Unit ketenteraan HAMAS yang dikenali sebagai Briged Izzuddin Al Qassam
adalah legenda sejarah dalam pembikinan. Kemenangan terbaru Al Qassam terhadap
tentera rejim pengganas Zionis (IDF) dalam peperangan Asfim Ma’kul atau perang
dedaun hancur yang berlangsung selama 51 hari baru-baru ini adalah sejarah
gemilang yang menambah koleksi kepahlawanan dan kecemerlangan briged tentera
yang menjadi kebanggaan penduduk Gaza dan ramai juga dari kalangan rakyat
Malaysia.
Al Qassam adalah hero terbaru umat Islam yang perlu dicontohi oleh
anak-anak muda di Malaysia. Lupakan artis-artis dari kalangan penyanyi dan
pelakon barat yang mengajak kepada kerosakan, atlit-atlit sukan yang tidak
menunjukkan contoh ketauladanan dan semangat yang baik, apatah lagi ‘super hero’
palsu ciptaan Holywood yang langsung tidak ada kebaikan padanya. Pada
pemuda-pemuda Al Qassam, ada ciri-ciri kepahlawanan yang jika dicontohi, mampu
menjadikan anak muda kita mempunyai personaliti yang boleh menggegar dunia. Ada
lima sebab utama mengapa Al Qassam perlu menjadi ikon kebanggaan dan ikutan
anak-anak muda kita.
Pertama, adalah kerana tentera Al Qassam mempunyai tahap keimanan dan
tawakkal kepada Allah yang cukup tinggi. Tarbiah keimanan melalui didikan Al
Quran, hadis dan amal soleh yang berkualiti, ditambah dengan kekuatan tawakkal
kepada Allah yang dibina melalui aktiviti jihad bersenjata menentang rejim
pengganas Zionis menjadikan mereka manusia luar biasa yang berjaya menewaskan
hawa nafsu, syaitan dan musuh orang-orang yang beriman.
Kedua, adalah kerana tentera Al Qassam adalah dari kalangan mereka yang
menjaga kualiti solat mereka. Telah diketahui bahawa salah satu ciri khas untuk
menjadi tentera Al Qassam adalah menjaga solat berjemaah lima waktu, terutamanya
solat Subuh di masjid. Pengesahan Imam masjid mesti diperolehi sebagai salah
satu syarat untuk menjadi rekrut. Andai pemuda-pemuda kita dapat meniru contoh
keperibadian ini dengan mengamalkan solat berjemaah di masjid sekerap yang
mungkin terutamanya pada waktu Subuh, maka pastilah suasana di Malaysia akan
berubah, masalah sosial pasti akan berkurang kerana pemuda yang menjaga
solatnya dan mencintai masjid pasti akan terpelihara dari melakukan
perkara-perkara yang mungkar.
Ketiga, adalah kerana tentera Al Qassam mempunyai daya inovasi dan kreativiti
yang tinggi. Ketinggian daya inovasi dan kreativiti mereka dapat dibuktikan
dalam peperangan yang berlaku baru-baru ini dengan kejutan kejutan baru yang
menakutkan tentera rejim pengganas Zionis. Penubuhan skuad komando amfibia yang
mampu melakukan serangan dari laut, penciptaan ‘Drone’ yang mampu terbang tanpa
dikesan di kawasan-kawasan strategik di tanah yang terjajah termasuklah di atas
bangunan kementerian pertahanan rejim pengganas, variasi serangan roket yang
mampu sampai ke Tel Aviv bahkan lebih jauh, serangan melalui terowong ke
garisan belakang musuh, penggunaan senapang penempak tepat ciptaan sendiri yang
mampu menembak sasaran sejauh 2 kilometer dan banyak lagi. Walaupun berada
dalam keadaan serba kekurangan dan dikepung dari segenap sudut, tapi ketinggian
daya inovasi dan kreativiti unit kejuruteraan Al Qassam adalah sesuatu yang
wajib dicontohi. Bayangkan jika pemuda-pemudi kita dapat mencontohi daya
inovasi dan kreativiti Al Qassam dalam penyelidikan dan pembangunan
produk-produk baru, Malaysia pasti akan mampu bangkit sebagai sebuah negara
pencipta yang mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
Keempat, adalah kerana tentera Al Qassam mempunyai daya ketahanan dan
keberanian yang luar biasa. Untuk berada di bawah tanah (di dalam terowong) pada
satu tempoh masa yang lama bukan satu perkara yang boleh dilakukan oleh orang
biasa, begitu juga untuk menyerbu di belakang garis musuh di kawasan yang
dipenuhi oleh tentera yang lengkap bersenjata canggih dan berkereta kebal,
bukan calang-calang keberanian yang diperlukan. Apatah lagi dengan fakta bahawa
tentera Al Qassam bukanlah tentera sepenuh masa, mempunyai latihan dan
kelengkapan yang canggih dan setanding dengan kelengkapan tentera rejim Zionis,
tapi mereka adalah rakyat biasa Gaza yang bekerja sebagai penjual kurma,
petugas sosial, guru, nelayan dan pelbagai lagi pekerjaan. Daya ketahanan dan
keberanian yang mereka tunjukkan bukan sahaja dalam peperangan kali ini sahaja,
tetapi sepanjang Gaza berada dalam kepungan berbelas tahun lamanya.
Kelima, adalah kerana tentera Al Qassam terdiri dari kalangan mereka
yang berakhlak mulia. Perkara ini dapat dilihat pada layanan baik mereka
terhadap orang tua, kanak-kanak dan juga bantuan dan hubungan baik mereka
terhadap penduduk Gaza. Ambil Hany Adel Abu Hashish (salah seorang tentera Al
Qassam dari kataib Maghazi yang telah syahid) sebagai contoh, beliau pada waktu
siangnya adalah seorang pemuda yang dikenali oleh orang sekelilingnya dengan
akhlak yang cukup mulia. Beliau ringan tulang dalam membantu orang lain dan
langsung tidak pernah mengeluh atas kesusahan yang dialami. Akhlaknya yang
cukup mulia sebelum beliau menemui syahid diceritakan sendiri oleh seorang petugas
sosial dari United Kingdom yang bekerja bersama-sama dengan Hany dalam aktiviti
mengagihkan bantuan kepada penduduk Gaza.
Sifat pemuda-pemuda Al Qassam yang sarat dengan ciri-ciri keimanan,
kecemerlangan dan kepahlawanan wajib dicontohi oleh anak-anak muda kita.
Walaupun mungkin bukan untuk menentang Israel di tanah air kita, tapi cukup
agar sifat-sifat ini menjadikan pemuda-pemuda kita mampu memelihara diri dan
keluarga dari gejala-gejala buruk yang berleluasa dan menjadi agen perubah yang
akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berkualiti.
No comments:
Post a Comment