyen oleh kanak-kanak, mempunyai hubungan yang positif dengan personaliti anti-sosial, karakter agresif yang cenderung ganas dan sabit kesalahan jenayah yang berkaitan dengan keganasan.

SIBUK

Rindu nak menulis di blog, masih adakah yang singgah dan sudi membaca?

Dulu, saya selalu mencatatkan kisah hidup saya di sini.

Kini sejak dibebani dengan penulisan tesis PhD yang semakin tiba di penghujung, dan kesibukan dengan komitmen empat orang anak yang banyak memakan masa, kesempatan untuk menulis dan berkongsi di sini semakin kurang.

Ada masanya, bila punya masa lapang, idea dan momentum untuk menulis pula hilang entah ke mana, kadang-kadang, bila idea ada, niat terpaksa dibatalkan kerana perlu melaksanakan tugasan yang lebih utama.

Banyak perkembangan yang berlaku sejak Ogos yang lalu. Kelahiran Khalid Furqan tentunya. Humaira’ dan Khadijah yang semakin membesar. Ragam Insyirah yang penuh pahit dan manis.

Kemudian ada warna-warni perpindahan balik kami sekeluarga ke Malaysia. Dengan proses pindah yang amat menyakitkan, dengan barang-barang, proses pembersihan rumah Klemzig yang cukup perit, dengan ragam kontena yang cukup menyesakkan dan macam-macam lagi.

Seterusnya ada kisah adaptasi hidup di bumi Malaysia yang cukup menyeronokkan. Betapa kami menghargai setiap detik nafas di tanah air bertuah setelah 4 tahun berhujan batu di negara orang. Setelah beberapa ketika, saya datang pula ke sini berseorangan, kemudian pulang, dan kemudian datang semula dan akan balik minggu depan.

6 bulan terakhir proses penulisan tesis ini amat memakan keringat dan daya fikir. Proses mendapatkan sebuah ijazah bernama PhD adalah satu proses penuh jerih payah yang hanya akan difahami oleh mereka yang melaluinya.


Sampai di sini dahulu kerana saya perlu kembali menulis tesis dan membaca beberapa lagi jurnal. Insya-Allah, blog ini akan saya update juga dari semasa ke semasa. Moga Allah permudahkan urusan kita semua.


MENGAPA ANAK MUDA PERLU MENJADIKAN AL QASSAM SEBAGAI IKON

Unit ketenteraan HAMAS yang dikenali sebagai Briged Izzuddin Al Qassam adalah legenda sejarah dalam pembikinan. Kemenangan terbaru Al Qassam terhadap tentera rejim pengganas Zionis (IDF) dalam peperangan Asfim Ma’kul atau perang dedaun hancur yang berlangsung selama 51 hari baru-baru ini adalah sejarah gemilang yang menambah koleksi kepahlawanan dan kecemerlangan briged tentera yang menjadi kebanggaan penduduk Gaza dan ramai juga dari kalangan rakyat Malaysia.

Al Qassam adalah hero terbaru umat Islam yang perlu dicontohi oleh anak-anak muda di Malaysia. Lupakan artis-artis dari kalangan penyanyi dan pelakon barat yang mengajak kepada kerosakan, atlit-atlit sukan yang tidak menunjukkan contoh ketauladanan dan semangat yang baik, apatah lagi ‘super hero’ palsu ciptaan Holywood yang langsung tidak ada kebaikan padanya. Pada pemuda-pemuda Al Qassam, ada ciri-ciri kepahlawanan yang jika dicontohi, mampu menjadikan anak muda kita mempunyai personaliti yang boleh menggegar dunia. Ada lima sebab utama mengapa Al Qassam perlu menjadi ikon kebanggaan dan ikutan anak-anak muda kita.

Pertama, adalah kerana tentera Al Qassam mempunyai tahap keimanan dan tawakkal kepada Allah yang cukup tinggi. Tarbiah keimanan melalui didikan Al Quran, hadis dan amal soleh yang berkualiti, ditambah dengan kekuatan tawakkal kepada Allah yang dibina melalui aktiviti jihad bersenjata menentang rejim pengganas Zionis menjadikan mereka manusia luar biasa yang berjaya menewaskan hawa nafsu, syaitan dan musuh orang-orang yang beriman.


