Mus'ab Bin Umair : Pendakwah Hebat



Mus’ab adalah pendakwah yang hebat, penuh kesungguhan dan kebijaksanaan, antara kisah yang masyhur dan telah diriwayatkan dalam kitab muktabar seperti Hayatus Sahabah karangan Sheikh Yusuf Al Kandahlawi dan Raheeq Makhtum, karangan Safiyyur Rahman Al Mubarakfuri berkenaan pengembaraan dakwah Mus’ab di Madinah adalah kisah pengislaman Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hudair, dua tokoh pemimpin dan golongan elit Madinah.

Driwayatkan bahawa suatu hari Mus'ab telah keluar bersama As’ad Bin Zurarah ke sebuah perkampungan Bani Zafar. Mereka duduk di tepi perigi Marq dimana Mus’ab mengajarkan tentang Islam kepada golongan yang baru memeluk Islam.

Kelibat mereka telah dilihat oleh Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hadhir, lantas Saad mengarahkan Usaid agar menghalau Mus’ab dan halaqahnya dari situ. Saad membentak Usaid dengan berkata :

“Lihatlah dua pemuda itu yang telah memperbodohkan golongan-golongan kita, ayuh kau halaukan mereka dari sini, kalaulah bukan kerana As’ad Bin Zurarah itu anak saudaraku, nescaya aku sendiri yang akan menghalaunya”

Usaid lalu mengambil tombaknya lalu menuju ke arah perkumpulan Mus’ab dan As’ad, sebaik As’ad terlihat kelibat Usaid sedang menuju kearah mereka, As’ad terlihat satu potensi besar dan terus berkata kepada Mus’ab :

“Usaid itu adalah ketua kabilah dan itu dia sedang menuju ke sini, ku harap kau dapat jelaskan tentang kebesaran Allah kepadanya”

Usaid tiba di depan mereka sambil dengan marah membentak keras dan memberi amaran kepada mereka berdua agar segera beredar.

Mus’ab dengan tenang menjawab “Sudikah tuan duduk sebentar dan dengar dahulu apa yang ingin kami sampaikan, sekiranya kau senang dengan kata-kata kami, teruslah mendengarnya dan jika tuan tidak menyukainya, kami akan berhenti dan beredar dari sini”

Usaid berfikir seketika lalu berkata “Itu adalah baik dan seadil-adilnya”, lalu Usaid memacakkan tombaknya ke tanah dan memberi perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan oleh Mus’ab.

Mus’ab lalu membaca beberapa potong dari ayat Al Quran dan menerangkan tentang Islam kepadanya. Ternyata kalimah kebenaran yang diungkapkan oleh jiwa suci Mus’ab Bin Umair pantas menusuk masuk ke dada Usaid, wajahnya kelihatan berubah, limpahan hidayah mula melimpahi dadanya, setelah Mus'ab menyelesaikan penerangannya, Usaid bertanya

“Alangkah indahnya kalimah yang kau ungkapkan dan alangkah bagusnya agama yang kau ceritakan, bagaimana aku hendak memeluk agama ini?”

Mus’ab lalu berkata “Pertamanya, kamu harus bersuci kemudian membersihkan pakaian dan seterusnya mengucap dua kalimah syahadah dan akhirnya hendaklah kau tunaikan solat dua rakaat.

Usaid kemudiannya melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dan kemudian mencadangkan pula agar mereka mendakwahi Saad Bin Muadz pula, kata Usaid :

“Dibelakangku ada seorang lelaki (merujuk kepada Saad) yang mana jika beliau memeluk Islam, maka tidak seorang pun dari kaumnya yang tidak akan menurutinya”

Usaid kemudian menyusun pertemuan antara Saad dengan Mus’ab dan akhirnya dengan kebijaksanaan dan ketulusan dakwah Mus’ab, Saad Bin Muadz masuk Islam hari itu juga dan seluruh kaumnya juga turut bersamanya memeluk agama kebenaran.

Itulah secebis kisah dari pengembaraan dakwah Mus’ab Bin Umair di Madinah, tiada pintu yang tidak diketuknya, Madinah bercahaya dengan Islam atas usaha dakwahnya.

Berita ini disampaikan kepada Rasulullah dimana Rasulullah ternyata amat gembira dan setelah itulah perintah untuk berhijrah mula dilaksanakan.

Bersambung …

No comments:

Post a Comment