Azan itu Syiar Kita


Mendengar azan dikumandangkan di Taman Tunku Sarina adalah suatu kenikmatan yang tidak terhingga. Semasa kami mula-mula berpindah disana, surau yang ada agak jauh dan tidak mempunyai speaker yang baik, jadi biasanya, waktu solat awal waktu sering juga terlepas dek kerana kelalaian menjaga waktu.

Namun kini segalanya telah berubah, jika dahulu di surau sementara, setiap solat waktu, jumlah jemaah yang hadir amatlah menyedihkan, namun kini dengan adanya surau baru dengan kelengkapan sistem P.A yang baik, laungan azan begitu jelas kedengaran sehingga ke setiap ceruk di Taman Tunku Sarina, dan kesannya jumlah jemaah yang hadir pada setiap solat fardhu berjemaah adalah amat membanggakan.

Ternyata, azan itu adalah syiar yang menyatukan setiap muslim, tidak kira bangsa dan sempadan geografi. Kalimah yang kita dengar di surau berhampiran rumah kita, kalimah itu jugalah yang akan didengari disetiap penjuru bumi yang ditegakkan solat diatasnya. Tidak kira di hujung dunia di kutub selatan, atau dalam rimbunan hutan di amazon, atau di lembah tandus padang pasir sahara, laungan azan pasti akan menyejukkan hati setiap muslim yang mendengarnya.

Azan bukan hanya laungan untuk mengajak orang bersolat, tapi ia adalah sebesar-besar syiar bagi seorang muslim yang mengandungi makna tauhid, kalimah ketaatan, seruan kearah kejayaan dan peringatan bahawa hanya Allah yang layak dibesarkan diatas muka bumi ini.

Berada dibumi yang tidak kedengaran azan padanya adalah suatu tekanan perasaan bagi muslim yang hidup hati dan jiwanya. Laungan azan yang kedengaran, ibarat lagu merdu dari syurga buat membasahkan hati dengan kalimah kebesaran dan seruan kearah kejayaan dunia dan akhirat.

Laungkanlah azan, walau dimana anda berada, bumi itu pasti akan menjadi saksi.

1 comment:

  1. setuju. rindu mendengar azan. sekrg hanya menggunakan islamic finder software azan yg dipasang kuat2. insya' Allah azan akan berkumandang di mana2 sahaja di bumi eropah suatu hari nanti

    ReplyDelete