Siri 2 : Persediaan Hati Lebih Utama

Bila membicarakan tentang persediaan untuk ke tanah suci, rata-rata masyarakat banyak membicarakan tentang persediaan fizikal dan material. Bagi yang pernah ke sana, mereka menceritakan tentang apa yang perlu dibawa, kain baju berapa pasang, ubat-ubatan, selipar jenis apa, beg sebesar mana yang perlu dibawa, jumlah RM untuk belanja dan pelbagai lagi.

Tidak ketinggalan juga yang membicarakan tentang perlunya latihan-latihan fizikal untuk menghadapi suasana-suasana yang mencabar terutamanya ketika di Mekkah. Perjalanan pergi dan balik ke masjid, cabaran ketika Tawaf dan Saie dan ada juga yang menyarankan untuk membiasakan diri dengan kepanasan melampau di siang hari dan kesejukan yang menggigit di waktu malam.



Tetapi, ramai yang sering terlupa, bahawa persediaan hati itu lebih utama. Perlunya kita untuk benar-benar memohon kepada Allah agar diizinkan kita untuk bertamu dan beribadahnya di rumahnya yang teragung. Berdoa agar sentiasa diberikan kesihatan, kekuatan dan kesempatan masa untuk beribadah.

Jika boleh, berdoalah setiap detik yang teringat, basahkan hati dengan doa-doa agar diberikan kemudahan, kelapangan dan kesihatan ketika di sana. Di sana, segala-galanya luar biasa. Disana kita akan mengerti bahawa kekuatan itu hanyalah milik Allah.

Ada yang telah menyediakan segala-galanya, tetapi malang ketika di sana, jatuh sakit hingga tidak mampu untuk ke masjid. Ada juga yang hanya disibukkan dengan membeli belah hingga mengabaikan ibadah bahkan ada yang lebih malang tidak mampu untuk melihat Kaabah walau Baitullah berada di depan mata.



Sebelum bertamu ke rumahnya, selesaikanlah segala hutang piutang, pohonlah kemaafan dari saudara dan teman taulan dan yang paling utama, pohonlah keampunan kepada kedua ibu bapa agar kita dapat kesana membawa sekeping hati yang sejahtera.

Bagi kami, apa yang paling penting adalah kemaafan dan restu dari kedua orang tua, tanpa restu mereka, ibadah kita tidak akan kemana. Sebelum berangkat pergi, kami menyelesaikan segala-galanya dengan kedua orang tua kami, memohon maaf dengan sebenar-benar kemaafan agar tidak tersimpan walau seguris luka di dalam hati.



Begitu juga dengan teman sepejabat yang kadang-kadang secara sengaja atau tidak menjadi mangsa umpatan atau tingkah laku yang kurang menyenangkan. Saya hanya mampu menghantar E-Mail kepada semua untuk memohon maaf.



Dan untuk anak kesayangan kami yang akan ditinggalkan, sebulan sebelum keberangkatan, setiap hari kami jelaskan kemana kami akan pergi agar dia memahami dan mengerti. Alhamdulillah, Humaira' memahami dan tinggal tanpa sebarang masalah dengan "Mama" (Makcik) nya.

Bagi setiap yang ingin kesana, sediakanlah hati anda dengan sesuci-sucinya, bersihkanlah ia dari segala noda dan dosa, pohonlah keampunan dari Allah dan pohonlah juga kemaafan dari manusia. Sentiasalah berdoa agar diberi kekuatan, kesempatan dan kemudahan untuk bertamu ke rumahnya.

2 comments:

  1. Alhamdulilah..... Allah Kareem ... Selamat dah ko balik dari tanah suci. Seronok kan di sana. Pada saya seronok dunia dan ahirat. Kalau seronok dunia best sebab kalau kat Malaysia manusia tak berduyun-duyun untuk ke masjid setiap waktu tapi di Al-haram setiap waktu . Seronok ahirat dapat membersihkan hati yang selama ini terlalu banyak mengingati dunia. Bila di sana kita lebih fikirkan masa untuk beribadat dan hal-hal duniawi tak kita ingat sebanyak mana kita ingat waktu belum ke sana. Ya Allah takdirkan kami akan selalu punyai kesempatan untuk selalu ke rumah mulia mu .... Amin ...

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, nikmatnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata..setiap yang bertamu pasti akan merindui untuk bertandang kembali

    ReplyDelete