HAMAS BUKAN ISIS, ISIS BUKAN HAMAS

Ketika peperangan Al Asfim Ma’kul (Dedaun Hancur) sedang berlangsung, salah satu kempen perang psikologi yang dilancarkan oleh rejim pengganas Zionis yang diketuai sendiri oleh Netanyahu adalah meletakkan HAMAS sebaris dengan ISIS.

Kempen ini antara lain memfokuskan persamaan antara ‘kekejaman’ HAMAS dan ISIS yang menghukum pembelot dan lebih utama, keduanya mempunyai ideologi jihad bersenjata yang merbahaya.

Tindakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengukuhkan lagi justifikasi bahawa HAMAS dan sayap ketenteraannya yang gagah perkasa iaitu Briged Izzuddin Al Qassam adalah pengganas yang wajar diperangi dengan apa jua cara sekalipun.

Media-media pro rejim pengganas Zionis seperti biasa mengalunkan pembohongan ini dalam pelbagai laporan dan analisis, tujuannya hanya satu, iaitu untuk mewajarkan serangan rejim pengganas terhadap Gaza dan lebih penting, untuk meletakkan mereka yang bersama HAMAS dan projek pembebasan Palestin sebagai mereka yang pro kepada kumpulan pengganas.

MALAYSIA PERLU GUNAKAN KEKUATAN DIPLOMASI UNTUK BANTU GAZA

Walaupun negara masih dalam keadaan murung dengan tragedi MH17 yang amat mengejutkan, kemurungan itu sedikit terubat dengan kejayaan diplomasi Datuk Seri Najib dengan kumpulan pemisah di Donetsk yang diketuai oleh Alexander Borodai dalam mendapatkan kembali kotak hitam pesawat, akses pasukan penyiasat antarabangsa kepada kawasan pesawat terhempas dan lebih penting, mendapatkan kembali mayat-mayat mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut.

Malaysia menerima kotak hitam dari puak pemisah
Rundingan di belakang tabir ini, sebenarnya adalah satu proses yang amat sukar dan berisiko, kerana kita tidak ingin mencari masalah dengan Kiev yang di belakangnya ada Eropah dan Amerika, apatah pula dengan Russia. Berunding terus dengan Borodai adalah ibarat mengiktiraf tuntutan puak pemisah Donetsk yang sedang diperangi oleh Kiev.

Apapun, kejayaan yang dipuji oleh banyak media dan masyarakat antarabangsa ini adalah satu pencapaian besar buat Malaysia kerana ketika kuasa-kuasa besar dunia saling menuding jari, Malaysia, secara khususnya Datuk Seri Najib bekerja dengan senyap di belakang tabir untuk menyelesaikan masalah dengan efektif.

Kejayaan ini membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia, walaupun kecil di mata dunia, tetapi mempunyai jiwa yang cukup besar dan sentiasa komited dalam membina dunia yang lebih aman tanpa konflik. Tidak seperti kuasa-kuasa besar dunia yang hanya jaguh dalam berkata-kata, tapi hipokrit dalam tindakan, Malaysia membuktikan sebaliknya.

BAGAIMANA REJIM ZIONIS MEMANIPULASI MEDIA

Selain dari penguasaan senjata berat yang canggih hasil sumbangan Amerika Syarikat, cengkaman politik terhadap negara-negara kuasa besar dunia melalui lobi kumpulan-kumpulan berpengaruh seperti American Israel Public Affairs (AIPAC), dana kewangan yang besar hasil dari sumbangan korporat dan jutawan Yahudi yang kaya dari serata dunia, rejim pengganas Zionis memastikan cengkaman penindasan mereka terhadap rakyat Palestin terus kukuh dan tidak boleh dipertikaikan oleh masyarakat dunia melalui cengkaman dan manipulasi media massa besar dunia.

