Dalam zaman di mana ibu bapa semakin sibuk bekerja akibat pelbagai
tuntutan ekonomi dan keluarga yang mendesak, ditambah dengan suasana di luar rumah
yang semakin tidak selamat untuk kanak-kanak bermain sendiri, televisyen
menjadi alat utama yang menghabiskan masa anak-anak hari ini.
Dengan teknologi televisyen yang semakin pintar dan harganya yang
semakin murah, pelbagai rancangan menarik di pelbagai rangkaian yang berbayar
dan juga secara percuma di YouTube, juga pelbagai aplikasi yang membolehkan ‘movies’
dimuat turun secara percuma dan skrin televisyen yang semakin canggih dengan
teknologi LED, cabaran kepada ibu bapa untuk mengawal anak-anak dari menonton
televisyen secara berlebihan adalah satu realiti hari ini yang tidak boleh
dipandang endah.
Hari ini, boleh dikatakan hampir setiap isi rumah mempunyai televisyen
dan sentiasa pula ditonton oleh segenap ahli keluarga. Menurut satu laporan
yang disediakan oleh unit perancang ekonomi Malaysia pada tahun 2013, terdapat
peningkatan yang amat ketara dalam bilangan langganan televisyen berbayar oleh
isi rumah di Malaysia sejak tahun 2000 hingga 2012.
Statistik ini walaupun diulas secara positif oleh laporan tersebut,
namun disebalik peningkatan ketara bilangan isi rumah yang melanggan rangkaian
televisyen berbayar, terdapat bahaya yang hanya akan dapat dilihat kesannya
berbelas tahun akan datang, secara khusus pada anak-anak yang terdedah kepada
rancangan televisyen setiap hari untuk jangka waktu yang lama.
Dalam sebuah kajian (longitudinal*) yang dijalankan oleh sekumpulan para
penyelidik di New Zealand yang mana jurnal hasil kajian tersebut telah
diterbitkan di Journal of American Academy of Pediatrics pada bulan Mac 2013,
didapati bahawa kadar masa menonton televisyen oleh kanak-kanak, mempunyai
hubungan yang positif dengan personaliti anti-sosial, karakter agresif yang
cenderung ganas dan sabit kesalahan jenayah yang berkaitan dengan keganasan.
Dengan kata lain, kajian tersebut membuktikan bahawa, lebih tinggi kadar
masa seorang kanak-kanak itu menonton televisyen, lebih tinggi kebarangkalian
untuk dia terlibat dalam kesalahan jenayah, mempunyai karakter yang agresif/ganas
dan mempunyai personaliti yang anti-sosial.
Kajian yang dijalankan terhadap 1023 orang responden di New Zealand yang
terdiri dari pelbagai bangsa ini, mengambil masa hampir 30 tahun untuk
diselesaikan. Responden dianalisa sejak usia kanak-kanak dan dikaji karakter
dan rekod jenayah mereka pada usia 26 – 30 tahun.
Terdapat 2 sebab utama yang dicadangkan oleh kumpulan penyelidik ini
tentang mengapa hubungan positif ini wujud. Pertama sekali, adalah akibat
proses ‘emotional desensitization’ ataupun proses normalisasi emosi.
Normalisasi emosi adalah satu proses untuk mengurangkan kesan emosi terhadap
rangsangan-rangsangan negatif dengan pendedahan yang berterusan terhadap
rangsangan negatif tersebut. Sebagai contoh, anak-anak kecil yang pada mulanya mempunyai
emosi negatif seperti rasa takut atau bersalah apabila melihat aksi-aksi ganas
di televisyen, akhirnya akan mengalami proses normalisasi dan tidak lagi
mempunyai perasaan tersebut setelah berulangkali menyaksikan aksi-aksi ganas di
televisyen. Aksi-aksi ganas akhirnya akan dilihat sebagai normal dan tidak lagi
dianggap salah.
Kemudian, muncul sebab kedua yang mungkin berkesinambungan dari sebab
yang pertama, iaitu anak-anak akan cenderung untuk meniru model yang selalu
dilihat oleh mereka. Menurut teori pembelajaran secara pemerhatian
(observational learning theory) yang diperkenalkan oleh Albert Bandura pada
tahun 1961, anak-anak cenderung untuk
meniru apa yang sentiasa mereka lihat sejak dari kecil. Kecenderungan ini wujud
apabila di sana wujud model yang menjadi ikutan anak-anak sejak dari kecil
seperti hero rancangan aksi atau puteri cantik yang mempunyai pelbagai kuasa
ajaib.
