Mus'ab Bin Umair : Syahidnya Dijanjikan Syurga (Siri Akhir)


Bukit Uhud Menjadi Saksi Kesyahidan Mus'ab Bin Umair

Mus’ab Bin Umair juga terlibat secara aktif dan memegang peranan penting dalam aspek pertahanan negara Madinah, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang panji-panji Islam ketika perang Badar dan perang Uhud. Ini membuktikan Mus’ab bukan sahaja pintar malah juga berani dan berkebolehan dalam peperangan.

Kisah keberanian Mus’ab ini terserlah dengan begitu jelas dalam peperangan Uhud, perang di mana taqdir Allah telah menetapkan kesyahidan bagi dirinya.
Mus’ab bin Umair dalam peperangan Uhud telah menunjukkan kecekalan yang luar biasa. Ketika keadaan menjadi genting dan berkecamuk bagi tentera-tentera Islam, tentera Musyrikin telah mengambil peluang ini untuk memporakperandakan barisan tentera Islam, dan cuba untuk menjatuhkan panji Islam yang dibawa oleh Mus’ab.

Dalam serangan hebat itu, tangan kanannya telah dicantas akan tetapi Mus’ab terus memegang panji itu dengan tangan kirinya pula, serangan demi serangan dilakukan terhadap Mus’ab dan tangan kirinya pula terputus, setelah itu beliau dengan sisa-sisa tenaga yang ada mengepit panji itu di antara dada dan lehernya hingga akhirnya beliau terbunuh syahid dibunuh oleh Ibnu Qami’ah.

Itulah pengakhiran kehidupan Mus’ab bin Umair di dunia ini, beliau tidak mati bahkan hidup disisi tuhannya dengan mendapat rezeki. Namanya harum mekar sepanjang zaman menjadi contoh belia terbaik. Semasa pengebumiannya, tiada kain yang cukup untuk menutup jasadnya, tetapi rohnya terbang tinggi bergembira memperoleh janji yang benar dari tuhannya. Mus’ab Bin Umair telah memilih kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia yang sebentar, masa mudanya dihabiskan untuk dakwah dan perjuangan. Sewajarnyalah kisah Mus’ab Bin Umair ini menjadi inspirasi kepada setiap pemuda Islam hari ini.

No comments:

Post a Comment