Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Selamat Datang Khadijah Hanan
Gambar Khadijah Hanan diambil ketika wayar diseluruh tubuhnya telah dicabut
Minggu ini adalah minggu yang sungguh menggembirakan, setelah sekian lama menunggu, akhirnya Puteri kedua kami yang diberi nama Khadijah Hanan telah selamat dilahirkan pada 27 Julai lalu. Syukur pada Allah yang telah mempermudahkan segala urusan semoga keberkatan dalam kehidupan menjadi milik anak-anak kami sehingga akhir hayat mereka.
Segalanya bermula 9 bulan yang lalu, seakan-akan baru sahaja kami dalam keadaan terpegun melihat keputusan ujian kehamilan yang menunjukkan keputusan positif. Setelah sekian lama menunggu, keajaiban itu akhirnya tiba, anugerah kelahiran yang bersulam dengan tanda-tanda kebesaran.
Jam 3 pagi hari Ahad 26 Julai, isteri ku mengejutkanku dengan keadaan wajahnya menahan kesakitan yang amat sangat, tanpa membuang masa aku terus sahaja bergegas membawanya ke hospital, namun contraction yang berlaku masih belum cukup untuk membuka laluan kelahiran secukupnya, kami diminta untuk pulang dan datang semula pada jam 11 pagi. Pemeriksaan kedua juga menunjukkan bukaan masih dalam kadar yang sangat minimum, lalu sekali lagi kami pulang hampa.
Isnin 27 Julai, sekali lagi aku dikejutkan pada jam 3 pagi, namun kali ini contraction yang belaku lebih kerap dan lebih kuat, terus sahaja kami ke hospital. Ketika isteriku dimasukkan di wad PAC untuk pemerhatian, aku ke bilik menunggu, tidak lama selepas itu pegawai keselamatan memanggil
“Waris kepada Hasifah Bt Zainuddin, sila sediakan baju baby”
Aku tersentak, lalu terus ke kaunter, disana aku dimaklumkan bahawa air ketuban telah dipecahkan dan bukaan telah mencapai 4 cm. Sangkaku mungkin tidak berapa lama lagi isteriku akan bersalin. Dalam keheningan subuh, aku bergegas ke surau di taman pulai jaya berhampiran hospital untuk menunaikan solat subuh.
Pulang dari solat subuh, aku kembali ke ruang menunggu, 3 jam menanti, jam 9 pagi aku dipanggil ke bilik bersalin mesra suami oleh jururawat bertugas. Melihat keadaan isteri yang mengalami kesakitan yang amat sangat, aku hanya mampu untuk berzikir dan berdoa disebelahnya, moga berguguranlah segala dosanya.
Melihat kesakitan yang dialami, aku teringatkan pasangan-pasangan yang bercinta haram diluar sana, jika mereka tahu akan kesakitan yang bakal ditanggung pasti tidak akan sanggup untuk mereka menyerahkan tubuh kepada lelaki-lelaki jembalang yang tidak kenal makna tanggungjawab.
Setiap saat berlalu dalam keadaan kesakitan, akhirnya pemeriksaan terakhir pada jam 1 tengahari menunjukkan bukaan masih belum cukup untuk kelahiran secara normal.
Keputusan dibuat pantas, degupan jantung si kecil makin lemah, kepalanya telah bengkak kerana dicubainya untuk menerobos ke laluan sempit buat menjengah alam baru yang bakal ditempuh. Kami terpaksa akur dengan kelahiran secara caesarean buat kali kedua.
Implikasinya, isteriku tidak boleh hamil dalam tempoh waktu terdekat dan jumlah anak juga harus dihadkan setakat 3 atau 4 sahaja, namun itu ketentuan yang harus kami terima. Setiap apa yang berlaku itu ada hikmah yang tersembunyi. Dalam satu hadis riwayat muslim, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda
”Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman saja. Sekiranya dia medapat karunia dia akan bersyukur, maka jadilah karunia itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya.”
