Dari Michael Jackson ke Fathi Yakan: Antara Semalam dan Hari Ini



Bulan Jun baru sahaja meninggalkan kita, terasa begitu pantas masa berlalu, pelbagai sejarah tercatat di bulan yang pasti tidak akan dapat dilupakan ini. Antaranya adalah pemergian 2 tokoh yang telah memberi impak kepada dunia iaitu Fathi Yakan dan siapa lagi kalau bukan Michael Jackson.

2 tokoh ini telah mencorakkan hidupku dengan 2 perisa yang berbeza, bahkan aku yakin, ramai lagi yang telah mendapat impak dari 2 tokoh ini.

Zaman persekolahanku adalah zaman di mana MJ menjadi kegilaan ramai, lagu-lagu hitnya berkumandang di radio, video klip nyanyiannya menjadi hiasan peti televisyen dimana-mana. Masih basah kenangan ketika aku membasahkan lantai bilik air dengan air sabun setiap kali mandi hanya semata-mata untuk melakukan tarian moonwalk yang cukup gah itu.

Michael Jackson adalah figura yang benar-benar memberi impak dalam kehidupanku, begitu juga kumpulan rock seperti Metallica, Scorpion, Roxette, Michael Learns To Rock, New Kids On The Block, Richard Marx, Bryan Adams dan entah apa-apa lagi yang sering menjadi halwa telinga.

Nasyid ku pada ketika itu adalah Nothing Else Matter, Wind of Change, Joyride dan Everything I Do, I Do It For You. Ketika itu menjadi muslim, cukup hanya sekadar solat 5 waktu dan menjalankan ritual-ritual ibadah yang lainnya.

Bulan Ramadhan ditunggu-tunggu kerana kesempatan untuk berperang pistol air setiap malam selepas terawih di Taman Permata bersama rakan-rakan sepermainan.

Bulan Syawal pula masa untuk mengumpulkan wang sebanyak-banyaknya, dan duit itulah yang aku gunakan untuk membeli kaset-kaset terbaru MJ, Scorpion, MLTR dan macam-macam lagi.

Zaman persekolahanku, tidak banyak kenangan indah yang mampu menjadi ayat-ayat tarbiyyah. Hanya kekesalan pembaziran waktu muda yang terus aku ratapi hingga kini.

Zaman matrikulasi adalah noktah bidayah, zaman yang benar-benar mengubah dimensi kehidupan dan pemahamanku tentang Islam, aku mula berjinak-jinak dengan usrah, berkenalan dengan ma’thurat dan membacanya beramai-ramai selepas asar di surau bersama Syazwan dan teman-teman, menghafaz surah sajadah dan al mulk bersama Irman dan Sufian, membaca surah al waqiah dan rahman setiap pagi jumaat, makan dalam talam bersama Ayin dan Dolah, berjalan kaki ke masjid yang jauh untuk bersolat terawih bersama Khalil, ahh alangkah indahnya kenangan itu.

Ketika di matrikulasi juga, Allah telah melimpahkan rahmatnya apabila dipertemukan aku dengan seorang murabbi yang telah mendidik aku dengan ayat-ayat tarbiyyah, Akh Shakirin Shaari dan sahabat-sahabat ijazah dari kolej Eon yang sering menziarahiku, membawa ku berkelana, memberi aku faham tentang tanggungjawab seorang muslim dan kecintaan kepada dakwah telah mengubah pandanganku terhadap kehidupan dan makna menjadi seorang muslim.



Ketika itulah aku berkenalan dengan Ustaz Fathi Yakan melalui bukunya yang telah diterjemahkan oleh ayah kepada sahabat baikku Hazim (Ustaz Alias). Apa Erti Saya Menganut Islam yang kami diskusikan minggu demi minggu bersama sahabat-sahabat telah banyak mengubah kefahamanku, bahawa menjadi muslim itu adalah suatu kebanggaan, kehidupan dengan tujuan dan pengakhiran yang ada pertanggungjawaban.

Semalam itu telah berlalu, kefahaman semalam ada manifestasi amal padanya yang perlu aku realisasikan dalam kehidupan hari ini. Perginya 2 tokoh ini telah mengimbau kembali memori kehidupanku, memori gelap dan cerah dari kehidupan singkat yang akan ditanya setiap detik masa yang dilalui pada hari dimana tiada perlindungan selain perlindungan dari Allah.

Al Fatihah buat Ustaz Fathi Yakan dan Mikael @ MJ.

No comments:

Post a Comment