"Malam
ni Abang Sham bagi tazkirah selepas solat Isya' boleh?" Tanya Akbar,
penggerak ikhwah ISMA Sydney ketika saya memerhatikan dia dan Safwan memasak.
Kebetulan
saya transit seketika di Sydney dan menumpang tidur semalaman di rumah Akbar
dan rakan-rakannya sebelum meneruskan perjalanan ke Canberra keesokan harinya
untuk urusan passport Insyirah.
"Oh,
boleh," jawab saya spontan, tidak mahu melepaskan peluang mendapat pahala
dan mendidik adik-adik junior baru yang akan berkunjung ke rumah mereka malam
itu untuk makan-makan. Saya memang sentiasa menyediakan bank tazkirah ringkas
yang sentiasa di 'update' di dalam kepala andai diminta untuk bercakap di
mana-mana.
Selesai
solat Isya', kami bertaaruf serba ringkas dan selepas itu saya memulakan
tazkirah.
"Alhamdulillah,
syukur pada Allah, dapat kita bertemu malam ini, walaupun dalam majlis ringkas,
tapi Abang Sham rasa cukup seronok dapat berjumpa dengan adik-adik semua."
"Abang
Sham hari ini adalah kali pertama di Sydney, Alhamdulillah, walaupun kali
pertama sampai, tapi direzqikan untuk bertemu dan berkenalan dengan adik-adik
semua." Saya berhenti seketika, menarik nafas sambil membina hubungan mata
dengan mereka semua dan cuba untuk mencari perasaan berkongsi dari lubuk hati yang
paling dalam, kerana apa yang disampaikan dari hati, akan jatuh ke hati.
"Tadi,
Abang Sham berkesempatan ke Sydney Harbour, melawat Opera House dan Harbour
Bridge, cukup cantik pemandangan di sana. Hati rasa gembira sebab dapat melawat
antara ikon penting di Australia. Ramainya orang dan macam-macam ragam manusia
yang dapat dilihat di sana."
"Tapi,
selepas beberapa ketika Abang Sham duduk dan pusing-pusing di situ, hati mula
rasa jemu, kegembiraan yang mulanya meluap-luap, sebentar sahaja bertukar menjadi
perasaan biasa."
"Sambil
duduk-duduk di jeti petang tadi, Abang Sham terfikir, rasanya, benarlah
kegembiraan material di dunia ini hanyalah fatamorgana, kepuasan yang tidak
kekal, kegembiraan yang tidak hakiki."
"Teringat
masa Abang Sham mula-mula beli kereta dulu, punyalah 'excited', masa awal-awal
tu, lap hari-hari, kalau boleh, rasa macam nak tidur dalam kereta, tapi
lama-lama rasa jemu. Bila tukar kereta lain yang lebih besar sedikit, sama
juga, kegembiraan dan kepuasan itu tidak kekal, lama-lama rasa biasa je."
"Sebab
itu Abang Sham rasa, rugi kalau kita letak syarat material untuk rasa gembira
dan bahagia, sebab nanti kita akan tertipu dan kecewa."
"Kita
ingat, bila kita ada iPhone 4S, ataupun Samsung Galaxy Note yang canggih kita
akan bahagia,"
"kita
ingat, kita akan rasa tenang bila menonton movie dan cerita Korea berjam-jam,
mendengar lagu-lagu cinta dari penyanyi yang bersuara merdu."
"kita
ingat, bila kita ada kereta secanggih Toyota Camry Hybrid, Subaru Liberty model
terbaru, atau Aston Martin, kita akan bahagia,"
"kita
ingat, bila kita ada rumah besar, dan duit sejuta dalam bank, mampu melancong
ke mana-mana tempat di dunia, mampu makan apa sahaja menu di hotel terkemuka
dan berkahwin dengan isteri yang paling jelita kita akan bahagia."
"Sebenarnya
tak!"
"Berapa
banyak orang yang kaya, tapi jiwa dia menderita, tak pernah tenang dan tak
pernah mengecapi bahagia walau seketika. Tidurnya tak pernah lena walaupun
dalam mahligai indah berlapikkan tilam dan bantal yang paling empuk."
"Berapa
banyak si miskin yang hatinya tenang dan bahagia, tidurnya sentiasa lena
walaupun dalam pondok buruk berlapikkan tikar berbumbungkan atap yang
bocor."
"Jadi
apa rahsia bahagia sebenarnya? Bagaimana untuk mencari ketenangan dan
ketenteraman pada hati." Saya berhenti seketika untuk bertanya dan
kemudian membiarkan masing-masing bermonolog sendiri sebentar dan kemudian
menyambung.
