Mus'ab Bin Umair: Harum Namanya Di Lantai Sirah


Maqam Syuhada Uhud : Tempat Dimana jasad Mus'ab Bin Umair Bersemadi

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya)”
Al Ahzab : 23

Ketika mana jasadnya hendak disemadikan, tiada kain kafan yang mencukupi untuk menutup tubuhnya, ditutup kepala, kakinya akan terdedah, ditutup kaki, kepalanya pula akan terdedah. Akhirnya ditutup kepalanya dan kakinya ditutupi dengan rumput-rumput kering. Itulah pengakhiran kehidupan dunia buat Mus’ab Bin Umair, belia contoh sepanjang zaman. Allah akan menepati janjinya pada mereka yang berkorban untuk agama seperti ini, bagi mereka, syurga yang tertinggi.

Sebelum menerima cahaya kebenaran, Mus’ab bin Umair adalah seorang pemuda tampan yang digilai oleh wanita-wanita di Makkah. Beliau terkenal dengan pakaian dan minyak wangi yang terbaik ketika itu, hinggakan setiap kali dia lalu di satu jalan, setiap mata pasti akan memandang dengan kekaguman manakala haruman minyak wanginya semerbak menyegarkan dan menyenangkan.

Diserikan pula dengan ketampanan wajah dan keturunan yang baik disamping kekayaan keluarganya, setiap wanita pasti akan bermimpi untuk berkahwin dengan Mus’ab.
Rasulullah juga mengiktiraf hal ini dengan sabdanya “Tiada siapa yang lebih tampan di Makkah daripada Mus’ab, tiada yang berpakaian sebaiknya dan makan sebaiknya”.

Takdir menentukan bahawa Mus’ab menerima Islam ketika mana zaman penuh cabaran di Makkah. Zaman dimana umat Islam diseksa dengan pelbagai seksaan untuk mengeluarkan mereka dari Islam, bahkan ada yang dibunuh seperti keluarga Yassir. Ketika keluarganya mengetahui akan keislamannya, ibu dan bapanya sangat marah dan memaksa Mus’ab untuk keluar dari Islam dengan pelbagai cara. Mus’ab dikurung dalam penjara yang gelap oleh ibu bapanya namun itu sedikitpun tidak menggugat keimanannya.

Semasa penghijrahan pertama ke Habsyah, Mus’ab turut sama berhijrah mencari redha Allah. Setelah kembali semula ke Makkah, segala kilauan dan gemerlapan Mus’ab sebelumnya telah lenyap, beliau telah menukarkan segala kemewahan hidupnya dengan iman, hidupnya diabadikan untuk Islam semata-mata. Ketika ibunya melihat Mus’ab yang telah berubah sepenuhnya, ibunya dengan penuh simpati mengajak Mus’ab untuk kembali menikmati kehidupannya seperti dahulu dengan syarat dia menukar agamanya. Apabila Mus’ab enggan menurut kemahuan ibunya, ibunya menjadi marah dan mengancam untuk membunuh diri.

Iman Mus’ab sedikitpun tidak terusik bahkan beliau menjawab dengan penuh keteguhan “Ibu, jika ibu mempunyai sepuluh nyawa sekalipun, dan ianya keluar satu persatu, saya akan tetap tidak akan meninggalkan agama ini”

Melihat keteguhan Mus’ab, ibunya berputus asa dan akhirnya tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi untuk memujuk Mus’ab.

Masa berlalu dan Mus’ab semakin matang dan menjadi seorang pemuda yang bijaksana, hatinya penuh dengan keimanan dan ketaqwaan, jiwanya cerah dengan cahaya hasil didikan dari tangan nabi sendiri.

Selepas dari perjanjian Aqabah, Rasulullah menghantar Mus’ab bin Umair untuk menjadi ejen pendakwah di Madinah. Sesuai dengan kesungguhan, kepintaran dan kehebatan peribadi Mus’ab, ramai penduduk Madinah menerima Islam di tangannya. Beliau bekerja keras, hingga tiada suatu pintu pun yang tidak disinggahinya untuk menyampaikan Islam.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment