Kisah Natrah : Kesedihan yang Masih Merah



10 Julai lepas, Natrah atau Bertha Hertogh menghembuskan nafasnya yang terakhir, hampir 60 tahun kisah ini telah berlalu, namun kesedihan dan ratapan akan terus berpanjangan. Duka Natrah adalah luka ummah, tangisannya ibarat air mawar yang disiramkan ke pusara khilafah.

Zaman demi zaman berlalu, tiada lagi yang bertanya, tiada lagi yang peduli, generasi kini mungkin telah melupakan kisahnya, namun luka itu masih merah, meninggalkan parut berpanjangan dalam jasad ummah.

Kisah Natrah bukan sekadar kisah cinta biasa, bukan hanya kisah rindu dan penganiayaan, tapi ia adalah kisah perjuangan dan kisah nasib ummah yang telah dikalahkan.

Segalanya bermula di bumi Nusantara, ketika Jeneral Adrianus Petrus Hertogh bersama keluarga dan tenteranya tiba di Jawa untuk meneruskan agenda penjajahan Belanda disitu. Ketika imperialism Jepun, Belanda kepanasan, Adrianus dipenjarakan, Natrah diserahkan kepada keluarga Che Aminah pada usia 3 tahun untuk diselamatkan.

Masa berlalu, Natrah membesar dalam sebuah keluarga yang penuh kasih sayang. Cintanya mekar hingga ke hujung hayatnya terhadap keluarganya di Kemaman. Ketika usianya 12 tahun, Adrianus dibebaskan dan keluarganya dicari semula. Akhirnya dia berjumpa dengan Natrah semula. Kes ini dibawa ke mahkamah inggeris di Singapura. Ketika itu, Natrah diambang perkahwinan dengan Mansor Adabi.

Natrah yang telah menjadi muslim ketika itu dan juga telah berkahwin Mansor akhirnya dipaksa untuk kembali ke agama asalnya dan dipisahkan dengan suaminya kerana keputusan mahkamah memihak kepada Adrianus. Natrah meratap dan merayu agar tidak diperlakukan sedemikian, namun apakan daya, akhirnya Natrah dihantar semula ke Belanda.

Peristiwa ini telah mencetuskan kemarahan dan rusuhan hingga mengakibatkan 18 orang terkorban. Sejarah mencatatkan bahawa penjajah telah menang dan merampas agama Natrah walaupun tanpa rela.

Kisah Natrah menjadi saksi kepada lemahnya sebuah ummah dan ia harus dibangkitkan kembali dari tidur yang panjang.

2 comments:

  1. Sham mana nak dapat detail cerita nie ...

    ReplyDelete
  2. Boleh beli buku The Nadrah Tragedy atau kalau yang lebih ringkas, blh baca artikel Zin Mahmud di Utusan Malaysia

    ReplyDelete