Siri 3 : Solatlah Walau Dimana Kamu Berada



Perjalanan untuk menunaikan Umrah adalah satu kembara hati dan perjalanan yang penuh dengan ujian-ujiannya yang tersendiri. Kami sendiri merasa sangat beruntung dapat diberikan kesempatan untuk bertamu ke rumahnya yang agung. Kesempatan yang kami perolehi ketika usia kami masih sangat muda belia. Sungguh kami merasa amat bertuah dan bersyukur atas nikmat yang tidak terhingga ini.

Kami bertolak ke KLIA dari rumah jam 800 am, memandangkan urusan check in perlu dilakukan 4 jam sebelum kapalterbang berlepas. Selesai solat sunat musafir dan berdoa, kami memulakan kembara agung ini. Hati ini berdebar-debar sepanjang perjalanan, berdebar kerana sedar bahawa hati ini gelap pekat dengan dosa dan maksiat, risau jika ibadah di sana tidak diterima Allah, dan kunjungan hanya menjadi kunjungan yang sia-sia semata.



Selesai urusan check in dan sebagainya, kami menaiki kapalterbang Pakistan Airlines jam 1200 pm menuju ke Karachi, transit persinggahan pertama sebelum terus ke Jeddah. Satu pengalaman yang cukup mendebarkan memandangkan kami belum pernah menaiki kapalterbang untuk ke mana-mana destinasi di luar negara. Hanya sekali kami berkesempatan untuk menaiki Air Asia dari Alor Setar ke KL sebelum ini. Mata saya tidak terlepas dari memandang ke luar, dan bibir tidak henti-henti mengalunkan zikir dan doa agar diselamatkan perjalanan hingga ke destinasi.

Selepas makan tengahari yang menyelerakan, jam menunjukkan pukul 2.30 pm, kami mula tertanya-tanya, bagaimana caranya hendak solat diatas kapalterbang, wudhuk telah kami ambil semasa di KLIA tadi dan alhamdulillah masih lagi kekal. Pakcik yang duduk disebelah melihat saya terpinga-pinga tanpa dipinta menerangkan caranya

"Untuk solat, adik cuma perlu menghadap kiblat yang mana kiblat adalah selari dengan arah perjalanan kapalterbang ini, jika mampu adik solat berdiri, berdiri lebih baik, tapi jika keadaan sukar, maka solat sahaja di tempat duduk, rukuk dan sujud isyaratkan saja, sujud harus lebih rendah dari rukuk"

Alhamdulillah, penerangan yang ringkas dan padat itu memudahkan kami. Ini pengalaman pertama kami solat di atas kapalterbang. Menarik dan mendebarkan.

Begitu juga ketika perjalanan pulang, kami turut solat subuh diatas kapalterbang memandangkan waktu subuh masuk dan berakhir ketika kami masih di atas kapalterbang.

Sesungguhnya Islam itu mudah dan memudahkan, apa yang penting solat mesti dijaga walau dimana jua kita berada, hatta diatas perahu atau diatas pokok sekalipun, solat harus ditegakkan.

Namun, amat menyedihkan melihat terdapat sebahagian dari Jemaah yang lalai dalam solatnya, meninggalkan sahaja solat dengan alasan untuk Qadha bila sampai ke destinasi. Tiada istilah Qadha kerana solat wajib didirikan dalam apa jua keadaan sekalipun, jika tidak mampu berdiri, duduk, jika duduk pun tidak mampu, berbaring, jika tidak mampu juga, isyaratkan dengan mata atau hati, jika semuanya sudah tidak mampu, panggil sahaja orang ramai untuk menyolatkan diri.

Berada diatas kenderaan bukan alasan untuk meninggalkan solat, begitu juga ketika menaiki bas, wajib kita untuk menyuruh pemandu bas berhenti pada waktu solat, terutamanya jika perjalanan melalui waktu subuh.

Solat adalah kefardhuan yang telah ditentukan waktunya untuk orang-orang yang beriman, tunaikanlah ia walau dimana kita berada.

Alhamdulillah, kami tiba di Jeddah jam 8 pm waktu Arab Saudi, di lapangan terbang kami disambut oleh ketua rombongan iaitu Ustaz Abdul Halim Abdullah. Satu suasana yang cukup berbeza berbanding Malaysia, pemeriksaan di lapangan terbang agak ketat dan rumit berbanding di Malaysia dan terdapat Masjid yang cukup besar di dalam lapangan terbang, suasana ibadah mula menggamit hati yang hitam ini.

No comments:

Post a Comment