Karikatur peranan AIPAC di Amerika Syarikat

Jika dilihat dari krisis terbaru yang sedang berlaku di Gaza sekarang, yang mengorbankan lebih 700 nyawa, mengakibatkan puluhan ribu mangsa tercedera, dan hampir ratusan ribu kehilangan tempat tinggal setakat hari ini, media-media barat tajaan rejim pengganas Zionis seperti CNN dan BBC walaupun kelihatan seperti simpati dengan Gaza, tapi terus memainkan propaganda dan melakukan manipulasi bagi membina legitimasi masyarakat dunia terhadap serangan terbaru rejim pengganas Zionis kali ini.

Dendangan Israel berhak mempertahankan dirinya sendiri dari serangan roket HAMAS terus diulang-ulang setiap hari, begitu juga dengan kempen untuk melabelkan HAMAS sebagai kumpulan pengganas. Walaupun telah terbukti melakukan banyak jenayah perang dengan menggunakan senjata terlarang, membunuh kanak-kanak, membedil masjid, kubur, bank, sekolah, hospital dan ambulans, tetapi media-media ini terus menggambarkan rejim pengganas Zionis sebagai pihak yang berada di kedudukan mangsa dan tindakan mereka hanya lah untuk mempertahankan diri.

Walaupun menggunakan hujah-hujah yang rapuh, tapi ramai juga yang percaya dan termakan propaganda dendangan media massa yang pro rejim pengganas Zionis.

5 SEBAB MENGAPA HAMAS BERHAK MENYERANG REJIM ZIONIS

Antara alasan yang sering digunakan sejak bertahun lamanya oleh rejim pengganas Zionis sebagai legitimasi kepungan dan serangan mereka ke atas Gaza dan pencerobohan mereka di Tebing Barat  adalah ‘Israel has the right to defend itself from militants’ iaitu merujuk kepada serangan roket oleh tentera pejuang Briged Izzudin Al Qassam dan Saraya Al Quds yang dilancarkan dari Gaza.

Terkini, ‘Israel Defense Forces’ (IDF) melalui laman media sosial telah melancarkan kempen ‘What would you do’ bagi mencari sokongan masyarakat dunia terhadap serangan yang mereka sedang lakukan di Gaza.
Alasan ini juga sering diulang-ulang oleh pemimpin-pemimpin dunia bagi menyokong tindakan rejim pengganas Zionis seperti Obama, John Kerry, Francois Holande, Angela Merkel dan lain-lain, juga diulang-ulang oleh media-media yang sering menyebelahi kekejaman rejim pengganas Zionis seperti CNN, BBC dan ABC.






Malah, ada dari kalangan mereka yang simpati terhadap Gaza juga menggunakan alasan ini iaitu HAMAS wajib menghentikan serangan roket untuk mencapai jalan perdamaian dengan rejim pengganas Zionis dan juga untuk mengelakkan kepungan dan serangan.

Hakikat yang sebenar adalah HAMAS berhak sepenuhnya untuk mempertahankan diri dengan apa jua cara bahkan lebih dari berhak untuk menyerang Israel dengan roket dan apa jua persenjataan yang ada.

Sebab yang pertama adalah kerana negara haram Israel dibina di atas tanah-tanah yang dirampas secara paksa dari rakyat Palestin sejak lebih 60 tahun yang lalu. Ramai yang dihalau keluar dari rumah sendiri untuk memberi laluan kepada pendatang haram Yahudi untuk mendirikan penempatan mereka. Rejim pengganas Zionis juga secara sistematik dengan menggunakan kekuatan ketenteraan telah menjajah banyak dari kawasan-kawasan Palestin sejak 1948 dan 1967.

Jadi rejim pengganas Zionis sebenarnya adalah penjajah dan perampas tanah rakyat Palestin, dan mereka yang dijajah berhak sepenuhnya secara moral dan menurut undang-undang untuk berjuang membebaskan negara mereka dari penjajahan. HAMAS, Jihad Islam, FATAH dan mana-mana jua organisasi di Palestin berhak untuk berjuang menggunakan apa jua cara bagi membebaskan negara mereka dari cengkaman penjajah.

SELAMAT DATANG KE DUNIA, KHALID FURQAN

Banyak yang ingin dicoret, tapi hambatan masa dan keutamaan membataskan waktu untuk saya banyak menulis di sini. Hanya selepas hampir 3 minggu, barulah dapat 'update' sesuatu di sini berkenaan kelahiran anak kami yang ke empat di Adelaide.

