Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Siri 5 : Taman Syurga di Dunia
"Diantara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga, dan mimbarku ini ada diatas telagaku" (Bukhari, Muslim)
Pengalaman bertamu ke raudah adalah antara koleksi pengalaman yang akan disimpan sepanjang hayat, pengalaman yang pasti akan membasahkan jiwa setiap kali mengingatinya.
Ketenangan solat di raudah adalah ketenangan yang tidak dapat dibeli dengan harta benda dunia, mencecahkan dahi di lantaian karpet hijau merebahkan segala ego keduniaan.
Tergambar bayangan saf para sahabat yang sedang khusyuk mendengar khutbah nabi, dibawah tarbiyyah ahli raudhah inilah lahir jiwa-jiwa kental yang menjadi tunggak kepada umat.
Raudah ini pernah menjadi saksi turunnya wahyu kepada nabi, rahmat Allah mencurah-curah turun di sini buat para ahlinya.
Tiang-tiang di raudhah ini setiapnya mempunyai sejarah yang tersendiri, Tiang Aisyah (119) tempat yang paling utama untuk solat, tiang Abu Lubabah yang pernah menjadi saksi penerimaan taubat Abu Lubabah sahabat yang mulia, Tiang Sarir, Tiang Mahras tempat sahabat berkawal menjaga nabi, Tiang Wufud, tempat Nabi melayan tamunya dan Tiang Murabba' Al Kubur, tempat persinggahan Jibril ketika menziarahi nabi.
Sungguh, aku bersyukur kerana diberi peluang untuk bersinggah dibawah limpahan rahmat dan kasih sayang Allah di raudah, benarlah bahawa ia adalah taman-taman syurga, wangiannya harum mendamaikan setiap jiwa yang menziarahinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment