SELAMAT DATANG KE DUNIA, KHALID FURQAN

Banyak yang ingin dicoret, tapi hambatan masa dan keutamaan membataskan waktu untuk saya banyak menulis di sini. Hanya selepas hampir 3 minggu, barulah dapat 'update' sesuatu di sini berkenaan kelahiran anak kami yang ke empat di Adelaide.

Alhamdulillah, tepat jam 930 am, 4 Jun 2014, sekali lagi di Women's and Children Hospital, Adelaide, South Australia, anak lelaki pertama kami dan yang keempat dalam keluarga selamat dilahirkan melalui pembedahan.

Kali ini, proses agak rilek, tiada 'contraction' berat yang berlaku dan kami melangkah ke dewan pembedahan dengan tenang, sempat bergambar lagi di hadapan pintu sebelum masuk ke Women's Assesment Service. Saya juga dibenarkan untuk masuk ke dewan pembedahan untuk menyaksikan sendiri bagaimana pembedahan itu dilakukan.


Saya diminta duduk di satu sudut sementara proses pembedahan dijalankan oleh 2 orang doktor dengan bantuan pakar bius dan beberapa 'midwives'. Sementara menanti, saya hanya berzikir dengan zikir Nabi Yunus, Laa ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin.

Waktu terasa bergerak perlahan, saya menunggu dengan sabar hinggalah bunyi rahim 'dipecahkan' dan air ketuban mengalir keluar deras. Saya menjenguk dan tidak lama selepas itu, terdengar suara bayi kecil yang pertama kali bernafas di dunia.



Walaupun telah 4 kali melalui pengalaman ini, namun magisnya tetap tidak hilang, keseronokan dan keterujaan yang hadir tetap seperti anak yang pertama.

Seperti biasa, saya mengalunkan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri sebagai satu sunnah, tahnik juga dilakukan dan kemudiannya rambutnya dicukur pada hari ketujuh. Nama Khalid Furqan dipilih sempena nama sahabat Nabi yang berani iaitu Khalid Al Walid, Furqan pula adalah salah satu nama Al Quran yang juga nama satu surah di dalam Al Quran sendiri. Furqan bermaksud pemisah antara haq dan batil.

Semoga Khalid Furqan akan sentiasa menjadi hamba Allah yang bertaqwa, berani, pintar dan sentiasa dalam mujahadah seperti Khalid Al Walid dan menjadikan Al Furqan sebagai panduan tindakannya dalam menjadi pembela kepada kebenaran.



Salam Pra Ramadhan 2014

Mohd Hisham Mohd Sharif
Hasifah Zainuddin
Humaira' Mohd Hisham
Khadijah Hanan Mohd Hisham
Fatimah Insyirah Mohd Hisham
Khalid Furqan Mohd Hisham

1 comment:

  1. Tahniah tn. hisham dan isteri atas anugerah ini..Moga dimudahkan juga utk PhD di sana.

    ReplyDelete