Doktrinasi ISMA: Beberapa Prinsip (Bahagian 2)


“Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (At Taubah: 105)

“Wahai Ikhwan Muslimin ! Sesungghnya jalan kamu telah digariskan langkah-langkahnya dan telah diletakkan batas-batasnya. Aku tidak akan melanggar batas-batas ini yang amat aku yakini bahawa ia adalah jalan paling selamat ke arah mencapai Matlamat. Memang ia mungkin jalan yang panjang akan tetapi tiada jalan yang lain selainnya. Kelelakian seseorang itu terpancar melalui kesabaran, teguh, bersungguh dan kerja yang berterusan. Sesiapa dari kamu yang gopoh hendak segera memetik buah sebelum masaknya atau menyunting bunga sebelum mekarnya, maka aku tidak bersamanya sama sekali. Lebih baik baginya meninggalkan Dakwah ini untuk bersama dengan jemaah-jemaah yang lain. Siapa yang bersabar bersama aku sehingga benih bercambah, pohon tumbuh, buah masak meranum dan sedia dipetik maka pahala untuknya ada disisi Allah. Kita dan dia tidak akan terlepas dari mendapat dua kebaikan, samada kemenangan dan pemerintahan, atau syahid dan kebahagiaan”. (Imam Hassan Al Banna)

“Dalam banyak-banyak Jema’ah, mengapa Abang Sham pilih ISMA? Mengapa tidak IKRAM, mengapa tidak HALUAN, mengapa tidak PAS? Mengapa bukan jemaa-jemaah lain?” Lanjut soalan Aiman.



Soalannya yang kali ini membuat saya termenung panjang. Bukan kerana sukarnya hendak menjawab, tapi mengingat akan kenangan demi kenangan ketika saya mula mengenal jalan dakwah dan tarbiah 15 tahun lalu yang mengubah dan mencorakkan setiap inci kehidupan saya hingga hari ini.


Saya teringat kepada kenalan-kenalan saya di dalam ISMA, para murabbi yang telah banyak berjasa dalam memberi kefahaman dan didikan ISLAM yang tidak ternilai harganya.

Teringat kepada seorang ikhwah di hadapan rumah pertama kami di Jitra yang deruman enjin motor Yamahanya ke masjid tanpa gagal setiap pagi menjadi ‘alarm’ untuk mengejutkan saya bangkit dan bergegas solat subuh di masjid, dan saya yakin, rutin ini terus kekal dilakukannya hingga hari ini.

Teringat juga kepada seorang akh yang tanpa dipinta menghulurkan not RM 50 kepada saya tika dalam kocek dan bank saya hanya ada 50 sen.

Teringat juga kepada murabbi saya di Kuala Lumpur yang banyak berziarah, membayar bil hospital, menumpangkan dan meminjamkan kenderaan ketika ayah saya diserang pneumonia yang teruk beberapa tahun yang lalu.

"Teringat juga kepada seorang sahabat yang telah menyelamatkan saya dari terjerumus jauh ke lorong gelap gelita ketika di Universiti dan membawa saya kembali mengenal dan memaknai hidup dengan agama."

Andai hendak ditulis kebaikan-kebaikan mereka yang saya kenali di dalam ISMA, juga ikhwah dari JIM (Ikram sekarang), HALUAN dan PAS, mungkin 2 tahun pun tidak akan cukup, cukuplah saya katakan bahawa mereka-mereka yang saya kenali dalam jalan perjuangan ini adalah mereka yang jujur dan komited bekerja untuk agama.

Namun, kenangan itu tidak semuanya indah, tidak semuanya manis dan di dalamnya terkandung lipatan-lipatan sejarah yang tidak semuanya berguna untuk diceritakan kepada ‘mad’u’ yang masih baru dalam alam dalam amal dan kefahaman dakwah dan tarbiah di Malaysia.

Ada rahsia-rahsia, yang biarlah kekal sebagai rahsia, ada cerita dan kisah, yang elok dibiarkan tenggelam dalam lipatan sejarah.