Alhamdulillah, tepat jam 930 am, 4 Jun 2014, sekali lagi di Women's and Children Hospital, Adelaide, South Australia, anak lelaki pertama kami dan yang keempat dalam keluarga selamat dilahirkan melalui pembedahan.

Kali ini, proses agak rilek, tiada 'contraction' berat yang berlaku dan kami melangkah ke dewan pembedahan dengan tenang, sempat bergambar lagi di hadapan pintu sebelum masuk ke Women's Assesment Service. Saya juga dibenarkan untuk masuk ke dewan pembedahan untuk menyaksikan sendiri bagaimana pembedahan itu dilakukan.


Saya diminta duduk di satu sudut sementara proses pembedahan dijalankan oleh 2 orang doktor dengan bantuan pakar bius dan beberapa 'midwives'. Sementara menanti, saya hanya berzikir dengan zikir Nabi Yunus, Laa ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin.

Waktu terasa bergerak perlahan, saya menunggu dengan sabar hinggalah bunyi rahim 'dipecahkan' dan air ketuban mengalir keluar deras. Saya menjenguk dan tidak lama selepas itu, terdengar suara bayi kecil yang pertama kali bernafas di dunia.



Walaupun telah 4 kali melalui pengalaman ini, namun magisnya tetap tidak hilang, keseronokan dan keterujaan yang hadir tetap seperti anak yang pertama.

Seperti biasa, saya mengalunkan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri sebagai satu sunnah, tahnik juga dilakukan dan kemudiannya rambutnya dicukur pada hari ketujuh. Nama Khalid Furqan dipilih sempena nama sahabat Nabi yang berani iaitu Khalid Al Walid, Furqan pula adalah salah satu nama Al Quran yang juga nama satu surah di dalam Al Quran sendiri. Furqan bermaksud pemisah antara haq dan batil.

Semoga Khalid Furqan akan sentiasa menjadi hamba Allah yang bertaqwa, berani, pintar dan sentiasa dalam mujahadah seperti Khalid Al Walid dan menjadikan Al Furqan sebagai panduan tindakannya dalam menjadi pembela kepada kebenaran.



Salam Pra Ramadhan 2014

Mohd Hisham Mohd Sharif
Hasifah Zainuddin
Humaira' Mohd Hisham
Khadijah Hanan Mohd Hisham
Fatimah Insyirah Mohd Hisham
Khalid Furqan Mohd Hisham

SEPETANG BERSAMA KRISTIAN EVANGELISTA

Anak-anak adalah amanah, antara perkara yang paling asas yang perlu diajar kepada anak-anak adalah konsep asas tauhid.
“Good afternoon, how are you doing?” Sapa seorang wanita muda tinggi lampai sejurus saya membuka pintu rumah. Petang-petang Sabtu begini saya rasa saya dapat mengagak siapa yang datang bertandang.

“Good, very good,” balas saya. Di sebelah wanita muda itu ada seorang lagi wanita yang telah lanjut usianya. Khadijah datang dan berdiri di sebelah, dan kemudian berlalu pergi untuk kembali semula menonton rancangan Mr Maker yang sedang ke udara di rangkaian ABC 2.

Setelah bertegur sapa, wanita muda itu mula menjelaskan tujuan kehadirannya seperti yang telah saya jangka.
“Do you know about the truth? Are you interested to know about the truth?” Tanyanya kepada saya tanpa berkias-kias.

Saya hanya tersenyum, biasanya malas nak melayan misionari Kristian yang sering datang bertandang, tapi hari ini kebetulan tidak berapa sibuk kerana tidak lagi mengajar di IICSA, jadi apa salahnya sekali sekala.

“Yes, what truth?” Balas saya ringkas, buat-buat tidak tahu.

“The truth about what will happen after we die, and the truth about Jesus.” Terangnya sambil menghulurkan sekeping risalah dengan gambar Jesus tertera di muka hadapan. Saya mengambil risalah itu dan membelek-beleknya. Wanita muda itu melihat dan menanti respon.

“What do you think? Are you interested to know more?” Kata wanita itu.

Why Allah Created the Bad Guys?

