Dalam sesi seminar statistik kaedah PLS SEM minggu lepas, Professor
Ringle memulakan kelas dengan bercerita tentang seorang ahli akademik yang
sentiasa menjadi rujukan dan inspirasinya iaitu J.L Lohmoller.
Saya mendengar dengan penuh tekun, kalau orang sebijak dan sehebat
Professor Ringle boleh kagum pada seseorang, maka pastilah orang itu adalah
orang yang amat hebat tahap ilmu statistiknya.
Menurur Professor Ringle, Lohmoller adalah seorang genius muda yang
luarbiasa. Walaupun usianya singkat (meninggal dunia pada usia yang masih muda)
dan buku tulisannya hanya satu, tapi kualiti ilmu statistik yang ada dalam buku
tersebut adalah amat tinggi tahapnya.
Walaupun ditulis pada tahun 1989, tapi
masih relevan hingga hari ini, dan lebih menarik, walaupun Professor Ringle
telah membacanya buku tersebut berkali-kali, karya Lohmoller tetap menjadi
rujukannya hingga hari ini dan kata beliau lagi, hingga hari ini tetap ada
bahagian di dalam buku tersebut yang masih belum dapat difahaminya dengan baik
kerana tahap kompleksiti dan penggunaan kaedah statistik yang maju dan luarbiasa.
Terus saya teringat pada Imam Nawawi yang juga meninggal dunia pada usia
yang masih muda, tapi meninggalkan legasi pemikiran dan karya yang terus hidup
hingga hari ini. Kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Nawawi adalah amat hebat
dan terlalu banyak, jika dibandingkan dengan umur beliau yang singkat, jumlah
tulisan yang dihasilkan oleh beliau, ternyata amat luarbiasa. Hingga hari ini,
kitab-kitab beliau masih menjadi rujukan utama umat Islam di seluruh dunia.
Walaupun singkat masa hidupnya, tapi ternyata keberkatan usia dan
ilmunya adalah amat menakjubkan.
Begitu juga dengan Imam Hassan Al Banna yang meninggal dunia juga pada
usia yang masih muda, tapi legasi pemikiran dan kaedah amalnya telah membuatkan
musuh-musuh Islam tidak senang duduk. Manusia-manusia yang lahir dari madrasah
tarbiah Al Banna adalah manusia yang luarbiasa kerana walaupun disiksa dan
diuji dengan pelbagai ujian hingga hari ini di Mesir, tapi mereka tetap teguh
dengan keimanan dan terus berusaha untuk menegakkan panji Islam di tempatnya
yang tertinggi hingga hari ini.
Bahkan, dari madrasah tarbiah Al Banna juga lahir gerakan HAMAS yang
terus menjadi tunjang kebangkitan dan semangat juang rakyat Palestin dalam
perjuangan membebaskan Al Aqsa.
Banyak lagi tokoh-tokoh silam yang singkat hidupnya, tapi sumbangannya
luar biasa dan terus menjadi rujukan ramai manusia hingga hari ini.
Tidak dapat dibayangkan pahala tidak putus-putus yang diterima oleh
mereka ini di dalam kubur. Pasti hidup mereka selesa di alam baqa’ berkat kerja
keras mereka di dunia, Insyaallah.
Apa sebenarnya rahsia keberkatan usia mereka?
Membaca sejarah beberapa tokoh ini, ternyata mereka adalah dari kalangan
manusia yang mempunyai matlamat hidup yang jelas dan bekerja bersungguh-sungguh
untuk mencapai matlamat yang mereka inginkan.
Sebagai contoh, lihat kalam Imam Hassan Al Banna di bawah ini.
“Saya adalah pengembara yang
mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan.
Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati,
merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni.
Saya hanyalah ibarat seorang yang
memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru : Sembahyangku, ibadahku, hidupku
dan matiku hanya untuk ALlah swt tuhan sekalian alam, tiada yang
mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang
yang menyerah diri.”
Matlamat hidup yang jelas dan benar adalah kunci utama kepada mendapat
keberkatan usia. Ini adalah ciri pertama mereka yang usianya panjang melangkaui
beberapa zaman. Mereka tahu apa yang mereka cari dan impikan dalam kehidupan.