Tanpa menafikan kebaikan dan gagasan cemerlang yang dibawa oleh jemaah-jemaah lain yang telah lama bertapak di Malaysia, apa yang pasti, saya memilih ISMA dengan kesedaran, bukan hanya kerana kebaikan dan akhlaq ahli-ahlinya, namun apa yang membuatkan saya tertarik adalah gagasan dakwah yang dikemukakan dan kesungguhan yang ditunjukkan untuk mencapai matlamat yang jauh.

Saya menghela nafas panjang sebelum menjawab soalan Aiman tadi.

“Sebelum Abang Sham menerangkan dengan lebih jauh dan menjawab soalan Aiman, elok rasanya Abang Sham jelaskan dulu beberapa prinsip dalam amal Jema’ah ni.”

“Pertamanya, seperti yang Abang Sham sebut tadi, Jema’ah ini hanyalah wasilah dan matlamat kita adalah ISLAM, kerja-kerja kita membina Jema’ah hendaklah kita yakini bahawa ianya tidak terpisah dari rangka untuk memperkuatkan ummah.”

“Jadi bila berjema’ah, elakkan sifat taksub iaitu meyakini bahawa Jema’ah kitalah yang paling baik, paling asolah, paling ‘ikhwan’, paling lama, paling berpengalaman dan macam-macam paling lagi.”

“Usah dinafikan sumbangan Jema’ah-jema’ah lain,apatah lagi bila ia dilakukan dengan cara yang tidak beradab dan membina permusuhan. Elakkan label melabel, apatah lagi bila melibatkan orang beriman yang kita cukup kenal akan kebaikan dan akhlaqnya.”

“Sentiasa buka minda kepada pandangan-pandangan baru, walaupun bukan dari ahli Jema’ah. Luaskan pengetahuan dan pembacaan, luaskan juga rangkaian perkenalan, sentiasa cuba untuk tidak meletakkan limitasi kepada kreativiti kita dalam amal jama’i.”

“Apa yang benar, jika bukan datang dari Jama’ah, terima dengan hati terbuka, apa yang salah, jika ia datang dari Jama’ah, akui dengan lapang dada dan cuba perbaiki di mana yang boleh.”

“Jangan taksub, itu yang pertama.”

“Kedua, tidak ada satu pun Jema’ah yang sempurna segala segi, kerana semuanya adalah Jema’ah yang dianggotai oleh manusia, dan antara Jema’ah-jema’ah yang wujud ini, kita sepakat atas perkara yang kita boleh bersama dan kita berlapang dada pada perkara yang berbeza.”

“Jika kita ingin mencari Jama’ah yang sempurna segala segi, mungkin tidak akan ketemu. Apa yang penting, letakkan diri kita sebagai penyelesaian, bukan sebagai penambah masalah.”

“Ketiga, mana-mana Jema’ah yang kita sertai, masuklah sebagai pekerja, bukan sebagai penumpang yang tidak berfungsi apa-apa. Tidak ada makna jika wujudnya kita dalam Jema’ah hanya untuk hadir usrah dan balik usrah, hadir daurah dan balik daurah, apatah lagi jika sekadar berbangga dengan ‘afiliasi’ dengan jema’ah-jemaah tertentu tanpa amal di medan yang menjadi saksi.”

“Kerana nanti, hisab kita di hadapan Allah adalah dengan amal, bukan dengan cop Jama’ah atau pengiktirafan dari mana-mana badan dakwah.”

“Itu beberapa prinsip penting. Jadi untuk menjawab persoalan Aiman tadi....”

(bersambung ke bahagian akhir....)

3 comments:

  1. MasyaAllah mantop!! :D
    ana pun dari jemaah lain..tetapi tetap sayang dgn ISMA,IKRAM,HALUAN,ETC

    ALLAHUAKHBAR

    ReplyDelete
  2. Ana tertarik untuk mengetahui sambungan terakhir entri ini. Sudah ada atau masih belum diterbitkan?

    ReplyDelete