MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN TENTANG JAMA'AH (Bahagian 3 - Mengapa saya memilih ISMA?)


Soalan 3:

Mengapa pilih ISMA? Mengapa tidak jemaah- jemaah lain?

Jawapan:

Pertama sekali, tenaga kita sebagai manusia amat terbatas. Kita ada banyak komitmen-komitmen lain yang tidak kurang berat pada keluarga, pengajian dan kerjaya juga. Jadinya, adalah amat tidak relevan andai kita cuba untuk menyertai banyak jema’ah secara serentak kerana akhirnya kita akan hilang fokus.

Andai kita ingin belajar ilmu perakaunan hingga mendapat ijazah sarjana muda, bolehkah kita menyertai dua tiga universiti dengan alasan untuk menimba ilmu? Sekali kita hadir kelas di Uni Adelaide, sekali di UNISA, minggu depan pula di Flinders. Akhirnya kita akan penat dan ijazah entah ke mana.

Itu untuk dunia, samalah juga dengan amal islami. Tarbiah perlu ada komitmen, displin dan manhaj yang tersusun.

Pilih satu Jema’ah, dan beramallah dengan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar sebagai ahli pasif yang hanya pergi dan balik usrah, tetapi ahli aktif yang dapat menyumbang tenaga, masa dan buah fikiran untuk menyampaikan dakwah.

MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN TENTANG JAMA'AH (BAHAGIAN 2)


Soalan 2:

Mengapa perlu ada banyak Jema’ah? Bukankah ini tanda bahawa umat Islam tidak bersatu hati dan berpecah belah?

Jawapan:

Pertama sekali perlu diingat. Jema’ah hanya wasilah, bukan matlamat. Kita menyeru manusia kepada Islam, bukan kepada Jema’ah. Namun begitu, jema’ah ini amat penting kerana organisasi yang dijenamakan dengan baik, punya agenda, objektif, misi dan visi yang jelas, jalan kerja dan displin yang kemas adalah kenderaan yang amat baik untuk menyampaikan kita kepada matlamat. Kita hanya menunggangnya untuk menyampaikan kita kepada matlamat, iaitu Islam itu sendiri. Tidak ada isu kita mengajak kepada Jema’ah dan bukan kepada Islam, kerana keduanya adalah selari.

Tentang kepelbagaian Jema’ah. Manusia ini sifatnya berbeza-beza. Ada yang suka makan nasi dengan kari ayam. Ada yang suka makan laksa dengan sambal belacan. Ada pula yang suka makan dalca dengan sambal petai. Itu baru bab makanan. Dalam mazhab fiqh juga para Imam berselisih pandangan hingga lahirlah pecahan-pecahan mazhab yang punya kaedah perlaksanaan yang berbeza-beza.

MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN TENTANG JEMA’AH (Bahagian 1)

Soalan 1:

“Saya faham kenapa kita kena berdakwah, tapi kenapa kena ada jema’ah - jemaah untuk berdakwah ni?”

Jawapan:

Alhamdulillah, baguslah kalau dapat faham mengapa kita kena berdakwah, tidak ramai muslim hari ini yang mempunyai kefahaman begitu. Tentang mengapa kita kena ada Jema’ah untuk berdakwah, saya beri satu analogi mudah.

Katakan kita nak buat satu bangunan yang cantik. Boleh tak agak-agak kita nak buat seorang diri? Secara logiknya mestilah tak boleh kan?

Mesti ada orang yang mahir melukis pelan, mesti ada yang mahir dalam seni pertukangan, mesti ada yang mahir dalam perkiraan setiap sudut bangunan, kena ada tukang cermin, tukang mozek, tukang simen dan macam-macam lagi.

Tidak ada seorang manusia yang ada semua kemahiran dan mampu untuk melakukannya secara berseorangan. Kalaupun dia sangat pandai, pasti dia tidak akan mampu untuk membina bangunan tersebut secara berseorangan.

Begitu juga dengan dakwah. Ia adalah satu urusan besar yang memerlukan kepelbagaian kemahiran. Sebagai contoh, katalah kita buat kempen untuk ajak penduduk sebuah taman bagi menunaikan solat berjemaah di masjid.

Ibu Bapa, Anak-Anak dan ‘Smart Phone’

“Ayah, tengok lah lukisan Humaira’ ni sekejap, cantik tak?” Sapa Humaira’ pada saya tika saya baru pulang dari pejabat. Lukisan yang dilukisnya di sekolah diangkat dengan tinggi.

“Haa, cantik-cantik” Jawab saya, acuh tak acuh. Saya melihat sebentar lukisannya dan kemudian mengalihkan pandangan pada ‘iPhone’, melihat email dan ‘newsfeed Facebook’ yang masuk dengan pantas.


“Ayah tak tengok pun. Ayah ni, jangan lah asyik tengok telefon je. Tengoklah sini sekejap!” Marah Humaira’. Saya tersentak. Tersentap. Tergamam. Tergumam.

