Why Allah Created the Bad Guys?

Walaupun keluar dari rahim yang sama, tapi kedua mereka punya karakter yang jauh berbeza.
“Ayah, is Allah the god?” Tanya Khadijah satu hari dengan slang Aussie yang tak berapa nak jadi.

“Yes, Allah is the god.” Jawab saya ringkas dan terus menumpukan perhatian pada pemanduan.

“Is he powerful?” Tanya Khadijah lagi.

“Of course he is.” Saya membalas dan setiap kali jawapan diberi, soalannya terus berlanjutan.

“Did he created all things?”

“Yes Khadijah, he created everything, every single living things, trees, animals, us, everything.” Sebenarnya, telah banyak kali saya menjelaskan kepadanya tentang hakikat ketuhanan dan hakikat penciptaan, tapi Khadijah masih suka bertanya tentang Allah, ada-ada sahaja soalannya.

“Did he created the bad guys?”

“Ya, Khadijah, macam yang ayah cakap, ‘he created everyone of us, good guys and bad guys included’, semuanya dia yang ciptakan.”

“Can Allah fight the bad guys? Did he win?”


“Of course he can and he will always win over them, because he is the most powerful.” Kali ini kakak Humaira’ yang baru menyertai perbualan kami pula mencelah sebelum saya sempat menjawab. Saya membiarkan sahaja dan tidak menambah apa-apa.

“But why did he created the bad guys then?” Soalan seterusnya lebih menarik dan membuatkan saya berfikir seketika.

“Because he wants to test the good guys.” Saya menjawab, sedikit teragak-agak.

“This life is a test, he wants to tests to make sure that we are really worth to enter jannah.” Sambung Humaira’ dengan jawapan yang lebih meyakinkan.

“Yes, that is true kakak,” dan saya membiarkan mereka berdua berbual tentang iman dan kehidupan. Saya hanya mendengar dan sesekali mencelah.

Situasi umat Islam hari ini membuatkan ramai yang tertanya-tanya, apakah benar Islam ini agama yang benar, kalau benar, mengapa berlaku apa yang berlaku hari ini? Umat Islam ditindas di mana-mana, berlaku pembunuhan, Muslim membunuh dan menindas Muslim yang lain?

Muslim yang baik dibunuh dan dipenjarakan, kekalahan demi kekalahan, penghinaan demi penghinaan tanpa pembelaan. Apakah Allah tidak bersama dengan hamba-hambanya yang benar dan menolong mereka atas urusan agama mereka?

Untuk menjawab persoalan tersebut, pertama sekali kita perlu memahami, apakah sebenarnya hakikat kehidupan di dunia?

Perlu kita fahami pertamanya bahawa kehidupan ini sebenarnya adalah satu ujian, 70-90 tahun hayat manusia di dunia hanyalah sebentar jika dibandingkan dengan usia dunia yang lama dan kehidupan selepas kematian yang kekal abadi selama-lamanya.

Kehidupan kita yang sebentar di atas dunia ini adalah permainan dan senda gurau, tempat kita diuji untuk menentukan siapakah di antara kita yang lebih baik amalannya dan di manakah kedudukan kita di akhirat nanti.

Ujian ini pula datang dalam bentuk yang pelbagai, ada yang diuji dengan kesenangan dan kekuasaan seperti Nabi Sulaiman dan Nabi Daud, ada yang diuji dengan kesusahan dan ‘kekalahan’ dalam perjuangan seperti Nabi Nuh, Ghulam dalam kisah Ashabul Ukhdud, dan Ashabul Kahfi.

Bagi Mu’min, dunia ini adalah penjara dan kehidupan yang sebenar adalah kehidupan selepas kematian di dunia.

Dunia ini langsung tidak ada nilainya di sisi Allah, dan bagi Mu’min, dunia ini adalah tempat ujian, bukan tempat untuk menerima ganjaran kerana segala balasan hanya akan di langsaikan nanti di akhirat.

Itu hakikat pertama. Hakikat kedua yang perlu difahami adalah bagaimana sunnatullah berfungsi iaitu hakikat bahawa Islam ini bukan agama yang ajaib dan sentiasa menang sepanjang masa. Syed Qutb menyatakan di dalam Haza Deen bahawa agama ini adalah agama untuk manusia dan ia hanya akan berjaya tertegak bila mana ada sekelompok manusia yang komited bekerja untuk menegakkannya.

Agama ini bukan agama yang tertegak dengan mukjizat dan keajaiban semata-mata, tapi ia akan tegak dengan usaha manusia. Islam tidak akan tertegak hanya dengan doa orang yang beriman tanpa ada usaha yang dijalankan untuk menumbangkan kezaliman yang kesyirikan yang melata dan berkuasa.

Perlu ada usaha, perlu ada umat yang bekerja. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu berusaha dan bekerja untuk mengubah nasibnya sendiri.

Hakikat terakhir yang perlu difahami adalah semuanya di bawah kekuasaan dan aturan Allah. Walaupun usaha perlu ada tapi kemenangan dan kekalahan bukan kerana usaha manusia, tapi dengan keizinan Allah.

Tentera Talut yang sedikit berdepan dengan tentera Jalut yang besar dan mempunyai kekuatan yang hebat. Tapi kemenangan hadir hanya dengan pertolongan Allah selepas Nabi Daud berjaya membunuh Jalut.

Tentera Badar hanya ratusan, ada yang menyatakan Cuma 313, tapi berjaya menewaskan tentera Musyrikin Mekkah yang berjumlah ribuan dan datang dengan kekuatan persenjataan yang lengkap.

Banyak lagi contoh dari kisah para Nabi dan sejarah umat Islam yang boleh kita jadikan pengajaran.

Ada masanya Islam berada di atas, ada masanya Islam diratah, semuanya adalah ujian dan ibrah buat umat Islam agar terus bekerja dan berusaha hingga Allah menentukan keputusannya.

“Everything in this life is a test.” Humaira’ menyimpulkan jawapannya kepada Khadijah yang bertanya. Saya melihat cermin belakang dan melihat Khadijah merenung jauh ke luar tingkap, mungkin berfikir tentang soalan seterusnya.

Saya tersenyum sendiri, apa yang pasti, masa akan turut sama menjawab segala persoalannya nanti. Bersabar Khadijah, hidup ini masih panjang dan jauh destinasinya.



No comments:

Post a Comment