Doktrinasi ISMA : Bukan Zombi Kampung Pisang (Bahagian 1)


Kita ingin jelaskan objektif kita kepada seluruh manusia, kita mahu bentangkan pendekatan kita di hadapan seluruh manusia, kita ingin kemukakan dakwah kita kepada semua. Kita mahu kemukakan dakwah ini tanpa berselindung dan berlapik. Dakwah ini secerah cahaya mentari, seterang sinar fajar, sejelas siang hari. (Imam Hassan Al Banna)


“Peninglah Abang Sham, macamana ni?” Tanya Aiman dengan suara yang lemah sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Pening apanya?” Tanya saya, sebenarnya, saya seakan tahu akan persoalan yang ingin ditanya olehnya, cuma sekadar meminta pengesahan.

“Ni haa, Aiman baca dalam facebook macam-macam orang kata tentang ISMA, kata ISMA ni doktrinasi anak-anak buahnya dengan kefahaman yang pelik-pelik. Lepas tu ada juga kawan-kawan yang minta saya keluar dari usrah ISMA ni dan join sahaja usrah dari jema’ah lain. Pening kepala saya macam ni.”


Saya tersenyum mendengar persoalannya. Teringat beberapa tahun dulu ketika saya mula mengenali fikrah dakwah dan tarbiah ini, persoalan-persoalan begini juga sering saya timbulkan dan tanya pada naqib.

Lumrah orang muda yang sedang mencari.

“Beginilah Aiman, sepanjang Aiman ikut program-program ISMA ni, pernah tak Aiman rasa ISMA ajar benda yang pelik-pelik?” Tanya saya kepadanya kembali.

“Tak ada pula,” jawab Aiman.

“Sepanjang Aiman tengok laman web ISMA, selain dari beberapa kenyataan politik yang mungkin sedikit kontroversi dan menongkah arus, ada tak rasanya ISMA di mana-mana cawangan menganjurkan program yang pelik-pelik, sesat dan memang jelas bida'ah yang tercela.”

“Hmm, tak ada juga.” Jawabnya lagi.

“Jadi apa yang membuatkan Aiman rasa sangsi?” Tanya saya kembali.

“Hmm, bila orang berkata tu sebenarnya terkesanlah juga sebenarnya.” Kata Aiman sambil menarik nafas panjang.

“Beginilah Aiman, sebagai seorang mu’min, apa jua perkara buruk yang dihadapkan kepada seorang mu’min atau mana-mana kumpulan dari orang yang beriman, maka asas pertama kita adalah taqwa dan sangka baik.”

“Siasat dulu sebelum buat apa jua kesimpulan.”

“Apatah lagi bila melibatkan tuduhan-tuduhan berat dan label-label yang agak keterlaluan kepada orang yang memang terkenal dengan kebaikan dan amal solehnya.”

“Abang Sham pun ada membaca juga, tapi malas nak ulas atau berlebih-lebih dalam berbincang tentangnya kerana khuatir terjerumus dalam dosa kering.”

“Paling tidak pun, baginda Nabi mengajarkan kita bahawa jauhkanlah diri dari perkara yang tidak ada kena mengena dengan kita apatah lagi jika kita tidak tahu hujung pangkal sesuatu cerita.” Jelas saya dengan kata-kata yang lembut.

“Tentang doktrinasi...”

“Jika doktrinasi yang dimaksudkan adalah doktrinasi yang membuatkan kita jadi manusia yang lebih baik, tahu asas-asas aqidah dan menjauhi syirik, jadi manusia yang lebih cinta pada solat berjemaah dan membaca Al Quran, kenal para sahabat dan perjuangan mereka yang mulia, menghafaz beberapa hadis sahih dari kitab-kitab yang baik, beriltizam dengan akhlaq mulia dengan menjaga lisan dan pandangan dari maksiat dan kesalahan, beriltizam dengan zikir pada waktu pagi dan petang, menjaga kesihatan dan bersukan untuk mendapat pahala, lebih hormat dan menghargai ibu bapa serta menghafal doa-doa yang baik untuk mereka dari Al Quran, apa salahnya?”

