WHAT YOU DO, YOU UNDERSTAND


Alhamdulillah.

Banyak perkara baru yang saya dalam statistik yang saya belajar hari ini. Bermula dari analisis ‘normality’, ujian ‘reliability’, ‘convergent’ dan ‘discriminant validity’ serta ‘factor loading’. Insyaallah esok akan belajar berkenaan dengan ‘exploratory’ dan ‘confirmatory factor analysis’ pula.

Sebelum ini banyak kelas statistik yang saya lalui, banyak seminar kuantitatif yang saya dengar termasuklah seminar wajib sebelum menghantar permohonan pengajian lanjutan. Tapi, bila berdepan dengan masalah dan data sendiri yang perlu di santuni, cara saya melihat statistik jauh berbeza.

Kesungguhan mencari bahan, pengalaman hasil dari ‘try and error’, perkongsian dari mereka yang pakar dan rujukan-rujukan muktabar benar-benar membantu saya memahami sekelumit ilmu statistik dengan lebih praktikal.

Benarlah kata pepatah yang menyebut:

What you hear you forget, what you see, you remember, what you do, you understand.

Saya memahami pepatah ini secara amali hari ini (dan minggu-minggu sebelumnya). Bila kita benar-benar terjun untuk menyelesaikan masalah sebenar, barulah kita akan benar-benar memahami.

Begitu juga dengan dakwah dan tarbiah, kita hanya akan benar-benar memahami mutiara kata tokoh-tokoh pendakwah dari kalangan generasi kini dan generasi terdahulu, hadis-hadis baginda nabi dan ayat Al Quran yang membicarakan tentang dakwah, tarbiah, jihad dan pengorbanan yang dipelajari di dalam usrah, daurah, mabit dan mukhayyam hanya apabila kita terjun ke medan, bergelumang dengan masyarakat dan melaksanakan dakwah secara praktikal.

Bak kata seorang sahabat saya yang bergelumang dengan amal PRU yang amat sengit baru-baru ini, beliau mengatakan.

“Sekarang baru ana faham makna kata-kata Hassan Al Banna tentang dakwah Ikhwan, rupanya selama ini kita syok sendiri sahaja.”

Bila kaki terasa panas, kulit dan hati terbakar dek kerana asam ragam kafilah dakwah, duit yang ada hanya cukup-cukup makan kerana diinfaqkan ke jalan dakwah, maka barulah kita akan memahami makna dakwah. Itupun hanya sedikit cuma.

Moga Allah memberi kita kekuatan untuk menjadi pendakwah yang terjun ke medan amal, bukan hanya seronok berteori di kalangan ahli usrah yang akhirnya tidak membawa kita ke mana-mana.

Insyaallah.




No comments:

Post a Comment