Menghidupkan Ramadhan Bersama Anak-Anak


“Humaira’, cuba tengok iklan ni, awesome sangat!” Saya menghulurkan iPhone kepadanya bagi menunjukkan satu iklan Ramadhan berbahasa Inggeris yang sangat menarik terbitan ISLAMIC EVENTS.


“Waahhh, ‘bestnya, bestnya!” ceria wajahnya selepas melihat iklan Ramadhan tersebut. Khadijah yang sedang duduk di atas riba, kehairanan melihat telatah saya dan Humaira’.

“So, what’s your plan for this Ramadhan so that you will also going to be a winner too Humaira’?” Tanya saya kepadanya.


“Hmmm, hmmm, hmmm, errrr....what’s yours’?” Tanya Humaira’ kepada saya kembali sambil menggaru kepala.

“Aha...This Ramadhan, I’m gonna read 30 juzu’ of the Quran, and I’m going to win!” Jawab saya dengan mengajuk cara pelakon-pelakon dalam iklan tadi.

“Ok....so do you have any plan now?” Tanya saya kembali. Kepalanya yang tidak gatal kembali digaru.

Melihat kebuntuannya, saya memberikan cadangan.

“Ok, how about, decorating our house and help ibu cook for iftar?”

“Aaaa, that’s a nice one ayah....Ok, This Ramadhan, I’m gonna decorate my house and help ibu cook for iftar! And I’m gonna win!” Jawab Humaira’ dengan bersemangat dan dengan slanga Australia yang agak pekat.

“Allright, team work, let’s high five!” Balas saya disambut dengan ‘high give’ oleh Humaira’ dan juga Khadijah. Insyirah yang berada di atas katil, terkebil-kebil melihat aksi kakak-kakak dan ayahnya.

Tahun lepas, Humaira’ hanya berjaya puasa penuh beberapa hari sahaja. Tahun ini azamnya untuk berpuasa penuh selama 30 hari. Ada hadiah istimewa yang menantinya jika dia berjaya melaksanakan azamnya tersebut. Moga dia diberi kekuatan untuk berjaya.

Ramadhan adalah satu bulan yang amat istimewa dalam pendidikan anak-anak dan pembentukan rumahtangga muslim yang baik. Menghidupkan Ramadhan dalam jiwa anak-anak, tidak cukup sekadar mendidik mereka menahan lapar dan dahaga semata-mata.

Banyak perkara yang boleh dilakukan bersama anak-anak sebelum dan semasa bulan Ramadhan untuk membangunkan jiwa mereka dan melatih mereka dengan amal soleh.

Sebelum Ramadhan datang menjelang, hiasilah rumah dengan seindah-indahnya. Ajak anak-anak untuk bersama-sama membantu menggantung belon, mendekorasikan poster ataupun mengecat rumah dengan warna-warna yang ceria.

Letakkan sasaran untuk anak-anak dalam bulan Ramadhan dan tawarkan hadiah atas pencapaian-pencapaian mereka dalam bulan ini. Mendidik anak berpuasa dan beribadah sejak kecil adalah tradisi keluarga para salaf yang amat baik untuk dicontohi. Penggunaan carta ibadah dan sticker yang menarik adalah amat baik untuk membantu anak-anak menjadi lebih bersemangat dalam menyempurnakan amalan.



Ceritakan juga tentang keistimewaan bulan Ramadhan agar mereka ternanti-nanti dan tidak sabar untuk menemuinya. Antara motivasi yang baik yang boleh diceritakan adalah tentang gandaan pahala dan kemuliaan malam Lailatul Qadr. Banyak video-video menarik yang boleh ditayangkan untuk menggambarkan keistimewaan Ramadhan kepada anak-anak, antaranya adalah video dari Zaky and friends dan UPIN dan IPIN.


Bulan Ramadhan, adalah satu bulan yang baik untuk kita melatih anak-anak agar dekat dengan Al Quran. Ajak mereka untuk bertadarus bersama-sama dan jika mampu, ceritakan juga sedikit makna dari ayat-ayat yang dibaca agar anak-anak tahu bahawa Al Quran bukan sekadar untuk dibaca, tapi untuk difahami dan diamalkan.

Bulan ini juga, galakkan anak-anak, terutamanya anak lelaki untuk sentiasa ke masjid bagi menunaikan solat, terutamanya untuk solat Isya’, Terawih dan Subuh berjemaah. Cuma bagi anak-anak yang masih kecil dan belum mumayyiz, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak tidak berlari-lari, membuat bising hingga menganggu jema’ah lain yang sedang beribadah.

Ketika berbuka, anak-anak boleh dilatih untuk lebih berdisplin di meja makan dengan doa dan tertib yang diajari oleh Rasulullah. Sewaktu sahur, latih juga anak untuk bangun dan bersahur, walaupun hanya dengan seteguk air dan sesudu cornflakes.

Ramadhan juga adalah bulan di mana pahala infaq dibalas berganda-ganda. Amat baik jika setiap rumah punya satu tabung dimana setiap ahli dalam rumah boleh meletakkan sumbangan harian di dalam tabung tersebut. Hasil dari kutipan tabung tersebut nantinya boleh diinfaqkan ke mana-mana daerah muslim yang memerlukan seperti Palestin, Syria, ataupun orang-orang miskin di Malaysia.

Selain itu, amalan mengajak orang berbuka di rumah juga adalah baik untuk dilaksanakan kerana pahala menjamu orang berbuka adalah amat besar. Ajak anak-anak untuk sama-sama memasak lauk pauk yang istimewa untuk menjamu orang berbuka, dan bagus jika sesekali diizinkan untuk anak-anak mengajak kawan-kawannya berbuka bersama-sama di rumah.

Ketika sepuluh malam terakhir, ajaklah anak-anak untuk sama-sama beriktikaf di masjid.  Jika tidak mampu pada keseluruhan 10 malam terakhir, jangan ketinggalan pada beberapa malam-malam ganjil. Galakkan mereka untuk meningkatkan doa dan sama-sama berqiamullail.

Kesimpulannya, Ramadhan adalah satu bulan yang perlu dimanfaatkan oleh ibu bapa dalam membangunkan rumahtangga islami yang diidam-idamkan. Selain dari apa yang saya catatkan di atas, banyak lagi anugerah dan peluang yang Allah kurniakan untuk membangunkan jiwa anak-anak dan melatih mereka dengan amalan-amalan yang baik.

Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi Ramadhan kita yang terbaik, dan kita keluar darinya dengan menjadi manusia yang lebih baik, begitu juga dengan pasangan dan anak-anak kita. 

Insyaallah.

ALLAHUMMA BALLIGHNA RAMADHAN,

RAMADHAN KAREEM dari kami sekeluarga

Mohd Hisham Mohd Sharif
Hasifah Zainuddin
Humaira’ Mohd Hisham
Khadijah Hanan Mohd Hisham
Fatimah Insyirah Mohd Hisham

No comments:

Post a Comment