Walaupun keluar dari rahim yang sama, tapi kedua mereka punya karakter yang jauh berbeza.
“Ayah, is Allah the god?” Tanya Khadijah satu hari dengan slang Aussie yang tak berapa nak jadi.

“Yes, Allah is the god.” Jawab saya ringkas dan terus menumpukan perhatian pada pemanduan.

“Is he powerful?” Tanya Khadijah lagi.

“Of course he is.” Saya membalas dan setiap kali jawapan diberi, soalannya terus berlanjutan.

“Did he created all things?”

“Yes Khadijah, he created everything, every single living things, trees, animals, us, everything.” Sebenarnya, telah banyak kali saya menjelaskan kepadanya tentang hakikat ketuhanan dan hakikat penciptaan, tapi Khadijah masih suka bertanya tentang Allah, ada-ada sahaja soalannya.

“Did he created the bad guys?”

“Ya, Khadijah, macam yang ayah cakap, ‘he created everyone of us, good guys and bad guys included’, semuanya dia yang ciptakan.”

“Can Allah fight the bad guys? Did he win?”

MENCIPTA KEBERKATAN USIA

Dalam sesi seminar statistik kaedah PLS SEM minggu lepas, Professor Ringle memulakan kelas dengan bercerita tentang seorang ahli akademik yang sentiasa menjadi rujukan dan inspirasinya iaitu J.L Lohmoller.

kenangan bersama Prof. Ringle di Newcastle University, New South Wales
Saya mendengar dengan penuh tekun, kalau orang sebijak dan sehebat Professor Ringle boleh kagum pada seseorang, maka pastilah orang itu adalah orang yang amat hebat tahap ilmu statistiknya.

Menurur Professor Ringle, Lohmoller adalah seorang genius muda yang luarbiasa. Walaupun usianya singkat (meninggal dunia pada usia yang masih muda) dan buku tulisannya hanya satu, tapi kualiti ilmu statistik yang ada dalam buku tersebut adalah amat tinggi tahapnya. 

Walaupun ditulis pada tahun 1989, tapi masih relevan hingga hari ini, dan lebih menarik, walaupun Professor Ringle telah membacanya buku tersebut berkali-kali, karya Lohmoller tetap menjadi rujukannya hingga hari ini dan kata beliau lagi, hingga hari ini tetap ada bahagian di dalam buku tersebut yang masih belum dapat difahaminya dengan baik kerana tahap kompleksiti dan penggunaan kaedah statistik yang maju dan luarbiasa.

Terus saya teringat pada Imam Nawawi yang juga meninggal dunia pada usia yang masih muda, tapi meninggalkan legasi pemikiran dan karya yang terus hidup hingga hari ini. Kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Nawawi adalah amat hebat dan terlalu banyak, jika dibandingkan dengan umur beliau yang singkat, jumlah tulisan yang dihasilkan oleh beliau, ternyata amat luarbiasa. Hingga hari ini, kitab-kitab beliau masih menjadi rujukan utama umat Islam di seluruh dunia.

Walaupun singkat masa hidupnya, tapi ternyata keberkatan usia dan ilmunya adalah amat menakjubkan.

Begitu juga dengan Imam Hassan Al Banna yang meninggal dunia juga pada usia yang masih muda, tapi legasi pemikiran dan kaedah amalnya telah membuatkan musuh-musuh Islam tidak senang duduk. Manusia-manusia yang lahir dari madrasah tarbiah Al Banna adalah manusia yang luarbiasa kerana walaupun disiksa dan diuji dengan pelbagai ujian hingga hari ini di Mesir, tapi mereka tetap teguh dengan keimanan dan terus berusaha untuk menegakkan panji Islam di tempatnya yang tertinggi hingga hari ini.

Bahkan, dari madrasah tarbiah Al Banna juga lahir gerakan HAMAS yang terus menjadi tunjang kebangkitan dan semangat juang rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan Al Aqsa.

Banyak lagi tokoh-tokoh silam yang singkat hidupnya, tapi sumbangannya luar biasa dan terus menjadi rujukan ramai manusia hingga hari ini.

Tidak dapat dibayangkan pahala tidak putus-putus yang diterima oleh mereka ini di dalam kubur. Pasti hidup mereka selesa di alam baqa’ berkat kerja keras mereka di dunia, Insyaallah.

