Pagi tadi, sewaktu aku sedang berjalan menuju ke pejabat, aku terpandang segugus kunci yang tertinggal pada motorsikal, milik pelajar yang tergesa-gesa nak ke kelas mungkin. Langkahku terhenti seketika, ditinggalkan, terasa bersalah pula, lalu aku membuat keputusan untuk mengambilnya dan meninggalkan kunci tersebut di pejabat am bangunan perakaunan. Aku tinggalkan satu notis kepada pemiliknya supaya menuntut kembali kuncinya di pejabat am. Moga kesilapan tersebut tidak akan diulanginya kembali.
Aku teringat minggu lepas sewaktu pulang dari kerja, dari jauh aku melihat seorang penunggang motorsikal jatuh ditengah jalan, namun apa yang menyedihkan, tiada seorang pun yang prihatin dan hanya lalu sambil memandang sahaja.
Ketika aku tiba di tempat kejadian, pemuda arab yang kelihatan kebingungan tadi masih lagi tergamam, aku dengan perlahan-lahan mengangkat dan menyorong motornya ketepi sambil bertanya keadaannya. Mujur luka yang dialami hanya luka-luka kecil sahaja, tetapi kerisauannya adalah pada keadaan motorsikal teman yang dipinjam.Selepas berpesan kepadanya untuk ke klinik berdekatan bagi merawat luka, aku bergegas pulang.
Aku juga tidak ketinggalan menjadi mangsa ketidakprihatinan masyarakat masa kini. Jumaat lalu, ketika pulang dari bermain badminton dengan menaiki basikal, entah bagaimana rantai basikalku tersangkut ditayar. Puas aku cuba untuk mengeluarkannya namun usahaku gagal, akibatnya aku terpaksa mengusung basikal tersebut kerana tayarnya tidak mampu bergerak.
Dalam keadaan panas dan kepenatan, aku mengharapkan agar ada orang yang prihatin untuk menumpangkan aku ke rumah, namun malang, tiada siapa pun lalu lalang di tepi ku yang nampaknya peduli dengan kesulitan yang sedang aku hadapi. Hampir 30 minit aku berjalan dengan mengusung basikal, akhirnya seorang pemuda bermotosikal yang baru pulang memancing menunjukkan keprihatinannya dan menumpangkan aku pulang.
Keprihatinan, walaupun atas perkara-perkara yang kecil dan remeh akan menyelamatkan. Namun apa yang menyedihkan, di zaman yang segalanya serba pantas ini, keprihatinan makin dilupakan, apa yang didahulukan adalah sentiasa pada keperluan dan kehendak diri sendiri. Jika keprihatinan itu dilihat akan mengorbankan kepentingan diri, ia pasti akan dilupakan.
Mana-mana organisasi atau masyarakat yang tiada pada ahli-ahlinya sifat prihatin, maka sudah pastilah kehancuran akan menanti. Jika semua hanya bersikap aku tidak peduli, asalkan selamat diri sendiri, maka tidak seberapa lama selepas itu organisasi itu pasti akan runtuh. Ibarat dalam sebuah pasukan bolasepak, jika semua pemain hendak mencari kemasyhuran diri, walau sehebat mana pemain-pemain dalam pasukan tersebut, ia pasti tidak pergi jauh. Lihat sahaja apa yang terjadi dalam pasukan Real Madrid era galacticos (Zidane, Figo, Carlos, Raul). Tiada satu kejuaraan besar pun yang berjaya dimenangi.
Apa yang lebih malang adalah apabila keprihatinan dilihat sebagai suatu permusuhan dan kesalahan. Binasanya Bani Israel adalah apabila kurangnya sifat prihatin dikalangan ulama’ – ulama’ mereka untuk menegur kemungkaran di dalam masyarakat. Umat Islam juga kehilangan khilafah apabila umat ini telah kehilangan sifat prihatin kepada agama dan tuntutannya.
Pada keprihatinan itu ada punca-punca kebaikan yang menyelamatkan, jika hari ini kita menjadi orang yang prihatin pada manusia lain, di hari akhirat Allah pasti akan membalas keprihatinan itu dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.
No comments:
Post a Comment