Jam 1.15 tengahari, isteriku disorong ke dewan pembedahan. Dr. Murizah, pakar sakit puan yang juga sahabat baik isteriku akan bertanggungjawab untuk melaksanakan pembedahan. Aku dimaklumkan oleh Dr. Murizah bahawa pembedahan hanya akan mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja.
Selepas solat zuhur aku menunggu di luar dewan pembedahan, masa berlalu dan jam menunjukkan pukul 3 petang, kelibat isteriku dan Dr. Murizah masih belum kelihatan, hatiku berdebar-debar.
Jam 3.30 petang, aku dipanggil ke kaunter, kelihatan Dr. Murizah dengan wajah yang agak sugul dan masih berpakaian pembedahan, jantungku berdegup makin kencang.
“Sham, Kak Muri terpaksa bagi bius seluruh badan pada Syifa sebab dia masih lagi rasa sakit walaupun dah bagi bius spinal, satu lagi, baby terpaksa dimasukkan ke NICU (Neonatal Intensive Care Unit) sebab dia mengalami masalah pernafasan, masa Kak Muri keluarkan baby, dia tertidur kesan bius tadi, jadi dia tak menangis macam biasa”
Aku mendengar dengan penuh perhatian dan penuh debaran
“Kak Muri rasa bagai nak luruh jantung tadi, jadi kami terpaksa bagi bantuan pernafasan melalui tiub, dan Kak Muri pi jenguk di NICU tadi nampak dia dah ok sikit”
Aku tergamam seketika, selesai Dr. Murizah memberi keterangan, aku turun ke café hospital mencari segelas teh tarik buat meredakan perasaan gundah.
Jam 5.30 petang baru aku dibenarkan masuk ke NICU, melihat keadaan anakku yang berselirat wayar di seluruh tubuhnya, aku jadi hiba, namun aku gagahi juga untuk azan dan qamat di telinga kanan dan kirinya. Khadijah seolah-olah kenal suaraku, kalimah azan menyebabkan dia cuba untuk bergerak, dia cuba menangis namun suaranya tidak kedengaran kerana tersekat dengan saluran tiub penafasan.
Setelah itu aku bergegas pula ke wad kenanga, tempat isteriku ditempatkan, kelihatan dia masih mamai kesan bius yang cukup kuat, namun dengan suara serak dan tersekat sekat isteriku bertanya
“Bang, mana baby?”
Aku menerangkan keadaan sebenar padanya dan meminta agar dia bersabar. Aku mungkin tidak akan memahami naluri keibuannya namun dalam keadaan sebegini, hanya Allah sahaja tempat kami bergantung dan memohon pertolongan.
Malam itu aku pulang dengan perasaan yang bercampur baur, ditambah tangisan kemarahan Humaira kerana tidak dibenarkan melawat (kanak-kanak bawah 12 tahun dibenar masuk ke wad). Aiskrim dan ayam goreng KFC terpaksa dibeli bagi meredakan perasaannya, hendak ke RFC, aku sudah tidak larat lagi.
Kelahiran adalah proses pertarungan hidup mati 2 insan, ia penuh dengan tanda-tanda kebesaran bagi akal yang berfikir dan hati yang celik. Hari ini, imanku segar kembali dengan pergantungan kepada Allah, dalam keadaan getir begini, hanya Allah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulillah...
ReplyDeleteTahniah En.Hisham....
Bertambah lg anak dare en hisham...
bertambah kemas rumah bile anak dare ramai...hehhehe
P/s: Kalo dekat leh tgk....
Kim Salam kat kak syifa ek...
Assalammualaikum...
Mabruk alaikuma hisyam n syifa...Moga puteri2 kalian menjadi srikandi solehah, amin!
ReplyDeleteTahniah buat En Hisham sekeluarga. Bertambah lagi puteri penyeri keluarga en. Semoga mereka menjadi anak yg solehah.
ReplyDeletealhamdulillah.
ReplyDeletebertambah lagi seorg muslimat yg bakal menjadi serikandi agama.
amin. tahniah.