Apa sebenarnya rahsia keberkatan usia mereka?

AKU INGIN BERUBAH, TAPI BAGAIMANA?

“Entahlah Abang Sham, saya ni dah lama ikut usrah, tapi tak rasa ada peningkatan pun pada diri, masih lagi tak mampu nak tinggal lagu-lagu lagha, masih suka tengok ‘movie’ lama-lama, layan bola tengah-tengah malam buta, masih lagi suka ‘outing’ dan ‘chatting’ dengan budak perempuan, kadang-kadang, saya rasa saya ni hipokrit, tapi entahlah, saya tak tahu bagaimana nak berubah.” Luah Zairul dengan wajah penuh kesal.

Saya mendengar dan cuba menganalisa, tidak ingin cepat memberi nasihat dan cadangan, cuba untuk meletakkan diri di dalam kasutnya.

“Mutabaah amal saya cuba ‘maintain’, Quran saya baca, Solat Jemaah saya cuba untuk tak miss, tapi tak tahulah, kemanisan beribadah tu saya tak dapat rasa, hipokritkah saya ni Abang Sham?” Zairul menambah.

Saya terdiam dan memandang wajahnya mencari makna. Tampak ada keikhlasan di wajahnya untuk berubah, tapi ada sesuatu yang menghalangnya dari terbang tinggi.

Selepas lama Zairul mendiamkan diri dan melihat wajahnya yang memberi isyarat untuk saya memberi respon, barulah saya memulakan kata-kata.

KASIH AYAH MEMBAWA KE NERAKA: IKTIBAR DARI PESAWAT MALANG AEROFLOT 593

Pada 23 Mac 1994, sebuah pesawat Airbus A310 syarikat Aeroflot yang dalam perjalanan dari Moscow ke Hongkong terhempas di kawasan pergunungan Russia, mengorbankan semua 73 penumpang dan anak kapal.

Kredit Foto: Airdisaster.com
Airbus A310 adalah sebuah pesawat yang canggih, dan digunakan oleh banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia. Kemalangan pesawat ini menimbulkan rasa cemas banyak pihak kerana jika berlaku kerosakan mekanikal atau terdapat kesilapan pada rekabentuk yang menjadi punca kemalangan, ia perlu ditangani segera, kerana jika tidak, banyak lagi pesawat Airbus A310 yang mungkin bakal mengalami nasib yang sama.

Namun hasil siasatan membuktikan sebaliknya, tiada kerosakan mekanikal yang berlaku, bahkan bukti-bukti yang ditemui dari kotak hitam dan kedudukan mayat di kokpit membawa kepada penemuan yang amat mengejutkan.

Terdapat dua kanak-kanak di dalam kokpit, dan data dari kotak hitam membuktikan bahawa dua kanak-kanak ini dibenarkan oleh juruterbang untuk memandu pesawat dan mengakibatkan pesawat terhempas!

Apa yang berlaku sebenarnya?

AIR MANI, SPERMA DAN ZINA: MEJELASKAN KEPADA ANAK TENTANG PROSES PENCIPTAAN MANUSIA

“Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur-angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.”


“Dalam ayat ini Allah sebut kepada semua manusia, bahawa jika ada yang tak percaya kepada hari kiamat, tak percaya bahawa selepas mati dan ditanam di dalam kubur akan dibangkitkan semula, kemudian dihimpunkan di Mahsyar untuk dihisab, melalui titian Sirat dan kemudian ke syurga atau ke neraka, maka lihatlah kepada proses bagaimana manusia dicipta.”

Pagi ini, saya bercerita kepada anak-anak tentang makna ayat-ayat awal dari surah al Hajj selepas sesi membaca Al Quran bersama-sama sebelum saya bertolak ke Universiti.

Walaupun sesi begini tidak hari-hari saya lakukan kerana fokus pendidikan Al Quran kepada Humaira’ dan Khadijah buat masa ini masih lagi berkenaan memperbetulkan tajwid, panjang pendek dan makhraj huruf, namun bercerita tentang makna sekali sekala tidak ditinggalkan agar sedikit sebanyak mereka tahu makna dan pengajaran praktikal di sebalik ayat-ayat yang dibaca.