“Ok, ok, ‘sorry’, meh sini ayah tengok, ” saya meletakkan telefon, dan kemudian memberi sepenuh perhatian padanya.

Di dalam hati penuh dengan rasa bersalah.

“Ya Allah, teladan apa yang telah aku tunjukkan ini.” Bicara saya di dalam hati.

Hari Raya Korban di Adelaide

Lama tidak menulis ‘update’ tentang suasana yang berlaku di sini. Ingin juga sesekali bercerita secara santai tanpa perlu berfikir banyak tentang laras bahasa yang digunakan dan mesej yang ingin disampaikan.

Baiklah, tentunya ‘update’ kali ini adalah tentang Hari Raya Korban di Adelaide. Tahun ini kali kedua kami menyambutnya di sini, lebih menambah seri adalah kehadiran Fatimah Insyirah yang kini telah berusia 6 bulan.

Sambutan di sini agak sederhana, namun kemeriahan tetap terasa. Seperti tahun sebelumnya, tahun ini kami memilih untuk menunaikan solat sunat hari raya di Bonython Park. Tahun ini yang menjadi imam adalah Imam Yusuf, Imam Masjid Wandana yang berketurunan Uighur.

Khutbah agak pendek kerana ingin meraikan orang yang terpaksa bekerja dan mempunyai pelbagai urusan kerana hari Jumaat adalah hari bekerja di sini.  Isinya adalah tentang cinta, ujian dan pengorbanan yang dilalui oleh Nabi Ibrahim sepanjang sejarah hidupnya. Nanti saya kongsikan isinya dalam entry lain kalau berkesempatan.

Alhamdulillah, cuaca cukup cantik, tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Kehadiran juga agak baik walaupun masjid-masjid lain di sekitar Adelaide seperti Masjid Khalil dan Masjid City juga menganjurkan Solat Sunat Aidil Adha.

Suasana cukup meriah dengan anak-anak yang turut dibawa hadir tanpa ada sebarang kebimbangan akan mengganggu ketenteraman Jemaah yang sedang solat. Oleh kerana padang yang luas terbentang, kanak-kanak bebas berlari dan bermain sepuas-puasnya. Harap-harap nanti sunnah yang baik seperti ini dapat diamalkan juga di Malaysia satu hari nanti.


Solat di padang adalah satu sunnah yang masih belum dapat dirasai di Malaysia. Cukup menarik bila dapat berkumpul dan melihat orang-orang Islam berbilang bangsa sujud dan bertakbir berbumbungkan langit dan berlapikkan rumput hijau.

Ada juga ‘jumping castle’ yang membuatkan anak-anak tidak senang duduk. Tahniah kepada IICSA (Islamic Information Centre of South Australia) yang menganjurkan program ini dengan amat baik sekali.

Selesai solat, kami akan bersalam-salaman, berpeluk-pelukan diikuti sesi bergambar bersama pelajar-pelajar Malaysia yang hadir. Cuma tahun ini, Nampak tidak berapa ramai pelajar Malaysia yang ada, mungkin ada yang bertembung dengan kelas dan tugasan yang perlu dihantar segera.

Jamuan ringan disediakan oleh pihak penganjur, tapi, kalau namanya orang Melayu, pasti tidak akan lepas dengan rendang, ketupat dan pelbagai jenis juadah ketika hari raya yang disediakan oleh beberapa keluarga, termasuklah isteri saya yang bersengkang mata memasak seperiuk besar rendang ayam pada malam sebelumnya.

Kami tidak ke mana-mana hari ini, asalnya saya bercadang untuk ke pejabat, namun melihat rumah seperti tongkang pecah, terpaksa juga meluangkan sedikit masa untuk operasi selepas Solat Jumaat. Selepas Asar, barulah kami keluar beraya ke rumah Shibi dan Surah yang berhampiran dengan rumah kami.

Malamnya saya melayani anak-anak. Lama tidak menonton ‘movie’ bersama kerana kesibukan saya dengan pengajian. Kali ini kami menonton filem ‘How to Train Your Dragon’. Satu kisah dengan jalan cerita yang cukup menarik. Nantikan entry seterusnya (kalau rajinlah, hehe).

Ibadah korban akan dilakukan esok di pusat penyembelihan di Lobethal. Saya dan beberapa orang rakan sama-sama berpakat untuk menumbangkan seekor lembu.  Cara sembelihan di sini agak unik, tidak seperti di Malaysia. Lepas sembelih esok, nanti saya kongsikan gambar dan sedikit cerita tentang penyembelihan di sini.

Baiklah, setakat itu dulu update, janggal juga rasanya menulis di blog seperti ini, kerana telah amat lama tidak melakukannya. Asalnya saya ingin menulis tentang perkara lain, namun menunggu ilham yang tidak kunjung datang, akhirnya saya memilih untuk menulis sahaja apa yang terlintas di fikiran.

Moga bertemu lagi di lain masa.

Eid Mubarak buat semua pembaca blog ini!