Dengan kata lain, anak-anak yang telah mengalami proses normalisasi
emosi, akan mengikuti aksi ganas atau lucah yang sering dilihatnya di
televisyen. Tidak kira melalui rancangan biasa atau rancangan kartun.
Proses normalisasi emosi dan kecenderungan untuk meniru oleh anak-anak
ini bukan sahaja pada aksi ganas dan lucah semata-mata, tapi pada cara berpakaian,
cara makan, cara berbual dan pelbagai lagi sifat yang ditonjolkan. Tidak hairan
jika banyak dari remaja hari ini yang terikut-ikut dengan budaya barat seperti ‘bercouple’,
berpegangan tangan, bercumbu-cumbuan, mengadakan majlis tari menari, bertutur
dan mencarut seperti yang sering dipamerkan oleh ikon-ikon rap dan metal, terikut dengan budaya ‘prank’, ‘troll’ dan
sebagainya.
Natijahnya adalah akan lahir golongan belia yang hilang identiti dan menjadikan
cara hidup tajaan barat yang rosak sebagai contoh unggul dalam pembawaan kehidupan
mereka. Natijah yang lebih buruk adalah berlaku kejadian zina yang akan membawa
kepada banyaknya bayi-bayi yang dibunuh oleh ibu sendiri.
Generasi remaja yang kita lihat telah kehilangan identiti pada hari ini
adalah, mungkin adalah natijah dari pendedahan berterusan terhadap rancangan-rancangan
televisyen berbelas tahun yang lalu ketika mereka masih kecil. Bayangkan
bagaimana generasi remaja pada masa depan jika apa yang mereka lihat pada hari
ini diikuti oleh mereka pada masa depan.
Untuk mengelakkan permasalahan ini dari terus membarah, ibu bapa perlu
mengawal jumlah masa dan rancangan yang ditonton oleh anak-anak termasuk rancangan
kartun. Kartun yang membawa mesej-mesej lucah dan ganas seperti The Simpsons
dan Oggy and the Cockroaches wajib diharamkan oleh ibu bapa dari ditonton di
rumah. Sebagai alternatif, ibu bapa perlu mencadangkan rancangan-rancangan kartun
yang baik kepada anak-anak seperti Octonauts, Arthur atau Upin Ipin untuk
tontonan anak-anak.
Jika melanggan rangkaian Astro di rumah, pastikan mekanisma kawalan
diwujudkan. Begitu juga dengan Internet. Jangan biarkan anak-anak berseorangan
bersama laptop atau iPad di dalam bilik dengan Internet yang terpasang.
Anak-anak juga perlu ditanamkan dengan kefahaman Islam dan sifat malu
sejak dari kecil. Jika anak-anak telah tertonton rancangan yang tidak elok di
rumah saudara mara sebagai contoh, pastikan mereka jelas bahawa apa yang mereka
tonton adalah salah dan tidak wajar dijadikan contoh dalam kehidupan.
The American Academy of Pediatrics mencadangkan bahawa masa anak-anak
menonton televisyen perlu dihadkan hanya kepada 2 jam sahaja sehari. Anak-anak
perlu dilatih untuk menggunakan masa dengan bermanfaat melalui
aktiviti-aktiviti seperti bermain, membaca dan bersosial dengan rakan-rakan
yang baik akhlaknya.
Paling utama, walaupun sesibuk manapun dengan kerjaya dan urusan-urusan
yang lain, ibu bapa perlu meluangkan masa bermain dan berinteraksi dengan
anak-anak. Itulah cara terbaik untuk menghilangkan kebosanan mereka di rumah.
Bawalah mereka berenang, berbasikal, mengembara, menziarahi saudara mara dan
rakan taulan, bermain Saidina, Scrabble, catur dan banyak lagi.
Jangan biarkan hanya televisyen menjadi teman mereka menghabiskan masa,
kerana kita tidak mahu anak-anak kita membesar dengan karakter-karakter buruk
yang ditiru oleh mereka dari rancangan yang ditonton sejak kecil. Setiap ibu
bapa, wajib mengambil berat pengawalan televisyen di dalam rumah masing-masing,
kerana anak-anak hari ini adalah tonggak negara pada masa depan nanti.
Rosak
generasi hari ini, rosaklah negara di masa depan nanti.
No comments:
Post a Comment