Tidaklah saya menceritakan berkenaan dengan asbab nuzul dan huraian ahli tafsir dari kitab-kitab tafsir yang lebih sesuai untuk mereka yang lebih dewasa, terutamanya dalam membicarakan ayat-ayat mutasyabihat, tetapi cerita saya lebih kepada ayat-ayat atau kisah-kisah yang jelas maksudnya untuk diambil pengajaran.

Harapan saya, moga cerita-cerita dari Al Quran ini menjadi asas untuk mereka menjadi generasi yang bukan hanya pandai membaca dan menghafaz sahaja, tetapi melaksanakan Al Quran di dalam hidup sepenuhnya.

“Allah sebut, bahawa manusia, Allah jadikan daripada tanah, kemudian dari air mani….” Saya menyambung sebelum terhenti pada perkataan ‘air mani’.

Seperti yang saya jangka, sebelum sempat saya menyambung ayat yang seterusnya, Khadijah dan Humaira’ mengangkat tangan dan serentak bertanya.

“Air mani itu apa ayah? Macamana Allah ciptakan kita dari air mani?”

NORMALISASI DAN PERJUANGAN LGBT, AGENDA SYAITAN SEJAK ZAMAN BERZAMAN

Normalisasi adalah senjata utama syaitan dalam perjuangannya menyesatkan manusia. Strategi bertahap sedikit demi sedikit untuk menyesatkan umat Manusia agar terjerumus ke jurang api neraka dilakukan amat licik, dan kadang-kadang dihias agar dikelilingi oleh perkara-perkara yang nampak baik.

Strategi ini telah diceritakan dengan jelas oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sahih yang menceritakan bagaimana syaitan menyesatkan Umat Nabi Nuh.

“Daripada Ibn Abbas radhiyallahu ‘anha, beliau berkata bahawa berhala-berhala yang asalnya merupakan berhala kaum Nuh, kemudiannya menjadi berhala kaum Arab. Berhala yang bernama Wadd menjadi berhala Kilab di Daumah al-Jandal. Suwa’ pula menjadi berhala Huzail. Yaghuth menjadi berhala untuk Murad dan kemudiannya menjadi sembahan Bani Ghutayf di kawasan gua di Saba’. Manakala Ya’ooq ia menjadi berhala untuk Hamdan. Nasr menjadi berhala Himyar, yakni Aal Dzi al-Kula’.

Nama-nama itu adalah nama lelaki-lelaki soleh daripada kaum Nuh. Apabila mereka meninggal dunia, Syaitan memberi idea kepada kaum mereka agar membina patung yang dibawa hadir ke majlis-majlis mereka. Patung itu didudukkan bersama mereka dan setiap satunya dinamakan dengan nama-nama lelaki soleh itu. Lalu kaum tersebut melakukan idea Syaitan itu tetapi mereka tidak menyembahnya. Akan tetapi apabila generasi pembuat patung itu mati, dan pengetahuan mengenai tujuan asal patung itu dibuat telah hilang, akhirnya patung itu disembah” [Sahih al-Bukhari, hadith nombor 4920]

Syaitan tidak pernah berhenti dari menggunakan strategi ini hinggalah hari kiamat untuk menyesatkan manusia. Musuh Allah ini tidak akan datang kepada kita dan meminta kita melakukan syirik dan dosa besar secara terus, tapi dia akan mengelirukan kita secara perlahan-lahan hingga akhirnya kita terperangkap dalam belitan tipu dayanya.

Umat Islam perlu lebih cakna dan sedar dengan strategi ini agar tidak mudah tertipu dengan kesesatan agenda yang dibawa oleh syaitan.

Agenda perjuangan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) adalah antara agenda syaitan sejak zaman Nabi Lut yang diperjuangkan oleh sebahagian manusia di atas muka bumi hari ini. Kemuncak kepada perjuangan agenda ini adalah supaya aktiviti mereka diiktiraf sebagai sebagai normal dan hak-hak mereka dilindungi oleh undang-undang negara. Jalannya tidak mudah, tapi strategi normalisasi digunakan dengan sangat intensif oleh para aktivis yang memperjuangkan LGBT.