Walaupun negara masih dalam keadaan murung dengan tragedi MH17 yang amat
mengejutkan, kemurungan itu sedikit terubat dengan kejayaan diplomasi Datuk
Seri Najib dengan kumpulan pemisah di Donetsk yang diketuai oleh Alexander
Borodai dalam mendapatkan kembali kotak hitam pesawat, akses pasukan penyiasat
antarabangsa kepada kawasan pesawat terhempas dan lebih penting, mendapatkan
kembali mayat-mayat mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut.
Malaysia menerima kotak hitam dari puak pemisah |
Rundingan di belakang tabir ini, sebenarnya adalah satu proses yang amat
sukar dan berisiko, kerana kita tidak ingin mencari masalah dengan Kiev yang di
belakangnya ada Eropah dan Amerika, apatah pula dengan Russia. Berunding terus
dengan Borodai adalah ibarat mengiktiraf tuntutan puak pemisah Donetsk yang
sedang diperangi oleh Kiev.
Apapun, kejayaan yang dipuji oleh banyak media dan masyarakat
antarabangsa ini adalah satu pencapaian besar buat Malaysia kerana ketika
kuasa-kuasa besar dunia saling menuding jari, Malaysia, secara khususnya Datuk
Seri Najib bekerja dengan senyap di belakang tabir untuk menyelesaikan masalah
dengan efektif.
Kejayaan ini membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia, walaupun kecil di
mata dunia, tetapi mempunyai jiwa yang cukup besar dan sentiasa komited dalam
membina dunia yang lebih aman tanpa konflik. Tidak seperti kuasa-kuasa besar
dunia yang hanya jaguh dalam berkata-kata, tapi hipokrit dalam tindakan,
Malaysia membuktikan sebaliknya.
Kekuatan dan kepercayaan banyak negara kepada Malaysia dalam menjalankan
rundingan dan mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah bukan sesuatu yang baru,
pertelagahan yang berlangsung hampir berdekad lamanya antara Barisan Pembebasan
Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Manila juga telah berjaya di selesaikan
dengan kekuatan rundingan dan kepercayaan kedua-dua belah pihak kepada
Malaysia.
Setelah halangan terbesar dalam krisis MH17 berjaya dirungkaikan, Malaysia
perlu menggunakan kekuatan diplomasi sekali lagi untuk membantu Gaza yang
sedang bergolak, secara khususnya untuk membolehkan Mesir membuka sempadan
Rafah tanpa sebarang sekatan bagi membolehkan ubat-ubatan, barang makanan dan
bahan-bahan bantuan lainnya dibawa masuk dan juga agar mereka yang tercedera
dapat dirawat di Mesir.
Malaysia, sebagai sebuah negara yang maju dan progresif, mempunyai
hubungan yang baik dengan kedua-dua buah negara. Beribu-ribu pelajar Mesir pernah
dan kini sedang belajar di Mesir, secara khusus di Universiti Al Azhar. Selain
itu, Mesir dan Malaysia juga mempunyai kerjasama dari segi ekonomi dan politik antarabangsa,
terutamanya keahlian Malaysia dalam pergerakan negara-negara berkecuali yang
turut sama dianggotai oleh Mesir.
Malaysia dan Palestin, secara khusus Gaza juga mempunyai hubungan yang
cukup istimewa. Datuk Seri Najib mencatat sejarah sebagai ketua negara pertama
yang menjejakkan kaki ke Gaza pada Januari 2013. Ketika Gaza diserang baru-baru
ini, Datuk Seri Najib berhubung melalui telefon dengan Khalid Meshaal bagi
menyatakan solidariti dan komitmen kita untuk membantu Gaza. Oleh kerana
inilah, dalam ucapannya semalam di Qatar, Khalid Meshaal menyebut bahawa
Malaysia adalah rakan istimewa bagi Gaza. Hal ini bukan sesuatu yang asing
kerana selain lawatan Datuk Seri Najib, banyak NGO-NGO Malaysia seperti Aman
Palestin, Aqsa Syarif, Yayasan Salam dan Viva Palestina yang aktif bergerak di
Gaza bagi menyalurkan bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia dan membina
kembali bandar tersebut yang teruk dimusnahkan oleh rejim pengganas Zionis.
Atas dasar rekod baik kita dalam diplomasi dan hubungan baik kita dengan
Mesir dan Palestin, terutamanya Gaza, maka amat wajar Malaysia menggunakan
kekuatan diplomasi kita untuk membantu Gaza yang sedang teruk dihentam oleh
Israel. NGO-NGO Islam perlu menyuarakan hasrat ini kepada kerajaan dengan
segera agar sesuatu dapat dilakukan, Apatah lagi, atas dasar semangat
persaudaraan Islam, keperluan Malaysia sebagai sebuah negara Islam untuk
membantu Gaza lebih-lebih lagi dituntut.
No comments:
Post a Comment