“Jika doktrinasi yang dimaksudkan adalah untuk mengajak manusia untuk memahami dan beramal dengan ISLAM yang syumul, bekerja dan meyakini bahawa masa depan adalah untuk ISLAM, di mana salahnya?”

“Jika doktrinasi yang dimaksudkan adalah menanamkan pemahaman bahawa masa depan ummah ini ada pada tangan para pemuda dan kita harus bekerja kuat untuk memahamkan mereka tentang agama, maka di mana salahnya doktrinasi itu?”

“Sepanjang Abang Sham berada dalam tarbiah ISMA, tidak ada doktrinasi yang menjadikan Abang Sham sebagai Zombi, Zombi Kampung Pisang tanpa perasaan yang hanya mendengar dan patuh tanpa boleh ada perbincangan dan persoalan, tapi Abang Sham dilatih dan digalakkan untuk berfikir, bertanya dan sentiasa meluaskan pembacaan untuk mengemaskan pengetahuan tentang ISLAM dan isu semasa. Ini yang sentiasa ditekankan oleh para Naqib dan pimpinan.”

“Tarbiah ISMA juga mengajar untuk menghormati perbezaan pada perkara-perkara ranting, berlapang dada dan sentiasa menjaga tutur kata terhadap orang atau kumpulan lain. Baik PAS, IKRAM, ABIM, Jemaah Tabligh dan mana-mana kumpulan ISLAM yang ada dan bekerja keras untuk ISLAM, maka kita dituntut untuk meghormati dan meraikan mereka sebagai para pejuang.”

“Tidak ada masalah pada berbeza cara dan pendekatan, tapi biar kita berbeza dengan akhlaq yang baik. Berbeza pandangan dan cara kerja bukan bermakna kita bermusuhan.”

“Apa yang Abang Sham sebut, itulah doktrinasi ISMA sebenarnya, kita mendidik manusia untuk memahami tuntutan-tuntutan ISLAM dan beramal dengannya. Itulah intipati utama doktrinasi ISMA terhadap ahli-ahlinya dan juga masyarakat di luar sana.”

“Cuma mungkin pada beberapa perkara, betul, mungkin ada pendekatan yang perlu diperbaiki, tapi itu biasa, kerana mana-mana Jema’ah sekalipun, pasti akan ada salah dan ketidaksempurnaannya. Cuma, jangan hanya kerana kesalahan beberapa ahli, terus kita buat generalisasi bahawa keseluruhan Jema’ah adalah busuk. Jangan hanya kerana beberapa lontaran dan tuduhan di facebook, terus kita buat kesimpulan bahawa organisasi yang dituduh adalah buruk.”

“Aiman, ISMA ini hanyalah kenderaan, wadah yang kita pilih untuk bekerja. Bukankah amal berpasukan itu adalah lebih baik dari amal perseorangan?”

“ISLAM adalah isi yang hendak kita bawa, dan redha Allah dan syurga yang abadi adalah destinasi kita.”

"Kalau Aiman mengkaji dan mendapati bahawa apa yang dibawa oleh ISMA adalah salah dan sesat, maka tinggalkanlah dan carilah pasukan lain untuk bekerja."

“Kerana nanti di akhirat, Allah tidak akan tanya kita ini dari Jama’ah mana, adakah kita ini mendapat pengiktirafan dari manusia atau sebagainya, tapi Allah akan tanya tentang amal peribadi dan ke mana kita habiskan usia.”

“Harapnya sedikit kerja-kerja ISLAM yang kita lakukan, secubit amal soleh yang masih jauh dari kesempurnaan akan mengundang kasih sayang Allah yang akan menyelamatkan kita dari api neraka.”

Panjang saya menjelaskan. Wajah Aiman yang tadi kelihatan gundah, kembali tenang.

“Terima kasih Abang Sham, Aiman ada beberapa soalan lagi nak tanya, boleh ke?

“Boleh je Aiman...”

“Dalam banyak-banyak Jema’ah, kenapa Abang Sham pilih ISMA, tidak IKRAM, tidak ABIM, tidak PAS dan tidak Jema’ah-jemaah lain?

(bersambung ke siri 2 .... )

1 comment:

  1. Allah swt & Rasul-Nya mengajar kita utk menyiasat berita yg diterima sebelum bertindak - rujuk tafsir surah Hujurat

    ReplyDelete