"Bukanlah
Abang Sham mengatakan bahawa semua orang kaya tak bahagia dan menjadi miskin
itu menggembirakan, tapi apa yang Abang Sham nak sebut adalah, syarat gembira
dan bahagia itu bukan letaknya pada harta dan kemewahan dunia, tapi ia mesti
dicari pada pemberi bahagia itu sendiri, iaitu tuhan yang menguasai kerajaan
langit dan bumi."
"Maknanya,
untuk mencapai tenang dan bahagia yang sebenarnya, kita kena beriman dan
beramal soleh, dan sedaya upaya kita, berusaha untuk mencapai martabat sebagai
hamba yang Allah redha."
"Benda
ini, Allah dah sebut dalam Al Quran lama dulu," Saya berhenti seketika
sambil mengingat firman Allah dalam surah Ar Ra'd ayat 28 dan 29:
الَّذِينَ
آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ
تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
"(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang
tenteramlah hati manusia.
الَّذِينَ
آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ طُوبَىٰ لَهُمْ وَحُسْنُ مَآبٍ
Orang-orang
yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan
tempat kembali yang sebaik-baiknya.
"Sebab
itu, kita akan rasa tenang bila baca Quran dan tadabbur maknanya, rasa bahagia
bila solat awal waktu, rasa gembira bila dapat bersedekah dan memudahkan urusan
orang lain."
"Bukan
itu sahaja, kebahagiaan dan ketenangan itu akan hadir bila kita meletakkan
ingatan kepada Allah dan nilai akhirat sebagai paksi dalam apa jua perkara yang
kita lakukan."
"Maknanya,
kalau kita jadi kaya suatu hari nanti, jadilah orang kaya yang beriman dan
beramal soleh, kekayaan diletakkan di tangan, bukan di dalam hati. Harta yang
banyak digunakan untuk bersedekah dan membantu orang lain, seperti Saidina
Abdurrahman Bin Auf."
"Jika
kita ada iPhone 5, Galaxy Note, atau Honda CBR, letakkan nilai akhirat padanya,
gunakan semuanya sebagai alat untuk menjadi hamba yang Allah redha."
"...dan,
dalam konteks kita sebagai pelajar, gunakan kekayaan akal dan kesihatan tubuh
yang Allah kurniakan, untuk belajar bersungguh-sungguh demi menaikkan martabat
dan darjat kita sebagai orang berilmu yang akan berguna untuk ummah suatu hari
nanti."
"...dan,
semampu mungkin, jadilah orang yang bekerja untuk agama dan menyampaikan
risalahnya, bukan hidup sekadar untuk mencari kekayaan dunia semata-mata."
"Sebab
itu jugalah, Abang Sham rasa gembira sangat malam ini, sebab dapat peluang
berkongsi nasihat dan berukhuwwah dengan adik-adik semua, dan Abang Sham harap,
sedikit perkongsian malam ini akan menjadi pemberat timbangan amal buat Abang
Sham di akhirat nanti."
"Bagi
Abang Sham sendiri, kegembiraan dan kepuasan yang tinggi dapat dirasai bila
Abang Sham dapat lihat pemuda-pemuda yang bersemangat berubah demi agama,
menjadi pemuda muslim yang jauh lebih baik dari sebelumnya."
"...dan
yang paaaaaaling penting, kebahagiaan yang sebenar dan paling tinggi bagi
seorang mu'min adalah apabila dia dapat menjejakkan kakinya ke dalam syurga,
itulah kegembiraan dan kebahagiaan hakiki, tiada lagi kerunsingan, tiada lagi
dendam dan hasad, luka, duka dan derita, kita akan bahagia dan kekal di
dalamnya selama-lamanya."
"Moga
kita semua akan diperkenankan Allah untuk lagi dimasukkan ke dalam syurga
nanti, Insyaallah." Saya menyudahkan ayat terakhir tazkirah ringkas, tidak
ingin berlama-lama, biar ringkas, tapi ada sedikit bekas pada hati yang
mendengar, mudah-mudahan, Insyaallah.
Saya
melihat wajah setiap seorang dari mereka, semoga hubungan ukhuwwah ini akan
terus terjalin dan lebih indah, jika dapat bertemu kembali di syurga yang
abadi. Insyaallah.
Honda CBR! Ouch!
ReplyDeleteSubhanaAllah,mohon share tuan..
ReplyDelete