Jiwa Yang Beriman Itu Peka

Membaca kisah tentang Natrah, Dr. Marwa dan tragedi-tragedi lain yang menimpa umat Islam, apakah perasaan anda?

Adakah anda merasakan bahawa itu bukan urusan anda dan keluarga kerana tidak ada mengena? Apakah anda merasa sedih dan seminggu kemudian lupa dengan apa jua perkara yang berlaku, atau anda membaca berita ini dengan sebelah mata lalu meneruskan sahaja kehidupan tanpa apa-apa yang berlaku.

Jika itu adalah reaksi anda, maka anda perlu memeriksa kembali kualiti iman dan melakukan istighfar sebanyak-banyaknya. Mengapa saya menyatakan sedemikian? Lihat mafhum dari hadis ini:

“Siapa yang tidak ambil berat akan urusan umat islam, maka dia bukanlah dari golongan kami”

Hadis tersebut memberikan ancaman kepada setiap individu muslim supaya sentiasa sensitif dengan perkembangan yang menimpa umat Islam. Kepekaan ini bukanlah kepekaan yang bisu, namun kepekaan ini adalah kepekaan yang menuntut kepada tindakan.

Apakah tindakan yang harus dilakukan? Adakah dengan memboikot barangan Israel?, berpindah dan tinggal di Makkah dan Madinah hingga Dajjal muncul, mengangkat senjata dan memerangi setiap musuh yang memerangi Islam?, atau biarkan sahaja kerosakan yang berlaku?

Walau bagaimana dahsyatnya kerosakan, seorang muslim tidak boleh meninggalkan tugas hakikinya untuk menyelamatkan manusia. Usaha-usaha untuk memperbaiki urusan umat ini harus diteruskan hingga Allah memberikan keputusannya.

Bermula dari usaha memperbaiki diri, mengislahkan keluarga kemudian masyarakat sehingga terbentuknya negara dan sehingga Islam menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Keputusan akhir hanyalah milik Allah, kita hanya dituntut untuk berusaha, dakwah nabi terdahulu juga ada yang tidak berjaya, seumpama kisah Nabi Nuh, Lut, Musa, Isa dan ramai lagi dari para rasul.

Apa yang penting setiap muslim harus kembali menjadi muslim yang sebenar dan memahami tugas dan tanggungjawabnya yang sebenar diatas muka bumi.

Seorang muslim itu hanya akan menjadi muslim yang sebenar apabila memahami apa ertinya menjadi muslim di sudut aqidah, ibadah dan dakwah bahkan menjadi muslim dalam seluruh kehidupan mereka.

1 comment:

  1. Salam, Jaza kallah Khair atas tazkirah akhi yang padat. Cuma sedikit komen, hadis " siapa yang idak mengambil berat tentang urusan ....." itu ada di sebut oleh alhakim tetapi dimaudhu'kan oleh albani dan ulamak lain. Rasanya lebih baik gunakan hadis lain...(walaupun maksudnya mungkin hampir dengan apa yang ditegaskan islam...).

    ReplyDelete