Secangkir Teh Panas Dihadapan Kaabah


Petang itu, aku turut bersama ribuan manusia bertawaf mengelilingi Kaabah. Ritual Ibadah paling afdal di Masjidil Haram. Diriwayatkan dalam satu hadis bahawa setiap hari Allah memperuntukkan 120 rahmat untuk hamba-hambanya di Masjidil Haram, 60 darinya adalah untuk orang yang bertawaf, 40 adalah untuk orang yang bersolat dan 20
lagi adalah untuk mereka yang melihat Kaabah.

Amat beruntung sekali orang yang bertawaf kerana memperoleh ketiga-tiga rahmat ini, semasa tawaf dapat melihat Kaabah, dan selepas tawaf, dapat pula kelebihan solat sunat tawaf.

Selesai tawaf sunat pada petang itu, jam menunjukkan 615 pm. Masih ada masa lebih kurang 30 minit sebelum waktu Maghrib.

Aku memilih satu sudut di belakang Maqam Ibrahim yang agak terkebelakang sedikit agar tidak menganggu laluan tawaf untuk menyempurnakan solat sunat tawaf dan kemudiannya membasahkan tekak dengan air zam-zam yang tongnya berada tidak berapa jauh dari situ.

Sementara menunggu masuk waktu Maghrib, aku menyambung tilawah, sesekali pandanganku dilemparkan kearah Kaabah, betapa hebatnya Kaabah sebagai pusat ibadah bagi kaum muslimin diatas muka bumi ini.

Lebih kurang 645 pm, azan maghrib berkumandang, gemaan azan di masjidil haram tidak pernah gagal untuk menusuk sanubariku, menggegarkan jantung dan perasaan ku dengan kehebatan dan keagungan seruan kearah kejayaan.

Selesai solat Maghrib dan solat Jenazah, aku menyambung tilawah, sedang aku khusyuk mengalunkan ayat-ayat suci, seorang lelaki kulit hitam menyapaku dengan mesra sambil menghulurkan secawan teh panas. Aku menghentikan tilawah, menyambut sapaan itu dengan kemesraan walau aku langsung tidak faham sepatah kata yang dituturkan.

Teh itu ku hirup dengan penuh kenikmatan, sambil mataku tidak dilepaskan dari pandangan ke arah Kaabah.

Oh alangkah nikmatnya secangkir teh panas dihadapan Kaabah, betapa bahagianya ku rasa, nikmat yang tidak dapat ku gambarkan dengan kata-kata.

Sambil menghirup teh, aku melihat lelaki kulit hitam itu menghulurkan beberapa cawan lagi teh panas kepada orang lain.

Aku tersenyum sendiri teringatkan sabda nabi, “Hindarilah api neraka walau dengan sebelah tamar”. Aku berdoa, agar lelaki kulit hitam itu terhindar dari api neraka walau dengan secangkir teh panas dihadapan Kaabah. Betapa besarnya erti hidup pada memberi.

No comments:

Post a Comment