Matlamat mereka pastinya bukan semata-mata untuk mencari keselesaan hidup di
dunia. Mereka mencari ilmu bukan hanya untuk mencari pekerjaan, mereka bekerja
bukan hanya untuk mendapatkan wang, mereka mendapatkan wang bukan hanya untuk
keselesaan, tapi segala usaha mereka difokuskan untuk mencapai matlamat yang
mereka idam-idamkan.
Satu lagi ciri kehidupan mereka yang dikurniakan keberkatan usia adalah hidup
yang ‘simple’, iaitu tidak ada keterikatan dengan dunia yang keterlaluan. Rumah
yang hebat, kenderaan yang canggih dan segala kesenangan dunia tidak membuatkan
mereka leka dan terikat. Hidup mereka tidak difokuskan untuk membeli rumah yang
besar, kereta yang canggih dan mewah, gajet yang hebat-hebat dan melancong ke
tempat yang indah-indah. Bahkan, segala kelengkapan dunia yang mereka ada
digunakan untuk tujuan mencapai matlamat hidup mereka yang tinggi dan mulia.
Ciri ketiga yang sangat jelas pada mereka yang dikurniakan keberkatan
usia adalah mereka ini mempunyai tahap pengorbanan yang tinggi. Gambaran
kehidupan mereka adalah gambaran pengorbanan yang jitu. Bermula dari
pengorbanan masa tidur, pengorbanan keselesaan dan kerehatan, pengorbanan harta
sehinggalah kepada pengorbanan nyawa mereka sendiri.
Imam Nawawi sebagai contoh, banyak masa tidurnya dikorbankan untuk
menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu. Ada yang sanggup mengorbankan masa dan
keselesaan dengan sanggup dipenjara bertahun-tahun kerana mempertahankan
pendirian seperti Imam Ahmad Bin Hanbal, ada yang akhirnya dibunuh oleh musuh
seperti banyak dari para sahabat Rasulullah yang mulia dari kalangan generasi emas
yang terdahulu, begitu juga dengan generasi emas zaman ini seperti Imam Hassan
Al Banna, Sheikh Umar Mukhtar, Dr Abdullah Azzam, Sheikh Ahmad Yassin dan Dr.
Abd Aziz Rantissi.
Inilah antara 3 ciri mereka yang dikurniakan keberkatan usia. Andai kita
membaca sejarah silam tokoh-tokoh yang banyak sumbangannya dalam sejarah, pasti
kita akan menemui di antara mereka banyak persamaan dari segi matlamat hidup
dan corak kehidupan yang mereka lalui.
Bahkan, 3 ciri ini juga boleh didapati pada mereka yang dikenali
sepanjang sejarah dengan pelbagai warna seperti Steve Jobs, Nelson Mandela, Ghandi,
Adolf Hitler, Stalin dan tokoh-tokoh yang kecil seperti Lohmoller. Bezanya, bagi Muslim yang punya iman dan usaha, ada
kesudahan dan ganjaran yang baik dari Allah setelah kematian, tidak seperti
mereka yang tidak dikurniakan hidayah oleh Allah untuk beriman.
Namun, apa yang lebih penting, adalah apa yang kita dapat pelajari dari
kehidupan mereka ini. Bukan sekadar tahu dan kagum yang tidak mencetus apa-apa
makna.
Kita boleh mula berusaha untuk mencipta keberkatan usia kita. Bermula
dengan meletakkan matlamat hidup yang jelas, spesifik dan pastinya mulia, sedia
untuk hidup ‘simple’, tidak terlalu berkira dan terikat dengan duit dan masa
dan sanggup berkorban apa sahaja untuk merealisasikan apa yang kita
cita-citakan.
Mereka yang hidup untuk dirinya sendiri, akhirnya akan mati dan
dilupakan oleh penduduk langit dan bumi, tapi mereka yang hidup untuk ummah,
akan terus ‘hidup’ dan disayangi oleh segenap penduduk langit dan bumi.
Kita mahu kehidupan yang bagaimana?
No comments:
Post a Comment