Ada masanya saya mengingatkan
dengan lembut, ada masanya saya berlawak-lawak sahaja, tapi hari ini, setelah
berulang-ulang kali diingatkan, apatah lagi bila fokus displinnya hilang
setelah menatap iPad yang sedang dicaj di atas meja, naik juga suara seperti
Sarjan tentera.
Dengan anak-anak, tidak setiap
waktu kita berlembut. Ada masanya kita perlu tegas, ada masanya kita perlu
keras, ada masanya memang kita perlu marah dan ada masanya, sebagai manusia
biasa kita akan merasa amat marah.
Bohonglah kalau saya katakan,
saya tidak pernah hilang sabar dan tidak pernah marah pada anak-anak, dan saya
yakin perasaan ini pasti dikongsi oleh setiap ibu bapa terutamanya yang
mempunyai beberapa anak yang masih kecil.
Cuma, bila kita marah, kita kena
tahu batas-batas dan mengapa kita marah. Jangan membebel dan keterlaluan hingga
mengungkit kesalahan lama anak-anak dan memarahinya atas perkara yang tidak
dilakukannya, apatah lagi menggunakan rotan sewenang-wenangnya. Rotan adalah
kaedah terakhir menurut Abdullah Nasih Ulwan, itupun untuk mendidik, jauh
sekali untuk mencederakan emosi dan fizikalnya.
Rotan perlu ada juga di rumah
sebagai ugutan agar anak-anak ada juga rasa gerun pada ibu bapanya. Jika rotan
ingin digunakan sekalipun, pastikan nasihat telah diberi sebelumnya, galakan
dan teguran juga telah dijalankan dan bila ingin merotan, pastikan kita sebagai
ibu bapa tidak berada dalam keadaan marah. Jika memang kita amat marah, eloklah berhenti seketika, tarik nafas dan ubah posisi seperti yang disarankan oleh Nabi, jika berdiri, duduk, jika duduk, berbaringlah sebentar, paling baik, jika dapat tenangkan diri dengan berwudhu'.
Bila memarahi anak-anak, perlu
kita jelaskan mengapa dia dimarahi dan apa yang perlu dibuatnya agar tidak
dimarahi pada masa akan datang. Juga penting untuk kita tidak memarahi
anak-anak dengan memalukannya di khalayak ramai di hadapan kawan-kawannya atau
ibu bapa lain, khuatir emosinya tercedera dan langsung anak-anak akan hilang
rasa hormat pada ayah dan ibunya.
Elakkan juga untuk membanding-bandingkannya
dengan anak-anak lain bila memarahi. Mengapa? Tanya pada diri kita, apakah kita
suka jika anak-anak membandingkan diri kita dengan ibu bapa lain? Jangan
kenakan apa yang kita sendiri tidak suka pada orang lain, apatah lagi pada
anak-anak kita sendiri.
Mungkin kita perlu
mengingatkannya berulang-ulang kali, tapi itulah caranya dengan anak-anak.
Tidak ada manusia yang boleh berubah dan berdisplin dalam sekelip mata. Hatta
dalam mendidik anak solat pun, Nabi menganjurkan agar anak dididik sejak
usianya 7 tahun sebelum rotan digunakan pada usia 10 tahun. Maknanya 3 tahun
masa latihan dan pendidikan sebelum akhirnya rotan digunakan sebagai langkah terakhir
dalam elemen pendidikan.
Tarbiah anak-anak adalah satu
proses dan ujian pada ibu bapa. Tidak mudah dan jalannya memang sukar. Dalam
kepelbagaian teknik yang kita gunakan, dari barat atau dari timur, paling
penting, jangan lupa berdoa untuk kemenjadian anak-anak kita di hadapan Allah
kerana pada doa ibu bapa yang soleh, besar nilaiannya di sisi Allah.
…dan ini adalah peringatan untuk
diri saya sendiri yang lebih memerlukannya. Moga Allah ampunkan dosa saya dan
menunjukkan jalan untuk saya menjadi bapa yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment